Dewasa ini, kepentingan dan tanggungjawab wanita semakin bertambah seiring perkembangan zaman dan teknologi semasa.
Tidak lagi hanya duduk di ceruk dapur, kaum hawa mampu berdiri sebaris golongan adam dan menceburi pelbagai bidang profesional seperti doktor, arkitek, pensyarah dan tidak ketinggalan sebagai pendakwah.
Apabila stesen televisyen berkonsep Islamik, TV Alhijrah, menerbitkan program realiti, Solehah, yang bertujuan membuka ruang mencari dan menggilap bakat wanita berilmu, ia mendapat sambutan baik masyarakat.
Bersiaran sejak 23 September lalu, sepuluh peserta dibahagikan kepada dua kumpulan, Khadeejah dan Aisyah, diuji melalui tugasan berbeza setiap minggu.
Kumpulan Khadeejah terdiri daripada Sarah Azizul, 25, (Selangor), Tuan Nor Shazni Tuan Muda, 23, (Terengganu), Rosmarieza Rafiee, 25, (Melaka), Siti Adibah Zelkefly, 21,(Sarawak) dan Mariyam Sa’ari, 24, (Terengganu).
Manakala, Amie Sofia Ahmad, 25, (Kedah), Wan Suhaili Wan Mohd Yusof, 24, (Terengganu), Renny Johnnuin, 21, (Sabah), Nurul Eswani Syafazlin Abdul Halim, 24, (Kedah), dan Wan Nor Mazuani Wan Mokhtar, 22, (Pahang) mewakili kumpulan Aisyah.
Menghadapi minggu penuh cabaran, debaran peserta terungkai apabila salah seorang daripada mereka bakal diangkat sebagai pemenang dalam episod penentuannya di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam Kuala Lumpur, malam ini.
Menurut penerbitnya, Tengku Muhammad Ismail Tengku Ibrahim, malam final ini menguji kemampuan peserta menyampaikan tazkirah selama tiga minit secara individu.
“Setiap peserta diberi tajuk berbeza dan perlu mengupasnya berdasarkan kesesuaian isu semasa.
“Selama ini, mereka diberi tugasan secara berkumpulan. Ini kerana, sebagai pendakwah, penting untuk mereka memiliki keupayaan sebagai individu.
“Namun, kita yakin mereka mampu melakukannya kerana dalam tugasan berkumpulan sebelum ini, mereka sudah pandai mencari inisiatif sendiri tanpa bantuan ahli kumpulan mahupun bimbingan musyrifa (tenaga pengajar),” katanya.
Barisan juri yang akan mengadili kelak terdiri daripada Prof Madya Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail, Prof Madya Dr Mariani Md Nor dan Isfadiah Mohd Dasuki.
Selain kekuatan isi tazkirah mereka malam itu, Ismail berkata, pemenang juga akan dipilih berdasarkan markah terkumpul (mingguan) yang dinilai dari pelbagai aspek termasuk ujian dalam dan luar kelas.
Sedia bergelar pendakwah
Walau siapa yang bakal merangkul gelaran pemenang, menurut Ismail, kesemua peserta menunjukkan prestasi memberangsangkan dan tidak mustahil bergelar pendakwah terkenal selepas program berakhir.
“Sepanjang program ini, kita dapat melihat tahap keyakinan setiap peserta semakin meningkat melalui tugasan diberikan. Ini menandakan mereka sudah bersedia mental dan fizikal untuk berdepan cabaran sebenar sebagai pendakwah di luar kelak.
“Malah, mereka akan turut diberi sijil dakwah yang diiktiraf Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, sebagai pengesahan untuk berdakwah.
“Menariknya, mereka akan berdakwah melalui bidang masing-masing dan tidak hanya cenderung ke arah agama sahaja,” katanya.
Tambah Ismail, jika di selusuri kembali perjalanan kesepuluh wanita Solehah ini, kesemuanya boleh dianggap pemenang berdasarkan pencapaian dan transformasi diri seperti kemahiran menyampaikan dakwah secara lisan dan tulisan, serta keupayaan menerima cabaran fizikal dan mental.
Bagaimanapun, adat pertandingan, yang hebat pasti diraikan. Juara sulung Solehah akan membawa pulang hadiah utama sebuah kereta Proton Saga FLX SE tajaan Proton Edar Sdn Bhd, wang tunai RM30,000, pakej umrah, perabot, piala dan sijil berdakwah.
Sementara, naib juara bakal memenangi wang tunai RM20,000 dan hadiah sampingan, tempat ketiga RM 10,000 dan hadiah sampingan, manakala tujuh pemenang sagu hati RM5,000 dan hadiah sampingan.
Melihatkan maklum balas yang baik daripada penonton, Ismail juga tidak menolak kemungkinan Solehah akan disambung ke musim kedua.
Ia selaras hasrat TV AlHijrah untuk menerbitkan lebih banyak program melibatkan wanita secara meluas.
Friday, December 16, 2011
Kemuncak pencarian Solehah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: