|
VOKAL istimewa lelaki ini pernah terbentuk harmoni dalam alunan irama dan lagu sebuah grup. Bersama Kerispatih, mereka membentuk persahabatan, berkongsi rasa, beradaptasi dengan gula dan garam kehidupan. Begitu perkenalan pada 2003 itu terbentuk hingga melancarkan tiga album Kerispatih bersama-sama.
Album dengan judul Kejujuran Hati (2005), Kenyataan Perasaan dan Tak Lekang Oleh Waktu (2008) adalah bukti kepada jalinan ini. Single Tapi Bukan Aku pula menjadikan mereka salah sebuah grup baharu yang perlu diberi perhatian waktu itu.
Namun bahtera muzik yang dilalui Sammy sang vokalis bersama bertemu gelora ketika lautan sedang lancar dilalui. Dia kemudian terkontang-kanting sendiri, cuba melawan gelora sehingga perahu kecilnya ditinggalkan sendiri. Tiada lagi Badai, Arief, Andika dan Anton mengiringi hidupnya tatkala dia dilanda musibah. Sebuah kekhilafan yang dicarinya sendiri.
Sammy atau Hendra Samuel Simorangkir sebenarnya tersadung silap sendiri. Tekanan demi tekanan yang diterima membuatkan dirinya mendekati kejahilan dunia. Dia membenarkan dirinya mendekati najis masyarakat, lebih tepat lagi dadah.
Tarikh malang 2 Februari 2010, dia ditangkap di sebuah hotel di daerah Pedurenan Sawit Setiabudi, Jakarta Pusat. Bersamanya ditemui paket-paket syabu dan sejumlah alat menghisap dadah. Sammy juga positif menggunakan dadah sekali gus menjerat diri di belakang tirai besi.
Bertemu vokalis bersuara merdu di Jakarta baru-baru ini, dia tidak segan silu berkongsi cerita hitamnya. Tuturnya jujur tanpa sembunyi kerana dia bukan sahaja berkongsi cerita dan rasa tetapi juga memberi iktibar untuk dibaca.
"Tidak usah menangis kerana tangisan tidak akan dapat mengubah apa-apa," itu bunyi nasihat yang mengubah sikap mendung insan bernama Sammy.
Nasihat yang diperoleh daripada teman-teman kubu tirai besi yang rata-rata merupakan pembunuh, perogol dan penjenayah yang sebenarnya mempunyai hati yang baik pada satu sisi lain.
"Saya sempat menangis semahunya dalam penjara. Tidak mahu buat apa-apa dan berdiam diri. Rupanya ada yang prihatin dan simpati terhadap saya. Ada yang beri motivasi kepada saya tatkala saya ditinggalkan sepi rakan-rakan seperjuangan yang tidak pernah menjenguk saya di penjara. Malah pihak label rakaman dan keluarga turut tidak mempercayai saya," luah Sammy yang ditemui tentang kehidupan penjara yang dilalui pada Februari 2010 hingga 8 September 2010.
Emosi ranap
Hidup dalam penjara di Salembar bukanlah satu jadual yang mudah untuk dilaluinya. Berbantalkan air mineral dan berkongsi bilik seramai sembilan orang, perkara itu sangat berbeza dengan kehidupan selebriti yang dilaluinya.
"Mental saya ranap. Menangis dan menangis dan rasa tidak mahu menyanyi lagi. Saya hilang keyakinan diri. Harapan seolah tiada lagi namun kemudian ia berubah dengan pendekatan rakan-rakan penjara saya," ceritanya tentang kehidupan jeriji besi yang dilaluinya.
"Saya sempat berbicara dengan Ariel Peter Pan yang dimasukkan ke Rumah Tahanan Kebonwaru, Bandung. Ariel menangis ketika itu. Saya kemudian memberitahu dirinya bahawa nasib kita sama tetapi sisi positifnya dia tidak ditinggalkan teman-teman grup Peter Pan. Dia harus lebih kuat daripada saya kerana dia sentiasa ada sokongan daripada belakang," senyumnya mengingatkan persamaan dan perbezaan nasib mereka.
Bangkit melihat kesilapan lalu sebagai satu penyesalan dan pengajaran, Sammy menganggap titik hitam lalu adalah sesuatu yang tidak usah dilihat lagi. Dia kemudian bangun dan sempat mencipta sekitar 34 buah lagu dalam penjara.
"Di saat orang terdekat menjauhi, ada 3,000 orang yang tidak saya kenali menghampiri saya. Ribuan penghuni penjara ini mengusap dada saya memberi kata semangat. Saya sempat bernyanyi untuk mereka dalam penjara malah ketua penjara tersebut adalah peminat saya," senyumnya akan sebuah hikmah yang hadir dalam hidupnya.
Tidak sah kalau tidak bertanyakan tentang rumah pertamanya yang mengenalkan erti industri dan kehidupan selebriti. Di kehidupan Kerispatih, Sammy berkenalan dengan dunia selebriti dan glamor.
"Namanya hidup. Dulu waktu berlima, kononnya teman sehidup semati tetapi duit mengaburi semua itu. Waktu saya terkena masalah, terus saya dipecat. Walhal ada anggota dalam Kerispatih yang juga sama pernah bergelumang dadah cuma tidak malang seperti saya.
"Dalam Kerispatih itu, masalah yang tidak sihat adalah daripada segi kewangan. Tiada keterbukaan antara pengurusan dan anggota grup. Saya merupakan anggota yang paling ingin tahu dan keras kepala. Saya sering mahu tahu tentang kontrak dan pembayaran. Akhirnya semua masalah disimpan sendiri," jujurnya yang menganggap 'penyimpanan' tersebut antara punca dia mencari jalan keluar dengan mendekati dadah.
"Setelah keluar penjara, saya tidak dibenarkan menyanyi semua lagu Kerispatih. Kalau saya nyanyi, mereka akan saman. Kemunculan pertama saya di kaca televisyen selepas keluar penjara adalah di rancangan Harmoni.
Bangkit semula
"Mulanya tidak yakin tetapi kemudian Erwin Gutawa memberi saya keyakinan dan berkata, ramai yang mengharapkan saya kembali. Saya kemudian menyanyikan lagu Sephia dan Tak Ada Yang Abadi," ujarnya yang sudah memupuk gunung yakin dalam diri. Grup Gigi dan Padi disebut Sammy sebagai antara grup yang pernah memberinya semangat.
Atas kumpulan semangat sendiri dan persekitaran, Sammy bergerak solo dengan menggunakan nama Sammy Simonangkir. Single Sedang Apa Dan Di Mana sedang enak diputarkan di corong radio dan mendapat tempat di hati pendengar.
"Awalnya memang tiada niat untuk muncul solo. Satu hal yang tidak disengajakan dan saya menghadap kenyataan sahaja. Emosi saya sekarang sangat indah dan sentiasa berfikiran positif. Terpacu ketenteraman," luahnya dalam hela nafas yang tenang.
Agak kekok bergerak ke sana ke mari secara solo, Sammy menjemput beberapa rakan pemuzik jemputan untuk mengiringi persembahannya. Jujur kata Sammy, dia terlalu trauma untuk membentuk grup kekal kerana kurang percayakan individu lain atas nama pengalaman.
Lalu penulis tanyakan Sammy, apa yang membezakan dia dan Kerispatih kini.
"Nah, itu dia. Saya memperdengarkan beberapa lagu kepada teman-teman pemuzik. Mereka memberitahu bahawa saya membikin lagu yang baik. Saya masih di jalur pop dan tidak meniru siapa-siapa. Tetapi kesan vokal saya di Kerispatih membuatkan mereka merasakan seperti mendengar lagu grup tersebut. Itu daripada aspek vokal dan saya tidak boleh menidakkan kerana itu memang vokal saya yang tidak mungkin boleh diubah," ujarnya tetap dengan vokal dan pendirian sendiri.
Sedang melayari kehidupan dengan segala elemen positif di sekitarnya, sebelum usai pertemuan di Jakarta, Sammy sempat berbicara lembut atas nama kesedaran. Ujarnya," Banyak yang saya pelajari. Saya tidak mahu mengulangi lagi kesilapan lalu dan belajar untuk berkongsi rasa. Jangan pernah memendam perasaan."
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: