Friday, December 23, 2011

Jahitan halus dan berseni

BERBEZA...potongan berbentuk kelawar serta tampalan sulaman nyata menampilkan imej kontemporari kepada si pemakai.
BERBEZA...potongan berbentuk kelawar serta tampalan sulaman nyata menampilkan imej kontemporari kepada si pemakai.

ABAYA yang dulu dikenali sebagai pakaian tradisi wanita di negara teluk atau Timur Tengah pada dasarnya hanyalah sehelai kain yang dipakai di luar atau di atas pakaian lain ketika keluar rumah.

Dulu rekaan abaya hanyalah pada perkara asas seperti kain hitam polos yang dipotong secara potongan A. Tetapi kini rekaannya semakin moden dengan pelbagai teknik jahitan seperti potongan payung atau rama-rama yang lebih kembang serta terbuka luas pada bahagian bawah.

  • Foto

    POLOS...biarpun polos namun sulaman pada hujung lengan baju memberikan penampilan berbeza kepada penggemar abaya.

  • Foto

    ABAYA BERTOPI...pemakaian abaya bertopi memberikan kelainan kepada si pemakai, apatah lagi disarungkan dengan tudung warna kontras.

Menurut pemilik butik Anggerik Avenue, Amnas Ibrahim, pemakaian abaya amat bertepatan dengan ciri-ciri pakaian wanita Muslimah.

Ini kerana sehelai abaya biasanya mempunyai beberapa ciri diperbuat daripada fabrik tebal, hitam, longgar serta labuh sehingga menutupi keseluruhan badan.Sudah tentu penampilan yang sopan menjadi simbol kepada gaya wanita Muslimah.Anggerik Avenue yang menyediakan kepelbagaian busana Muslimah termasuk jubah, tudung serta kelengkapan haji dan umrah juga menyediakan rekaan abaya buatan sendiri yang mempunyai keistimewaan dari segi potongan serta perincian manik.


“Jika di Timur Tengah kebanyakan rekaan abaya lebih sederhana dan polos, namun saya memberi sedikit kelainan dari segi penambahan topi serta selendang sedondon supaya wanita tidak sukar mencari padanan sesuai,” katanya.

Abaya rekaannya menggunakan fabrik likra dan sifon kerana sejuk dan menyerap peluh. Walaupun pembuatan abaya menggunakan fabrik yang banyak kerana perlu dihasilkan dalam dua helaian iaitu luar dan dalam, namun Amnas sentiasa memastikan fabrik digunakan berkualiti tinggi serta memenuhi tuntutan dalam pemakaian wanita Islam.

Jika dulu wanita memakai abaya polos atau jika ada hiasan hanyalah sekadar sulaman ringkas dengan warna senada tetapi kini kebanyakan abaya dihiasi tampalan kristal swarovski berkilauan, jahitan sulaman berwarna-warni, manik dan labuci serta penggunaan fabrik berlainan warna.

Bagi Amnas, dia lebih mementingkan keselesaan dari segi potongan dan jahitan yang halus dan berseni, abaya rekaan Anggerik Avenue diperindahkan dengan sulaman serta perincian manik pada bahagian dada serta lengan baju.

“Lebih menarik apabila terdapat tambahan ropol pada bahagian hujung baju sewarna tudung bagi memberikan imej lebih elegan untuk gaya ke majlis rasmi,” katanya.

Tambahnya lagi, kini abaya bukan hanya dipakai wanita berumur tetapi berjaya menarik minat pelbagai lapisan usia sehingga mereka menerimanya bukan hanya sebagai pakaian harian tetapi pakaian eksklusif yang membawa kepada imej kontemporari.

Selain abaya, Anggerik Avenue turut menyediakan pelbagai rekaan tudung berkualiti yang dihasilkan sendiri. Menariknya, pembeli boleh memilih busana sepadan dengan tudung sama ada untuk pakaian harian atau majlis rasmi. Pakaian dijual dengan harga bermula daripada RM280 sehingga RM1,300.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: