Tuesday, December 20, 2011

Cabar diri

Zarina Zainoordin
Zarina Zainoordin
Ingin rakam single dangdut

BERILAH apa saja kepada artis kelahiran Johor ini - menyanyi, menari, berlakon mahupun beraksi di depan kamera - semuanya akan ditunaikan sepenuh hati. Tiada istilah malu pada dirinya apabila membabitkan soal kerja, dan sentiasa ditemani keyakinan menebal dalam diri.Ketika menjayakan sesi fotografi bersama Hip beberapa hari lalu, sekali lagi keyakinan dan kesungguhan artis serba boleh ini terserlah. Bukan sekadar bersikap ceria sepanjang sesi terbabit, malah dia cuba memberikan gaya terbaik untuk memuaskan hati semua pihak terbabit. Sikapnya itu cukup menyenangkan hati dan harus dipuji.
Ada saja ideanya yang dikeluarkan ketika gambar dirakam jurugambar Berita Harian, dan sesekali dia cuba mencari mood dengan bercakap seorang diri. Itulah Zarina Zainoordin, wanita jelita berusia 27 tahun yang bakatnya mula diserlahkan menerusi program realiti Akademi Fantasi musim kedua, pada 2004.

Di sebalik wajahnya yang penuh kelembutan, harus diakui sifatnya agak berbeza kerana figura ini cukup gemar mencabar diri bagi memberikan sesuatu yang terbaik dalam kerjayanya.

Lihat saja kesediaannya dirinya bergambar di atas dua tong dengan mengenakan sepasang kasut tinggi, semata-mata mahu memberikan gaya berbeza buat tatapan peminat dan pembaca Hip.

“Saya seorang yang lasak dan suka mencabar diri. Saya mahu memberikan yang terbaik kepada kerjaya saya dan mahu mencuba apa saja dalam bidang seni.
“Sesiapa yang tidak mengenali saya sepenuhnya tidak tahu yang saya ialah gadis lasak, berani dan sentiasa mahu tampil berbeza,” kata anak keempat daripada enam beradik itu.

Berbicara soal kerjaya, Zarina berkata, setelah bertuah memenangi kategori dangdut pada konsert reunion lalu, dia terus terbuka hati untuk melihat irama itu sebagai sebahagian daripada genre muzik pilihannya selepas ini.

“Sebaik saja menang, saya terfikir ia disebabkan peminat mahu saya menyanyikan genre seperti itu. Jadi saya mengambil peluang yang ada untuk melancarkan single yang berirama dangdut tidak lama lagi.

“Saya mahu keluarkan single terlebih dulu. Jika mendapat sambutan baik, ia mungkin akan disusuli album mini yang yang memuatkan lima atau enam lagu,” katanya yang akan menggunakan modal sendiri bagi menghasilkan album terbabit, selain bekerjasama dengan beberapa rakan yang berpengalaman dalam bidang itu.

Katanya, sebagai artis, dia bukan saja mahu menjadi penyanyi, tetapi juga seorang penghibur yang diingati. Malah, dia enggan dikenali sekadar untuk beberapa tahun, sebaliknya biarlah kekal di sanubari peminat buat selama-lama.

“Ramai yang ingat, saya sudah tidak mahu menyanyi, tetapi sangkaan itu sebenarnya tidak betul sama sekali. Nyanyian ialah minat utama saya sejak dulu lagi. Bidang lakonan tidak sesekali membuatkan saya lupa pada dunia muzik, dan saya sendiri ingin terus aktif menyanyi sampai bila-bila,” katanya yang tidak habis-habis memuji sentuhan jurusolek, Syafieq Ayman, yang membuatkan wajahnya lebih cantik.

Naik pelamin tahun depan

KAHWIN? Ketika frasa tunggal ini disogok kepada empunya diri, dia berhenti bercakap sebentar. Mungkin memikirkan ayat terbaik menerangkan apa yang diperlukan dirinya sebelum melangkah ke gerbang bahagia.

“Saya akan berkahwin dan ia pasti berlaku dalam hidup saya. Saya mahu berkahwin kerana tidak sabar untuk melihat wajah anak sendiri. Jika melihat anak buah, saya akan termenung dan mula berfikir, pada usia 27 tahun, saya masih tidak mempunyai waris daripada rahim saya sendiri. Ketika itu saya berdoa semoga Allah menyusun yang terbaik untuk diri saya.

“Jika tiada aral melintang, tahun depan saya mahu menamatkan segala-galanya. Sudah cukup rasanya saya hidup bersendiri dan kini saya sudah bersedia untuk berumahtangga. Cari duit banyak mana sekali pun, saya rasa kita tidak gembira jika tidak memiliki keluarga sendiri,” katanya jujur.

Tanpa berdolak dalik, Zarina menjelaskan, dia kini berpacaran dengan seorang jejaka berusia 30 tahun. Hubungan bersama lelaki bukan daripada warga seni itu sudah berlangsung selama lima tahun.

“Jika ada jodoh dengan si dia, saya akan terus menerima pinangan keluarganya dan berkahwin. Setakat ini, hanya dia yang memahami diri saya dan tahan dengan sikap keras hati saya ini.

“Saya bukan jenis gadis lembut yang suka bersolek dan sentiasa kelihatan cantik. Saya kasar dan lasak orangnya, dan dia memahami diri saya seperti itu,” katanya tersenyum sambil memberitahu, hubungan mereka direstui kedua belah pihak dan dia sendiri sudah beberapa kali menziarahi rumah bakal mentuanya.

Berpegang kepada falsafah diri iaitu jangan sesekali mencampurkan urusan kerja dengan emosi diri, Zarina berharap dapat memiliki suami yang dapat membimbing dirinya sebaik mungkin.

“Saya minta kepada Tuhan supaya kurniakan suami yang beriman, yang mengajak saya solat dan membaca al-Quran lebih fasih daripada diri saya,” katanya.

Berbaju kurung di Melbourne

SEMENTARA itu, bercerita mengenai pengalaman kali pertama berlakon di luar negara, iaitu di Melbourne, Australia, baru-baru ini, Zarina mengakui ia pengalaman cukup manis. Pengalaman itu dikecapi ketika menjayakan penggambaran drama Dingin Lavenda siaran TV3.

“Selain gembira dapat berlakon dengan pelakon seperti Eira Syazira, ada juga yang pahitnya apabila saya demam ketika berada di sana. Bayangkanlah, orang lain bersiap sedia bawa stokin dan baju sejuk, tetapi saya tidak bawa dan hanya dengan berpakaian baju kurung sepanjang sesi penggambaran berlangsung. Tetapi, demam macam mana pun, tugas yang dipikul harus ditunaikan.

“Bukan saya saja, kru produksi juga ada yang diserang selsema dan ia berjangkit dari seorang ke seorang yang lain,” katanya yang menjalani penggambaran selama sembilan hari di negara kanggaru itu.

Dalam drama berkenaan, Zarina memegang watak Murni, perempuan kampung yang melanjutkan pelajaran di Australia. Hampir 70 peratus lokasi penggambaran adalah di Melbourne, termasuk di ladang lavender, manakala selebihnya di negara ini.

“Bekerja dengan pengarah Amy Maziah agak berbeza. Jika di luar set, dia seorang yang baik tetapi di dalam set, wajahnya berubah menjadi tegas. Saya suka caranya bekerja dan memberi arahan kepada pelakon. Hasil kerjayanya juga tampak berbeza dan dia memang layak bergelar pengarah,” katanya.

Selain dirinya dan Eira, Dingin Lavenda turut dilakonkan Faralyna Idris, Salleh Mahfooz dan Azlee Khairi. Ia diterbitkan Layar Consult Sdn Bhd hasil skrip tulisan Zabidi Mohamed.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: