Friday, December 9, 2011

Cabaran baru Maya, Aaron


BAGI Aaron Aziz, Ombak Rindu memerlukannya bermain dengan emosi.


TIADA siapa pernah menyangka filem Ombak Rindu yang menjadi bualan ramai ketika ini akan menjadi fenomena luar biasa.

Apatah lagi untuk sebuah filem bercorak melodrama seperti ini, ia sesuatu yang di luar jangkaan lantaran genre aksi, komedi dan seram masih lagi mendominasi pasaran.

Bayangkan, Ombak Rindu berjaya mengalahkan filem blockbuster, The Twilight Saga: Breaking Dawn - Part 1 pada hari pembukaan dengan mencatatkan kutipan sebanyak RM750,000.

Tidak sampai tiga hari tayangannya, ia telah mencatatkan kutipan sebanyak RM4 juta dan kutipan dijangka mampu mencecah RM5 juta menjelang hujung minggu ini.

Memang tidak dinafikan, kejayaan filem Ombak Rindu terletak kepada garapan lakon layar yang cukup kemas selain populariti para pelakonnya yang telah memberikan impak tersendiri menerusi lakonan mereka.

Teraju utama Ombak Rindu, Maya Karin merupakan antara yang mendapat perhatian apabila watak Izzah cukup cemerlang dibawakannya.

Bagi Maya, dia sendiri tidak pernah menyangka Ombak Rindu akan memberikan impak seperti mana yang dapat dilihatnya ketika ini.

"Apabila menerima tawaran untuk Ombak Rindu, saya tidak pernah memikirkan tentang kutipan tiket atau membayangkan sejauh manakah filem ini dapat diterima dengan baik.

"Apa yang penting bagi saya adalah untuk memberikan yang terbaik. Saya juga percaya semua pelakon dan seluruh krew produksi juga telah memberikan kerjasama yang cukup baik untuk menjadikan Ombak Rindu sebagai sebuah karya yang baik.

Impak

"Lalu, apabila Ombak Rindu mendapat sambutan luar biasa seperti sekarang, ternyata ia sesuatu yang mengejutkan. Tiada kata yang saya dapat ucapkan melainkan terima kasih kepada semua yang menyokong Ombak Rindu," jelas Maya dalam nada yang cukup optimis.

Menyambung bicara, aktres jelita ini melahirkan kekagumannya apabila ada di antara penonton bukan Melayu yang turut ke pawagam untuk menonton Ombak Rindu.

Bukan itu sahaja, menerusi maklum balas yang diterimanya juga, ada segelintir penonton Melayu yang sebelum ini jarang menonton filem Melayu turut terkena tempias fenomena Ombak Rindu.

"Ombak Rindu telah membuka mata dan minda mereka terhadap filem Melayu. Jadi, saya melihat itu sebagai sesuatu yang sangat positif," jelas Maya yang mula dikenali menerusi filem Seri Dewi Malam arahan Aziz M. Osman pada tahun 2001 ini lagi.

Dalam masa yang sama, wanita kacukan Jerman-Melayu ini juga memasang impian untuk melihat kegemilangan filem bercorak drama dan cinta kembali mendapat tempat di hati peminat.

Apatah lagi, sudah lama penonton tidak disajikan dengan cerita cinta yang dapat memberikan impak seperti mana filem Azura (1984), Sembilu (1994) dan Sembilu II (1995).

Keserasian

Sementara itu, Maya atau nama sebenarnya Maya Karin Roelcke sememangnya tidak mempunyai masalah untuk mencipta keserasian dengan mana-mana pelakon yang digandingkan bersamanya.

Menerusi Ombak Rindu yang ditayangkan mulai 1 Disember lalu, Maya dilihat mempunyai keserasian yang sangat baik dengan hero pujaan wanita masa kini, Aaron Aziz.

Kata Maya, dia tidak berdepan dengan masalah untuk berlakon dengan Aaron yang disifatkannya sebagai aktor yang berjaya membawakan watak Hariz dengan baik sekali.

"Ini merupakan gandingan pertama saya dengan Aaron walaupun pernah berlakon dalam filem Pisau Cukur sebelum ini. Tetapi ketika itu, saya tidak banyak adegan bersamanya.

"Apabila diberi peluang bergandingan dalam Ombak Rindu, saya dan Aaron dapat menghayati watak masing-masing dengan baik sekali meskipun ada babak yang kelihatan begitu intim sekali.

"Mujurlah isteri Aaron, Diyana Halik seorang yang memahami tugas suaminya sebagai seorang aktor lalu ia memudahkan kerja kami untuk menghabiskan babak kami," jelas Maya yang pernah diiktiraf Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 (2004) menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam di Fukuoka, Jepun ini lagi.

Bercerita lanjut tentang watak Izzah yang dilakonkannya dalam filem arahan Osman Ali itu, Maya tidak menafikan ia merupakan watak yang paling mencabar dan banyak menuntut emosinya sebagai seorang pelakon.

Sambil menyatakan rasa puasnya dapat memegang watak tersebut, Maya memberitahu dia perlu memastikan Izzah tidak lari dari dalam dirinya dan mengekalkan emosi tersebut sepanjang lima minggu menjalani penggambaran.

Kekal

Sehinggakan, kata wanita kelahiran Bayreuth, Jerman itu, guru lakonannya dalam filem itu, Ellie Suriaty Omar menyuruhnya untuk terus berada di dalam watak Izzah biarpun di luar lokasi.

"Disebabkan itu saya katakan Izzah memang cukup mencabar diri saya. Berbeza dengan filem-filem lain sebelum ini, Ombak Rindu lebih banyak bermain dengan emosi dan lontaran vokal sesuai dengan perwatakan Izzah, seorang gadis kampung yang bertudung.

"Untuk mencari jati diri Melayu itu, saya sendiri mengambil inisiatif untuk mendengar lagu asli Melayu selain mencari seorang ustazah bagi membantu saya melancarkan lagi bacaan al-Quran saya.

"Keseluruhannya, saya amat menyukai watak Izzah ini dan saya harus berterima kasih kepada Osman yang mempercayai kebolehan saya dalam membawakannya," kata pemilik trofi Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-21 (2008) menerusi filem Anak Halal juga arahan Osman Ali.

Dalam pada itu, Maya juga membuka cerita bahawa novel Ombak Rindu merupakan antara novel Melayu pertama yang menjadi bahan bacaannya sekitar sedekad lalu.

Tidak menafikan ia salah sebuah novel kegemarannya, Maya memberitahu apabila Osman mahu mengarahkan versi filemnya, ia telah membuatkan Maya begitu teruja sekali.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: