TIDAK sempat mengenal erti kasih sayang daripada orang bergelar ibu dan ayah sudah cukup malang buat dirinya. Ditambah pula setiap kali mengambil kad laporan akademik, yang kelihatan hanya pegawai kebajikannya yang berperanan sebagai pengganti penjaganya.
Itu antara sorotan kehidupan bekas penghuni rumah kebajikan, Maznah Abdullah, 32, yang dibesarkan hampir 16 tahun di sebuah institusi kanak-kanak di ibu kota.
“Dibesarkan tanpa ibu dan ayah membuatkan saya keliru dengan diri sendiri. Itu sudah cukup membuatkan saya berasa rendah diri.
“Saya kerap bertanya diri, masihkah saya mempunyai keluarga, dilahirkan tanpa kerelaan atau dibuang kerana kesempitan hidup,” katanya yang putus harapan untuk mencari kedua-dua orang tuanya.
Menurut Maznah, kehidupan di rumah kebajikan itu memang lengkap daripada segi makan, pakai mahupun kemudahan pendidikan.
Namun, pandangan masyarakat terhadap penghuni rumah kebajikan sepertinya sedikit sebanyak membuatkan dia tertekan dengan kehidupan dulu.
“Bukan semua bersimpati dengan nasib anak yatim seperti saya, sebaliknya segelintir sering mencaci, menyebabkan saya tidak mahu dikenali sebagai anak ‘home’,” katanya seolah-olah menahan keperitan kenangan lalu.
Menurutnya, imbauan saat kesusahan dilalui seawal persekolahan rendah kerana sering diejek rakan, kadangkala mencetuskan pergaduhan.
“Bayangkan saya mendaftar ke sekolah hanya ditemani pegawai kes dengan identiti sebagai anak ‘home’.
“Rakan sering memandang hina kerana saya tidak mempunyai keluarga dan tidak layak bergaul dengan mereka.
“Di sekolah menengah pula, penghinaan lebih teruk kerana mereka jelas melabel saya sebagai anak haram dan sebagainya.
“Tidak tahan sering diejek, saya membalas perbuatan mereka menggunakan kekerasan. Akibatnya, saya selalu dipanggil dan dihukum oleh guru serta dimarahi ibu bapa pelajar berkenaan,” katanya.
Namun, tidak mahu terus dibelenggu kehidupan sia-sia dengan melayan semua tohmahan masyarakat terhadapnya, Maznah mengambil langkah lebih optimis dengan menumpukan perhatian kepada kecemerlangan pendidikan.
Dia kini berjaya menempatkan dirinya dalam masyarakat sebaik memperoleh keputusan cemerlang dan mempunyai kerjaya stabil.
“Saya terpaksa berhempas pulas menempatkan diri dalam kelompok masyarakat dengan medium pendidikan.
“Hanya dengan keputusan pengajian cemerlang dan kerjaya berjaya, baru masyarakat memandang saya dengan persepsi lebih positif.
“Namun, tidak dinafikan terselit juga kebimbangan label dibawa iaitu ‘anak home’ kembali membelenggu saya andai wujud situasi negatif membuatkan saya terhukum kembali,” katanya.
Berlainan pula buat Siti Zulaiha Salamudin, 20, pengalaman menjadi anak ‘home’ tidak pernah menyisihkan dirinya daripada rakan.
“Saya tidak kisah jika mereka memanggil saya anak ‘home’ dan menyangka saya pelajar bermasalah.
“Ini kerana saya tahu semua perkara itu tidak benar dan cukup sekadar berdiam diri supaya berjaya menepis tohmahan mereka yang nyata tidak benar,” katanya yang pernah ditempatkan di institusi kanak-kanak di selatan tanah air.
Katanya, tindakan membalas dan melayan tuduhan buruk masyarakat hanya menjadikan keadaan lebih buruk berbanding berdiam diri.
Dia lebih senang menonjolkan diri melalui pencapaian akademik dan aktif kokurikulum di sekolah.
“Tidak dinafikan pada mulanya mereka menjauhi saya sebaik mengetahui saya daripada institusi berkenaan.
“Namun saya bertekad merubah persepsi dengan memperlihatkan kemampuan dan pencapaian dalam pendidikan mahupun kegiatan luar sekolah.
“Tanpa disedari bayangan ‘hitam’ saya hilang sebaik keyakinan dan kesungguhan saya berjaya menunjukkan sisi positif,” katanya yang rapat dengan pegawai kebajikan dikenali dengan Khadijah.
Bagi Zulaiha, pengalaman hidup bergelar anak ‘home’ sebenarnya banyak merubah hidup terhadap perkara lebih positif kerana dia berdepan pergolakan keluarga seketika sebaik bapanya meninggal dunia hampir empat tahun lalu.
“Sebaik tinggal di institusi ini, hidup saya lebih tersusun dan fokus terhadap masa depan lebih jelas.
“Saya tidak kisah apa masyarakat fikir kerana ia hanya stigma masyarakat yang tidak semestinya benar,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian ijazah sebaik menamatkan pengajian diploma dalam bidang Perakaunan baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: