Friday, December 9, 2011

Bandar Chiku tiada pasar awam

KENDERAAN yang diletak di tepi jalan punca kesesakan di Bandar Chiku, Gua Musang.
KENDERAAN yang diletak di tepi jalan punca kesesakan di Bandar Chiku, Gua Musang.
Peniaga terpaksa bina gerai di tepi jalan menyebabkan laluan sesak, kotor

BANDAR CHIKU: Peniaga di bandar ini terpaksa membina gerai di tepi jalan untuk menjual barangan basah berikutan ketiadaan pasar awam.
Keadaan itu menyebabkan rasa tidak selesa kepada orang ramai, khususnya pemandu dan penunggang motosikal apabila air daripada tong ikan mengalir ke atas jalan raya.
Peniaga mendakwa sudah menyuarakan masalah itu kepada pihak berkuasa tetapi tiada usaha untuk membina pasar awam.

Tinjauan mendapati kawasan itu sesak dengan pelbagai kenderaan kerana ia adalah laluan utama ke Rancangan Tanah FELDA Chiku 6 dan 7.

Peniaga, Muhamad Sulaiman, 51, berkata, sebagai tempat tumpuan peneroka untuk membeli-belah setiap hari amat wajar kerajaan membina pasar dilengkapi pelbagai kemudahan seperti di bandar lain di Kelantan.

Katanya, langkah itu penting untuk menjaga kebersihan dan mengelak kesesakan lalu lintas.
"Kami sering menerima rungutan orang ramai yang mempersoalkan kedudukan gerai yang tidak teratur dan pengaliran air ikan di jalan raya.

"Namun, kami tidak boleh bertindak untuk mengatasi masalah itu selagi kerajaan tidak membina sebuah pasar bagi kemudahan peniaga," katanya.

Zainab Yusoff, 45, pula berkata, Chiku, bandar kedua selepas Gua Musang memerlukan kemudahan infrastruktur yang teratur.

Katanya, semakin ramai peneroka berminat berniaga tetapi pembinaan gerai dibuat tanpa perancangan.

"Keadaan itu menyebabkan orang ramai mengambil kesempatan meletakkan kenderaan di merata tempat untuk membeli keperluan hingga menyebabkan kesesakan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: