batu besar

AIR ITAM – Pengguna jalan raya di Air Itam berisiko ditimpa batu gergasi yang terletak hanya bersebelahan jalan berkenaan.

Keadaan cuaca yang tidak menentu turut membimbangkan orang ramai apabila batu berkenaan kelihatan seperti mahu tergolek daripada lereng bukit.

Pengguna, Sidek Jalih, 34, berkata, jalan yang terletak di persimpangan menghala ke Bandar Baru Air Itam itu sering kali sesak pada waktu pagi dan petang pada hari bekerja.

Menurutnya, ia antara risiko yang perlu ditanggung pengguna jalan raya ketika melalui laluan berkenaan.

“Memang kalau kita tengok, batu ini seperti tiada apa-apa masalah dan mungkin tidak akan jatuh.

“Tapi kita sendiri tidak tahu jika ditakdirkan hujan lebat atau sebagainya, secara tiba-tiba batu terbabit akan tergelincir dari lereng bukit dan menimpa pengguna jalan raya di sini.

“Tambahan lagi bagi saya yang membawa motosikal lagi berisiko tinggi untuk dihempap,” katanya.

Chew Ah Fook, 53, yang juga penjual sayur berkata, dia sering kali menggunakan jalan berkenaan untuk berulang alik menghantar sayur-sayuran dari Balik Pulau ke Bandar Baru Air Itam.

Katanya, dia risau batu terbabit akan tergelincir kerana terdapat projek perumahan berhampiran kawasan berkenaan.

“Memang kalau kata tidak takut itu sudah dikira tipu, setiap kali saya lalu sini memang saya begitu takut kalau batu gergasi jatuh.

“Sekarang lagi bahaya kerana ada projek perumahan yang dibina dekat dengan batu besar ini, mana tahu jika hari-hari kawasan ini bergegar, batu ini akan tergolek dan masuk ke jalan raya,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati jalan berkenaan sesak dengan kenderaan yang melaluinya.

Bukan sahaja pengguna jalan raya yang bimbang dengan struktur batuan berkenaan, malah beberapa peniaga yang menjalankan perniagaan di hadapan kawasan berkenaan turut meluahkan rasa bimbang.

Syukriah Yon berkata, dia meminta supaya Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) memasang papan tanda berjaga-jaga kepada pengguna jalan raya.

“Ia bagi membolehkan pengguna jalan raya sedar dan berhati-hati terutama pada waktu hujan.

“Keadaan batu besar terletak di lereng bukit dan kelihatan seperti hendak terjatuh ini memang membahayakan.

“Saya berharap supaya pihak yang sewajarnya ambil tindakan segera,” katanya.