SERIUS...Shiha beri tumpuan kepada albumnya.
PERTAMA kali bertemu naib juara program Mentor musim kelima, Nurshiha Mohd Zikir atau lebih dikenali, Shiha, 24, minggu lalu memberikan satu ruang terbaik buatnya berkongsi cerita.
Meskipun tidak lama duduk bersembang, pertemuan singkat itu penuh dengan kisah terbarunya dan segala percaturan yang kini sedang gigih disusun.
Persoalan pertama yang terpacul sebaik melihat protege kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Sharifah Aini ini, mengapa terus senyap dan hilang dari gelanggang seni.
Bagaimanapun jelasnya yang cukup bijak menyusun bicara, diamnya tidak bererti mati. Malah tiada publisiti yang diberikan juga bukan pengukur yang mengatakan dirinya sudah terkubur.
“Saya tidak pernah berhenti berusaha untuk membina kerjaya nyanyian seperti mana impian saya sejak dulu. Cuma sejurus tamat Mentor, saya hanya meletak sepenuh fokus pada pembikinan album dan pelbagai rangka promosi. Saya akui memang kurang tampil di media atau mana-mana acara kerana saya memang sibuk menyiapkan album.
“Alhamdulillah, itulah bukti kesungguhan dan komitmen saya dalam lapangan seni suara. Biarlah jika ada yang beranggapan kononnya saya hilang atau senyap kerana apa yang penting saya akan tampil dengan album nanti,” katanya.
Gadis bersuara lunak berusia 24 tahun ini turut mengakui tidak gemar tampil menabur kisah peribadi semata-mata ingin sering kelihatan di lensa kamera sebaliknya lebih menjaga perihal peribadi di ruangnya sendiri.
“Umi (Sharifah Aini) dan pengurus memang begitu menjaga saya untuk tidak tercalit kisah yang bukan-bukan kerana bimbang ia akan mengganggu perjalanan kerjaya yang baru hendak bermula ini.
“Mereka memang tidak mahu jika saya bersuara soal peribadi atau menjawab sebarang persoalan yang boleh mengheret saya ke kancah negatif kerana ia memang akan merosakkan reputasi sedia ada.
“Saya cukup menghormati prinsip itu meskipun awalnya saya mengakui begitu sukar untuk akur kerana jujurnya saya tidak gemar berahsia jika ada pihak yang bertanya.
“Namun sebaik membawa status selebriti, saya faham akan perlunya ada ruang peribadi untuk seseorang artis itu agar tidak semuanya diketahui umum. Saya rasa apa yang Umi aturkan adalah untuk kebaikan saya dan kerjaya seni sendiri.
“Publisiti memang begitu penting buat seseorang penyanyi namun biarlah ia positif dan satu bentuk promosi yang baik untuk kerjaya. Tampil ke depan dengan memperdagangkan kisah peribadi atau terpaut oleh episod kontroversi adalah bukan saya sama sekali,” katanya.
Meskipun sudah dimaklumkan dirinya tidak mahu ditanya soal peribadi, persoalan mengenai teman istimewa tetap disulam perlahan-lahan. Menghidu akan dirinya akan terjerat teka-teki cinta, pantas anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulau Pinang ini mengalih tumpuan.
“Saya tidak menafikan punya ramai kenalan dan soal cinta atau kekasih itu terlalu peribadi untuk saya kongsi di sini. Namun apa yang mampu saya katakan, memang setakat ini saya ada mengenali seseorang dan hubungan kami memang akrab. Saya mengenalinya sejak sebelum menyertai Mentor lagi dan dia juga bukanlah sesiapa dalam industri hiburan.
“Namun biarlah perkara itu berjalan dengan sendirinya kerana saya tidak mahu membebankan fikiran dengan istilah cinta di hati. Apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah album penuh yang akan diterbitkan tahun depan serta lagu baru, Jangan Lagi Jauh yang sudah hampir siap untuk diperdengar selewat-lewatnya awal Januari ini,” katanya.
Menyentuh soal perkembangan terbarunya, Shiha yang pernah popular menerusi lagu Bila Bertemu sentuhan komposer Ajai di malam akhir Mentor tidak lama dulu, kini sibuk dengan jadual rakaman album penuhnya. Album yang akan memuatkan lima lagu itu dijangka mula menjengah pasaran sebelum pertengahan tahun depan.
“Sekarang saya sibuk mempromosikan lagu terbaru, Jangan Lagi Jauh ciptaan Kuncidemak. Ini adalah satu strategi pihak pengurusan dan rakaman untuk memberikan sedikit bayangan sebelum album penuh dikeluarkan kemudian.
“Peminat saya tidak henti bertanya bila album saya muncul. Saya mengharapkan lagu Jangan Lagi Jauh ini akan melepaskan kerinduan mereka dulu sebelum saya menghadiahkan mereka dengan album penuh kemudian nanti,” katanya yang kini bernaung di bawah pengurusan Monkey Bone.
Selain nyanyian, dalam diam Shiha yang sebelum ini pernah membintangi beberapa drama sebelum menyertai Mentor, turut memasang impian bergelar pengacara televisyen satu hari nanti.
Akui Shuiha, banyak tawaran lakonan dan pengacaraan diterima namun terpaksa di tolak atas sebab tertentu. Baginya, mengacara sesebuah program adalah satu lagi cabang seni yang mengundang rasa puas buatnya.
“Peluang menjadi pengacara bersama dalam program bual bicara Malaysia Hari Ini (MHI) pada Aidilfitri lalu membuatkan saya mula mencintai lapangan pengacaraan.
“Walaupun hanya sebentar mengendalikan MHI ketika itu, tapi saya begitu seronok dan mengimpikan untuk mengacara program-program seperti itu lagi.
“Sebelum ini pun ramai teman dan ahli keluarga yang pernah menyuarakan pendapat kononnya saya patut menceburi lapangan pengacaraan. Mungkin mereka melihat pada karektor dan personaliti saya yang gemar berjenaka dan tidak berhenti bercakap. Namun tidak pula saya terfikir hinggalah ada pihak stesen televisyen sendiri yang datang melamar.
“Bagaimanapun saya tidak mahu terkejar-kejar untuk melakukan semua kerja sebaliknya bidang nyanyian masih lagi menjadi fokus utama dan kerjaya tetap buat saya. Insya-Allah jika ada rezeki dan peluang untuk mengendalikan sesebuah program, saya ingin sekali mencuba bagi mengukur kemampuan sendiri,” katanya.
PROFIL
Nama penuh: Nurshiha Mohd Zikir
Tarikh lahir: 2 November 1987
Umur: 24 tahun
Tempat lahir: Bukit Mertajam, Pulau Pinang
Keluarga: Bongsu daripada tiga beradik
Lagu: Bila Bertemu & Jangan Lagi Jauh
Drama: Bujang Sepah Lalalitamplom, Gerak Khas, Sutun dan Kilauan
Program televisyen: Malaysia Hari Ini dan Mentor Raya
Pencapaian: Naib Juara Mentor
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: