Sunday, December 11, 2011

Impak ekonomi sebab kanser


Saringan awal kanser mampu menyekat kemaraan sel-sel ganas tersebut daripada merebak dalam tubuh.


SETIAP bulan, seorang pesakit kanser perlu membelanjakan 30 peratus daripada pendapatannya bagi menampung kos rawatan.

Bukan suatu angka yang kecil, bayangkan RM300 ringgit perlu dibelanjakan bagi seorang yang berpendapatan RM1,000. Bagaimana pula bagi mereka yang tidak mampu berkerja kerana kesakitan yang dialami atau pun tidak mempunyai perlindungan insurans?

"Memang kajian tentang impak ekonomi terhadap pesakit kanser dan keluarga tidak pernah dilakukan. Justeru kami sangat berminat untuk tampil terlibat dengan kajian ini bagi membantu meningkatkan taraf kesedaran masyarakat tentang penjagaan pesakit kanser sekali gus berharap ia mampu memberi perubahan besar dari segi polisi rawatan," kata Pengarah Pusat Penyelidikan Klinikal, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Goh Pik Pin.

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara khas sempena seminar Kajian Kos Onkologi Asean (Action) fasa kedua yang melibatkan lapan buah negara iaitu Malaysia, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand dan Vietnam.

Menurutnya, setiap tahun kes kanser meningkat dan dijangkakan sehingga 60 peratus pada tahun 2020. Kenaikan ini berpunca daripada beberapa sebab antaranya gaya hidup yang menyebabkan kebanyakan daripada kita mengabaikan soal kesihatan. Selain itu kurangnya langkah pencegahan, penyaringan dan khidmat rawatan menyebabkan ramai yang datang menjalani rawatan ketika berada pada tahap kritikal.

Bukan sekadar kesakitan dan dialami, kanser sebenarnya menjejaskan kualiti hidup.

Jika dilihat pada data juga, kes kanser di kalangan golongan produktif iaitu masih muda juga tinggi. Ini memberi kesan yang sangat besar dari segi sosial dan ekonomi.

Umum mengetahui kos rawatan bagi kanser mencecah harga yang tinggi dan tidak semua tempat menawarkan khidmat sedemikian. Dari situ, pesakit dan keluarga perlu menanggung beban sepanjang rawatan dijalankan.

Kemudahan kesihatan semakin mendapat tempat di beberapa negara Asean seperti Malaysia dan Singapura tetapi tidak di Indonesia, Filipina, Vietnam dan Kemboja.

"Antara penyumbang utama kepada kenaikan kes kanser disebabkan kekurangan diagnosis dan kemudahan rawatan. Ramai beranggapan, apabila mereka diserang kanser maka tiada lagi penyelesaian dan hanya berserah kepada takdir," katanya.

Justeru pihaknya sangat berharap melalui kajian tersebut, mereka mampu melakukan sesuatu bagi membantu pesakit kanser pulih sepenuhnya atau sekurang-kurangnya menjalani kehidupan yang lebih berkualiti.

Katanya, tidak semua kanser mengundang kesakitan kepada pesakit dan terdapat pelbagai cara bagi mengurangkannya. Selain perubatan moden, hospital kerajaan ketika ini juga berkerjasama dengan perubatan komplimentari (TCM) bagi membantu mengurangkan penderitaan yang ditanggung pesakit.

"Hospital kerajaan menyediakan khidmat hospiscare bagi pesakit kritikal yang mungkin tiada peluang untuk sembuh. Namun sekurang-kurangnya kita membantu mengurangkan kesakitan yang dialami supaya mereka menikmati kualiti hidup lebih baik pada penghujung kehidupan," katanya.

Dalam pada itu, Pengamal Ekonomi Kesihatan dari The George Institute for Global Health yang terlibat dengan kajian itu, Merel Kimman berkata, pihaknya sangat berharap dengan penglibatan mereka mampu menyumbangkan sesuatu kepada negara-negara Asean di mana polisi perubatannya sangat berbeza dengan Barat.

"Kami ingin memberi fokus kepada kumpulan kurang bernasib baik di kawasan pedalaman yang mana belum terdedah sepenuhnya kepada kesedaran mengenai rawatan kanser dan juga diagnosis awal," kata beliau.

Menurutnya berbanding negara maju, kesedaran kebanyakan rakyat di negara Asean terutama Kemboja, Vietnam, Laos dan Indonesia masih rendah terhadap penyakit kritikal seperti kanser.

Mengenai Action

Dijalankan oleh Roche, sebuah kumpulan penyelidikan yang fokus dalam penjagaan kesihatan farmaseutikal dan diagnostik yang berpangkalan di Basel, Switzerland. Ia mendapat kerjasama pelbagai pihak seperti Kementerian Kesihatan Malaysia dan The George Institute for Global Health (berpangkalan di Sydney, Australia) Kajian fasa dua direka bagi mendapatkan impak ekonomi akibat kanser ke atas keluarga, variasi dalam pengurusan dan kos hospital serta bukan hospital. Ia juga menyasarkan impak sosial dan kualiti kehidupan pesakit kanser semua peringkat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: