Wednesday, December 21, 2011

Karnival pendidikan kumpul dana KIAI


Lakaran Kompleks Islam Al-Itisam yang bakal dibina dan dijangka siap pada 2014 yang mampu memberi faedah kepada umat Islam.


JIKA dilihat binaan masjid pada zaman Rasulullah SAW ternyata umpama langit dan bumi untuk dibandingkan dengan struktur masjid yang serba lengkap didirikan pada masa kini.

Binaan masjid pada masa itu hanya sekadar dikelilingi oleh tembok batu bata yang diperbuat daripada tanah liat sebagai dinding, menggunakan pelepah dan daun kurma sebagai atap dengan berlantaikan pasir.

Namun ia memainkan peranan penting dalam pembangunan tamadun Islam.

Masjid yang didirikan Rasulullah SAW bersama sahabat bukan sahaja berfungsi sebagai rumah ibadat tetapi memainkan peranan penting sebagai markas perpaduan ummah sehingga agama Islam mampu berkembang ke seluruh pelosok dunia. Buktinya apa yang kita kecapi hari ini.

Ini bertepatan dengan firman Allah bermaksud: Hidayah Allah bersinar dengan nyata (terutama sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (al-Nur: 36-37).

Mengambil pendekatan, mengembalikan peranan masjid sebagaimana yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW dan perintah Allah menerusi ayat di atas, Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Itisam Taman TTDI Jaya akan mendirikan Kompleks Islam Al-I'tisam (KIAI) bagi menggantikan masjid sedia ada.

Pengurus Dana KIAI, Mohd. Shah Sapiei, berkata, melihat kepada sambutan yang menggalakkan daripada setiap aktiviti di Masjid Al-Itisam yang sedia ada, pihaknya mengambil inisiatif membina kompleks Islam tersebut dan yakin mampu menghidupkan kembali peranan masjid seperti zaman Rasulullah SAW.

"Masjid ini tidak pernah putus dengan pelbagai aktiviti dan jemaah juga terus memberikan sokongan dengan menghadiri kuliah Maghrib dan Subuh yang kita adakan.

"Begitu juga pada pada hari kebesaran Islam disambut dengan penuh kemeriahan dengan pelbagai aktiviti seperti ceramah daripada penceramah jemputan, nasyid dan qasidah dendangan artis-artis terkemuka, seminar remaja dan dewasa, program kanak-kanak dan banyak lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Karnival Pendidikan Shah Alam 2011 di Taman TTDI Jaya, Shah Alam, baru-baru ini.

Karnival itu dianjurkan bagi mengumpul dana bagi membina Kiai yang dijangka akan mula dibina pada Mac 2012.

Karnival sehari yang berlangsung dari pukul 9.30 pagi hingga 11.45 malam itu disertai 60 pengusaha tadika, sekolah rendah dan menengah Islam swasta, pusat tuisyen, penjual buku dan peralatan sekolah dan sebagainya.

Karnival diserikan dengan pelbagai acara menarik seperti ceramah dan forum pendidikan, persembahan kumpulan nasyid, program kanak-kanak dan ramah mesra dengan pemain bolasepak negara.

Beliau berkata, KIAI memakan belanja kira-kira RM29 juta dan dijangka akan siap dibina pada 2014.

Kompleks Islam tersebut dijangka bakal memberi faedah kepada lebih 10,000 penduduk setempat juga orang ramai.

Beliau berkata kompleks tersebut akan dibina dengan dilengkapi pelbagai kemudahan untuk merealisasikan harapan mengembalikan fungsi masjid seperti pada zaman Rasulullah SAW.

"Memperlihatkan keindahan seni binaan Islam dan kontemporari dalam struktur binaan masjid pastinya akan menarik minat orang ramai mengimarahkan masjid bukan sahaja sebagai tempat beribadah tetapi menuntut ilmu dan bermuamalat (berjual beli).

"Pada masa sama, kompleks tersebut juga berperanan sebagai pusat pemangkin penyatuan ummah dengan fikrah yang satu berasaskan al-Quran dan sunah Rasullullah SAW," katanya.

Antara kemudahan yang bakal dibina termasuk dewan solat utama berhawa dingin berkapasiti 1,000 orang dan ruang solat terbuka boleh memuatkan 8,000 orang, Maahad Tahfiz, dewan serbaguna, bilik kuliah, bilik mesyuarat, ruang komersial, pejabat dan rumah kakitangan.

Selain itu, hotel Islam, restoran, perbankan Islam, butik busana muslim, ruang niaga berkonsep Islam turut akan dibina di Kiai.

Menurutnya, KIAI dilihat mampu menyerlahkan suasana baru yang meriah di kawasan setempat dengan reka bentuk bangunan moden berkonsepkan Islam.

"Daya tarikan yang ada pada Kiai mampu menarik perhatian ramai pengunjung terutama dihujung minggu.

"Aktiviti perniagaan dan nilai hartanah di persekitaran Taman TTDI Jaya dijangka memuncak sebaik KIAI mula beroperasi," katanya.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh membuat demikian dengan menghubungi Mohd. Shah di 012-2689872, Muhaiyanie Mustapa (019-9996489) atau Rosmaria Abd Rahman (012-2543076).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: