Wan Sharmila
CERITA kontroversi dan imej seksi yang menjolok mata sering dikaitkan dengan dirinya. Ia bagaikan tidak berpenghujung, lebih-lebih lagi selepas pelakon Wan Sharmila memegang status solo sejak bercerai, dua tahun lalu. Bukan dia yang ingin dikenali dengan kontroversi dan imej seksi tapi itulah persepsi negatif orang terhadapnya.
Hakikatnya, pelakon bertubuh kecil molek, anak jati kelahiran Johor Bahru, Johor dan pemilik nama sebenar, Wan Sharmila Wan Mohamed atau lebih mesra disapa Wan, 30, mengakui tidak ingin dikenali dengan imej sedemikian.
“Saya tidak menganggap penampilan saya sebagai seksi, sebaliknya orang yang melabel sedemikian. Siapalah saya untuk menutup mulut orang daripada bercerita mengenai diri saya? Saya juga ingin mengelak daripada publisiti murahan yang akhirnya menjerat diri.
“Terus terang, menjelang tahun baru 2012, saya ingin tinggalkan kontroversi dan imej terlalu seksi kerana fokus pada bidang lakonan. Saya lebih suka orang kenal saya bersandarkan bakat dalam bidang lakonan dan bukannya penampilan seksi mahupun kontroversi.“Saya harap orang berhenti memperkatakan imej seksi kerana saya tidak mahu peminat terlupa dengan bakat saya dalam bidang lakonan,” katanya.Pada sesi fotografi dengan Rap yang berlangsung di Balai Berita, baru-baru ini, pelakon kecil molek yang mula dikenali melalui drama Tari Tirana, Riang Tirana, Sindarela dan Kisah Kaisara juga mengenakan baju dan jeans serta seluar panjang longgar untuk menutup tubuh seksinya kerana ingin tampil dengan imej yang lebih sopan.
“Bukan maksud saya ingin kurangkan imej seksi kerana saya pakai apapun orang tetap nampak seksi. Ia hanya secara kebetulan saja kerana dari segi imej, saya lebih suka menjadi diri sendiri.
“Saya akui pernah ditegur peminat yang menganggap saya berpakaian terlalu seksi dalam satu majlis. Pada masa sama, saya juga bersedia menerima teguran demi kebaikan dan masa depan dalam bidang seni,” katanya.
Bukan saja cara berpakaian, Wan juga memotong rambutnya yang panjang dan berkepuk, sekali gus kini tampil dengan imej rambut baru.
“Ramai artis yang mempunyai imej sama iaitu rambut panjang dan berkepuk. Imej rambut baru saya yang diwarnakan ini memang sesuai dengan watak lakonan saya dalam drama Sijundai.
“Saya juga potong rambut kerana pengarah selalu menasihatkan pelakon supaya fokus pada watak dalam cerita dan bukannya rambut. Selain itu, saya juga tidak suka pakai rambut palsu sejak dulu lagi dan lebih suka rambut sendiri dalam menjiwai watak diserahkan,” katanya.
Ditanya sama ada dia bimbang dengan kehadiran artis baru, Wan lebih suka melihat persaingan dengan mereka dari sudut yang positif.
“Saya reda jika ramai produser lebih suka pilih bakat baru berbanding saya untuk beraksi dalam drama mereka. Sebagai pelakon, saya sudah buat yang terbaik dan hanya serahkan pada penilaian peminat selepas itu.
“Saya terjun dalam bidang seni bersandarkan bakat yang menjadi aset nombor satu. Paras rupa dan seksi pula jatuh nombor dua,” katanya.
Sekalipun dilanda kontroversi, Wan terus mendapat kepercayaan pengarah dan produser drama dan filem sehingga hari ini.
Antaranya, Wan berlakon dalam telefilem sempena sambutan Maal Hijrah berjudul Meludah Ke Langit arahan Jamal Khan terbitan Grand Brilliance Sdn Bhd. Dia bawa watak cikgu Intan yang bertudung dan bergandingan dengan pelakon Zahiril Adzim dan Kartina Aziz.
Selain itu, dia juga berlakon siri episod untuk TV3, slot Senda Pagi, Naik Lif Turun Tangga, bergandingan dengan Johan Asari dalam telefilem berjudul Insaf untuk RTM.
Dia juga pegang watak utama dalam drama berjudul Najwa Najiha untuk RTM. Saya bawa watak jahat, Najiha yang akhirnya meninggal dunia bergandingan dengan Sheera Iskandar.
Mengenai filem pula, selepas filem Raya Tak Jadi arahan Profesor Madya A Razak Mohaideen, Wan berdebar menanti reaksi peminat terhadap lakonannya dalam genre seram, Syaitan Nirojim arahan Faizul terbitan Primeworks Studio.
Filem yang turut dibintangi Fizz Fairuz, Nabila Huda dan Azam Pit akan menjengah pawagam awal tahun depan.
PROFIL:
NAMA PENUH: Wan Sharmila Wan Mohamed
NAMA KOMERSIAL: Wan Sharmila
TARIKH LAHIR: 12 Oktober 1981
UMUR: 30 tahun
ASAL: Johor Bahru, Johor
KERJAYA: Pelakon dan pengacara
STATUS: Janda
TELEFILEM/DRAMA BERSIRI: Riang Tirana, Tari Tirana, Sindarela, Kisah Kaisara 1 & 2, Tipah Vavavoom, Emil Emilda, Bujang Antik, Sutun, Kembali Lagi, Rona Roni Makaroni, Rebab Tak Bertali, Dendam Maya, Teh O Ais Limau dan Aku, Kau dan Dia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: