RANTAU PANJANG – Kegilaan orang ramai untuk membeli-belah di Pekan Mundok, Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok bagai tidak berpenghujung apabila mereka terus mengunjunginya semalam walaupun amaran nyawa mereka mungkin tergadai didedahkan media semalam.
Orang ramai termasuk ibu bapa yang mengendong atau mendukung kanak-kanak kecil dilihat bertali arus menyeberangi Sungai Golok dari pangkalan haram Bukit Lata di sini dengan menaiki sampan tidak berlesen dan tanpa jaket keselamatan.
Tinjauan Kosmo! dari pukul 12 tengah hari hingga 3 petang semalam menyaksikan ribuan penduduk tempatan dan pelancong luar Kelantan menyeberangi sungai pada kelebaran kira-kira 80 meter itu dengan sampan yang sarat dengan muatan termasuk basikal, periuk dan pinggan mangkuk yang dibeli dari pekan itu.
Rata-rata pengunjung yang ditemui mengakui tindakan mereka itu berbahaya namun kerana ghairah untuk membeli barangan pada harga yang amat murah di situ membuatkan mereka melupakan risiko yang ditanggung jika berlaku kejadian tidak diingini.
Seorang pengunjung dari Tanah Merah yang hanya mahu dikenali sebagai Eri, 39, berkata, harga barangan yang amat murah menjadi tarikan utama orang ramai ke Pekan Mundok.
“Kalau beli seluar jean yang berharga RM60 di tempat lain, di sana boleh dapat RM28 sahaja. Begitu juga tilam toto boleh dibeli pada harga RM30 sedangkan di Rantau Panjang sekitar RM40,” katanya.
Dekat dengan tempat ambo ni...hehehe
ReplyDelete