Monday, December 5, 2011

Obesiti bayi petanda cemas


OBEsiti kanak-kanak bukan sahaja mengundang penyakit dan masalah fizikal malahan tekanan emosi dan psikologi seumur hidup mereka


BERAT badan berlebihan, kegemukan mahupun obesiti bukan lagi sesuatu yang baru atau jarang ditemui dalam dunia serba moden kini.

Walaupun teknologi moden kini telah banyak mengurangkan penyakit berjangkit, rekod penyakit kronik naik mendadak sejajar dengan saiz pinggang penduduk seluruh dunia.

Boleh dikatakan antara era paling mewah bagi manusia, bukan sahaja penyakit berjangkit kini berjaya dikawal dan jumlah makanan melimpah ruah, pembangunan teknologi juga membolehkan kerja dilakukan tanpa perlu bangun atau berjalan.

Hasilnya, Samoa ditabal negara 'paling gemuk' dengan 93.5 peratus daripada rakyatnya obes diikuti Kiribati (81.5 peratus), Amerika Syarikat (66.7 peratus), Jerman (66.5 peratus) dan Mesir (66 peratus).

Malaysia pula menjadi johan obesiti di Asia Tenggara 16.3 peratus penduduk yang obes hasil kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) tahun lalu.

Sememangnya isu obesiti telah lama dibangkitkan dan dikait rapat dengan makanan segera atau pemakanan tidak sihat, kurang bersenam serta tekanan di tempat kerja.

Namun, paling membimbangkan apabila kanak-kanak seawal usia beberapa bulan juga sudah mencapai tahap obes yang serius dan boleh mengancam kesihatan jangka panjang mereka.

Punca obesiti kanak-kanak mungkin berbeza termasuk dilahirkan besar akibat genetik atau ibu menghidap diabetes tetapi faktor utama tetap berkait rapat dengan gabungan masalah pemakanan dan aktiviti fizikal.

Banyak kes sudah direkodkan di seluruh dunia, termasuk Malaysia sendiri berkaitan obesiti kanak-kanak dan bilangannya dilihat semakin meningkat setiap hari.

Satu perangkaan baru sebelum ini menjangkakan 25 peratus pelajar sekolah di negara ini bakal gemuk atau obes menjelang 2020 jika masalah ini gagal dikawal, dan ini secara langsung akan meningkatkan bilangan pesakit diabetes dan tekanan darah tinggi dalam jangka panjang.

Kes terbaru di Cleveland, Amerika Syarikat menyaksikan seorang kanak-kanak lelaki berumur lapan tahun dirampas daripada keluarganya atas dakwaan kecuaian yang menyaksikan anak kecil itu kini mempunyai berat badan 200 paun (90 kilogram).

Kes itu pertama seumpamanya di daerah tersebut dan dikatakan bermula setahun lalu selepas pegawai sosial mula memerhatikan kanak-kanak berkenaan yang berada pada berat kritikal.

Dikhuatiri boleh membawa kepada diabetes dan tekanan darah tinggi, pihak berkuasa akhirnya bertindak kerana melihat ibunya gagal mengurangkan berat badan kanak-kanak tersebut.

Jika trend obesiti kanak-kanak berterusan, kejadian serupa mungkin berulang di mana pihak kesihatan terpaksa bertindak tegas demi mengelakkan nyawa kecil terancam.

Selain mengancam kesihatan fizikal anak, obesiti juga akan meninggalkan parut psikologi akibat amalan umum masyarakat dunia mempersenda saiz dan rupa fizikal seseorang.

Anak yang dibiarkan obes hingga ke usia remaja mungkin akan kekal obes hingga lanjut usia dan bakal diiringi pelbagai penyakit, tekanan emosi, rasa rendah diri dan juga kesukaran bersosial dalam masyarakat.

Oleh itu, ibu bapa dan keluarga perlu mengambil berat faktor penyumbang masalah ini dan mula bertindak mengawal berat badan anak pada tahap ideal bagi menyediakan serta menjamin masa depan yang sihat dan cemerlang bagi mereka kelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: