GABUNGAN dua 'orang lama', Wings dan XPDC, bersama dengan dua lagi jenama baru dalam industri seni, Faizal Tahir dan juga Azlan and The Typewriter, ternyata satu percubaan yang baik. Pilihan pihak penganjur Loudspeaker Y2k 11, Red Garage Group Sdn Bhd (RGGSB), dalam mewujudkan atmosfera baru konsert boleh dipuji.
Sebelum membuka tirai persembahan pada malam itu, konsert tersebut terlebih dahulu dijengah telatah kumpulan yang hadir melalui Maharaja Lawak Mega, Boboi, yang dianggotai oleh Afdlin Shauki dan juga Harun Salim Bachik.
Gelagat Boboi turut ditemani Dira, selaku Pengarah Pengiklanan dan Promosi RGGSB, yang turut mengakui gementar memandangkan konsert tersebut merupakan konsert sulung mereka.
Walaupun jujurnya gandingan dua generasi itu disifatkan sebahagian penonton agak tidak berapa kena, namun bagi Dira, perkara tersebut merupakan salah satu pembaharuan. Kelainan itu yang mereka ingin tampilkan dalam setiap konsert yang bakal dianjurkan lagi.
"Apa yang kami lakukan ini adalah untuk mendidik peminat agar bersatu melalui muzik.
"Mungkin ada pihak yang agak skeptikal dengan apa kami bawakan tapi kami yakin perkara ini pasti dapat diterima tidak lama lagi.
"Jadi, jangan terkejut jika wujud lagi kelainan sebegini dalam setiap konsert yang akan kami anjurkan selepas ini," jelasnya ketika ditemui Hits di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada hari tersebut.
Konsert yang bermula kira-kira pukul 9.10 malam itu terlebih dahulu dimulakan dengan persembahan daripada Faizal Tahir dengan lagu Cuba dan kemudiannya diteruskan lagi dengan lagi Bencinta, Karma serta Selamat Malam.
Usai sahaja Faizal Tahir membuat persembahan, Azlan and The Typewriter pula muncul dengan lagu Kelibat Si Penyair, Apa Ni, dan Lagu Untukmu.
Malah, mereka juga turut menyanyikan semula lagu Teratai nyanyian kumpulan Sweet Charity dengan muzik yang lebih keras berentak metal namun masih tidak lari daripada lagu asal dan diakhiri dengan lagu Jeritan Batinku.
Sebaik sahaja Ali XPDC muncul di pentas, kira-kira 3,000 penonton yang agak pasif sebelumnya bagaikan terjaga dan kembali bertenaga.
Ternyata penangan kumpulan yang sudah 24 tahun berdiri di persada seni tanah air ini masih mampu membuatkan penonton teruja bagai histeria.
Sebaik sahaja Ali menyanyikan lagu Ulat dan Kulat, penonton turut sama bergoyang kepala mengikut rentak keras heavy metal yang dibawakan XPDC.
Persembahan mereka kemudiannya diteruskan lagi dengan lagu Samurai, King El-Mondoque dan Sakinah.
Malah, Mael selaku vokalis asal kumpulan tersebut turut muncul dan menyampaikan lagu Selendang Merdeka, Apa Nak Di Kata, Titian Perjalanan dan juga Semangat Yang Hilang sambil menyanyikan lagu tersebut bersama-sama peminat mereka dengan penuh perasaan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: