Sunday, December 11, 2011

Jue reda ujian pahit

Jue Aziz
Jue Aziz

DUA bulan Jue Aziz menderita penyakit misteri, sekali gus mengganggu penumpuannya terhadap kerjaya. Apa saja yang dilakukan serba tak kena dan segala kerja tak menjadi.

Masih berlakon tetapi di lokasi, dia terasa ada gangguan yang membuatkannya sukar memberi tumpuan, badan terasa lemah dan pada masa tertentu dia ‘ghaib’ di depan kru.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

“Seperti ada yang cuba menghalang rezeki saya tetapi kepada produser dan pengarah yang kenal rapat, tetap ambil saya berlakon dan mereka faham keadaan saya ketika itu. Saya ada di lokasi tetapi mereka kata saya tak datang. Saya reda dengan dugaan ini dan perlahan-lahan keadaan saya sekarang semakin pulih sepenuhnya.

“Saya sudah ‘dapat’ diri saya semula. Daripada apa yang saya lalui dan dugaan terbaru ini, saya banyak belajar dan melihat dalam diri, apa yang sudah saya buat selama ini. Saya anggap ia dugaan saya sebagai artis yang mana kita tak tahu siapa suka kita dan siapa tak suka pada kita serta dugaan sebagai hamba Allah SWT. Saya reda dengan setiap ujian yang datang kerana walaupun pahit saya dapat belajar sesuatu daripadanya.


“Kebelakangan ini saya hanya bercinta dengan kerja, itupun masih ada yang cuba mencari kesilapan saya. Masa untuk berpeleseran seperti zaman remaja dulu sudah tiada lagi. Cukuplah dengan apa yang saya lalui selama ini.


“Masa saya sekarang banyak di lokasi, selepas habis kerja singgah sekejap di kedai beli makanan dan terus balik rumah. Saya lebih banyak menyendiri lantas memberi ruang membetulkan semula hidup ini,” katanya.

Menginjak usia 28 tahun, dia terfikir untuk mendirikan rumah tangga apatah lagi ibunya teringin benar melihat anak daranya naik pelamin.

“Sebagai anak bongsu, sebelum emak ‘menutup’ mata, dia mahu tengok saya berkahwin. Apa daya saya kerana jodoh, ajal dan maut ditentukan Allah SWT. Biar apapun yang terjadi, keluarga tetap menjadi keutamaan di mana sokongan mereka dan peminat adalah sumber kekuatan saya.

“Saya pun tak tahu berapa lama lagi saya akan aktif dalam industri. Apa yang pasti, saya belum bersedia untuk bersara daripada bidang lakonan kerana ini minat dan periuk nasi saya. Barangkali, kalau saya sudah berumah tangga nanti, saya akan memperlahankan sedikit kerjaya seni ini. Saya percaya Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

“Pun begitu saya agak kesal kerana ada yang lebih suka menilai saya berdasarkan wajah sekali gus mereka menuduh saya ini gadis sosial. Mungkin saya kelihatan bergaya seksi ketika menghadiri majlis hiburan tetapi pada hari biasa, saya berpakaian biasa saja.

“Semakin berusia, saya semakin sedar diri. Bagaimanapun, saya tidak boleh menyalahkan sesiapa kerana ia hak masing-masing. Sampai masanya, setiap orang pasti akan berubah,” katanya.

Bulan lalu filem terbaru lakonan Jue, Abuya ditayangkan kepada umum. Sudah lama tidak dihimpit kontroversi, Jue kembali bimbang dan jantungnya berdegup kencang apabila memikirkan wataknya sebagai isteri keempat kepada Abuya (Faizal Hussein).

Sepatutnya menjadi isteri paling muda, dia mengecapi nikmat kasih sayang dan perhatian yang lebih daripada suami tetapi sebaliknya dia menjadi isteri yang gersang, gagal mendapat perhatian suami segi zahir dan batin.

“Dalam filem itu, saya terbiar sepi. Abuya asyik melayan isterinya yang lain sehingga saya dipinggirkan. Dek kerana marah, dendam, geram dan sakit hati, saya sanggup melakukan apa saja untuk meraih perhatian suami termasuk menggunakan nasi kangkang. Inilah adegan yang tak sanggup saya buat sebenarnya tetapi oleh kerana tuntutan cerita dan pengarah, dengan berat hati saya terpaksa melakukannya juga.

“Bagi menjiwai watak itu saya berkemban dan gerak geri saya ketika menyediakan nasi kangkang itu agak memberahikan. Filem ini mengisahkan ajaran sesat yang mana banyak perkara yang tidak sepatutnya kita lakukan, dipaparkan dalam filem ini. Mujur, tiada satu pun adegan saya dalam filem ini dipotong oleh LPF (Lembaga Penapisan Filem).

“Terlalu banyak adegan panas dalam filem ini termasuk saya terpaksa memuaskan nafsu salah seorang madu saya. Keempat-empat isteri Abuya tinggal serumah.

“Pada mata kasar filem ini dan lakonan saya bakal mengundang kontroversi tetapi mesej yang tersirat cukup kuat kerana saya memperjuangkan hak wanita dan isteri yang dimadukan.

“Filem ini mahu menunjukkan kepada penonton, ada wanita sanggup menggunakan ilmu hitam terhadap suami kerana dia berasakan dirinya teraniaya. Ia juga membuka minda saya mengenai masalah sosial dalam masyarakat terutama penderaan terhadap isteri sehingga ada isteri yang sanggup membunuh suami sendiri.
Wanita akan bertindak kejam apabila dia sudah tidak tahan melalui penderitaan disebabkan sikap suami.

“Selagi boleh saya cuba mengurangkan dan mengelakkan perkara sensitif dalam setiap lakonan saya tetapi pada masa sama saya kena hormat dan patuh pada kehendak pengarah yang juga penulis skrip filem itu, Imran Ismail. Bagaimanapun banyak adegan yang tergantung dan saya bimbang penonton tak faham kenapa sesuatu adegan itu diadakan dan apa tujuannya,” katanya.

Jelas Jue, boleh dikatakan sepanjang masa dalam filem itu dia berbaju tidur tali halus. Tidak mahu keterlaluan menayangkan tubuh montoknya, Jue mengenakan pakaian luar.

“Bagi saya, apa yang penting adalah kualiti lakonan, pakaian dan sebagainya hanyalah sebagai membantu jalan cerita itu agar ia lebih mantap. Ketika saya membaca skrip filem itu, jalan ceritanya biasa saja. Tiada satu pun yang melampaui batas dan sebab itulah saya terima tawaran Imran. Lagipun itu kali pertama saya diberi watak utama dalam filem.

“Tetapi apabila tiba di lokasi, lain jadinya. Imran minta saya melakukan sesuatu yang sangat sukar dan mencabar. Apa boleh buat, saya sudah tandatangan kontrak. Asalnya penggambaran yang dibuat di Perlis itu selama 15 hari tetapi berlanjutan sampai sebulan iaitu sepanjang Ramadan tahun lalu.

“Bayangkan Ramadan saya macam mana, saya tak berpeluang untuk menikmati keindahan Ramadan pada tahun itu dan tak sempat balik berbuka dengan emak di Kuala Lumpur.

“Sampai saja di lokasi, Imran terus bagi arahan buat begitu begini dan saya tak sempat berlatih. Saya terpaksa memikirkannya ketika itu juga apa yang perlu saya lakukan. Watak itu sangat mencabar kemampuan saya tetapi saya tetap boleh melakukannya dengan baik. Ketika melakukan adegan nasi kangkang, saya menangis kerana bimbang penerimaan keluarga dan peminat.

“Apabila saya dapat tawaran berlakon filem ini saya ada minta izin emak tetapi saya tak sangka pula apabila berada di lokasi, lain jadinya. Sebelum tercetusnya kontroversi selepas tayangan filem ini, saya minta maaf dengan emak dan harap peminat boleh terima yang ia cuma lakonan semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Jue bersyukur lakonannya sebagai jururawat dan kekasih kepada Zizan Raja Lawak dalam filem Hantu Bonceng berjaya memberi impak yang besar kepada kerjaya seninya.

“Baru-baru ini saya menjadi hos dalam projek Jelajah Satu Malaysia. Di mana saja rombongan kami berhenti, ramai yang mengerumuni, menjerit, ada yang menangis dan pengsan dapat berjumpa saya. Saya melayan mereka semua sampai tak ada masa untuk mengendalikan rancangan itu.

“Lantaran penangan Hantu Bonceng, sekarang ke mana pergi semua orang kenal saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: