Monday, December 5, 2011

Chef Yan dikagumi peminat




MINAT memasak yang ada pada diri anak kelahiran Guangzhou, China, itu sebenarnya telah dipupuk oleh ayah dan ibunya sejak beliau kecil lagi.

"Bapa saya bekerja sebagai pengurus restoran dan ibu pula menjalankan perniagaan kedai runcit. Sejak kecil, jika ada masa lapang, saya akan belajar memasak dengan bapa dan ibu saya.

"Ketika berusia 13 tahun, secara tidak langsung kerjaya saya sebagai chef bermula. Ketika itu, saya berpindah ke Hong Kong untuk menyambung pengajian di Kolej Munsang yang terletak dalam bandar Kowloon.

"Sepanjang tempoh pengajian, saya melakukan kerja sampingan dan bekerja di sebuah restoran masakan Cina milik bapa saudara saya.

"Selepas tamat pengajian saya berhijrah ke Kanada dan Amerika Syarikat sekitar tahun 1975," ujarnya ketika ditemui dalam pameran Fabulous Food 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini.

Ditaja oleh pengeluar sos dan bahan perasa, Lee Kum Kee, kempen Show Your Love Through Taste yang dibawa Chef Yan nyata menarik perhatian ramai pengunjung ketika beliau melakukan demonstrasi masakan ayam sizzling flambe, roll daging lembu dan ayam serta stik ayam serai.

Menurut Chef Yan, kerjaya beliau sebagai chef selebriti bermula di Kanada ketika muncul dalam siri rancangan temu bual Calgary pada tahun 1978 diikuti dengan siri masakan Yan Can Cook yang telah disiarkan lebih 50 buah negara sejak tahun 1982.

Bakat masakan Asianya nyata berbeza kerana kaedah yang ditunjukkan itu amat mudah untuk dipelajari.

Tidak hairanlah mengapa beliau mempunyai pengikut setia yang sentiasa menantikan kemunculannya dalam program travel log masakan yang menampilkan tempat-tempat tumpuan masakan seluruh Asia.

Walaupun bidang kepakaran beliau merupakan hidangan masakan Cina moden, namun beliau sendiri mengutamakan aspek gaya masakan tradisional pada setiap masakannya.

"Walau betapa moden sesuatu masakan tersebut, gaya tradisional perlu dipelihara agar resipi masakan tersebut masih terasa segar seolah-olah masakan air tangan ibu," katanya.

Sama ada di televisyen atau secara peribadi, Chef Yan ternyata mudah bergaul dengan peminat bersama gelagat humornya yang pasti memikat hati.

Selain mendedahkan keunikan khazanah masakan Cina dan Hong Kong, Chef Yan turut memaparkan pelbagai tip-tip yang boleh digunakan ketika berada di dapur. Antaranya seperti, cara-cara mudah untuk memotong daging, sayur dan pemilihan rempah ratus yang bermutu tinggi.

"Saya teruja dengan peluang yang diberikan untuk bertemu peminat di Malaysia kerana saya rasa begitu dihargai," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: