
EMILIKI lebih tiga juta peminat di seluruh dunia dengan hampir separuh daripadanya merupakan rakyat Malaysia, Maher Zain mempunyai alasan kukuh untuk bertandang lebih kerap ke negara ini.
Justeru, tidak hairanlah dalam tempoh 13 bulan, sudah tiga kali beliau menghiburkan peminatnya di Malaysia.
Setelah berjaya membuatkan peminatnya tidak tidur malam dengan persembahan bertenaga menerusi dua konsert berasingan pada Februari dan Oktober lalu, baru-baru ini, penyanyi kelahiran Lubnan ini ke negara ini buat kali ketiga.
Cuma kali ini, beliau membuat kelainan dari segi lokasi apabila memilih mengadakan konsert di Kuching, Sarawak untuk mengubat kerinduan peminatnya di situ.
Sebagaimana kuatnya pengaruh Maher Zain di Semenanjung, begitulah hebatnya aura pelantun lagu Insha Allah ini di Borneo.
Buktinya, konsert sulung beliau bertempat di Stadium Perpaduan Sarawak itu berlangsung penuh meriah dengan kehadiran lebih 5,000 penonton.
Lebih menarik, konsert anjuran Marctensia dengan kerjasama stesen radio tempatan, Cats FM, turut dihadiri peminat dari Sabah serta dua negara jiran, iaitu Brunei dan Indonesia untuk menyaksikan persembahan Maher.
Semangat para peminat yang ingin menyaksikan Maher Zain lebih dekat diterjemahkan melalui tindakan mereka yang mula berpusu-pusu masuk ke stadium seawal pukul 5 petang, meskipun konsert hanya bermula pada 8.30 malam.
Malah, sejak awal lagi, jeritan nama Maher Zain tidak putus-putus dilaungkan peminat hingga menggamatkan Stadium Perpaduan yang mampu memuatkan kira-kira 6,000 orang itu.
Tirai persembahan konsert dimulakan rakan artis beliau, Irfan Makki yang menghangatkan suasana dengan lima lagunya berjudul Mamma, Allahu, Waiting For The Call, You're Not Alone dan Mabrook.
Konsert semakin rancak apabila seorang lagi artis jemputan, Mesut Kurtis mengambil alih pentas dan membawa penonton menikmati irama lagu Timur Tengah yang lebih mendayu-dayu.
Mesut sempat mendendangkan beberapa buah lagu seperti Allahu Allah, Beloved, Salawat serta Burdah.
Stadium Perpaduan sekali gegak gempita apabila Maher Zain yang ditunggu-tunggu akhirnya muncul di pentas sambil mendendangkan lagu berjudul Always Be There.
Persembahan bertenaga Maher Zain selama lebih dua jam itu dimeriahkan dengan 15 lagu popularnya seperti The Chosen One, Hold My Hand, YaNabi Salam Alayka, Thank You Allah; Allahi Allah KiyaKaro (duet dengan Irfan Makki) dan I Believe.
Selain itu, Maher Zain turut menghiburkan penonton dengan lagu Open Your Eyes, Palestine, Freedom, Never Forget (duet dengan Mesut Kurtis), Sepanjang Hidup, Baraka Allahu Lakuma serta Insha Allah versi Inggeris.
Jika pada konsert terdahulu beliau melakukan kejutan menyanyikan lagu Insha Allah dalam bahasa Melayu, penyanyi yang turut popular di Indonesia kali ini menawan hati peminat apabila cuba berkomunikasi dalam bahasa kebangsaan itu.
Selain itu, beliau sekali lagi menyanyikan lagu Insha Allah versi Melayu bersama sebuah lagu berjudul Sepanjang Hidup, sekali gus menjadikan stadium bertambah gamat dengan sorakan.
Ramai yang bertanya, apakah keistimewaan yang ada pada penyanyi berusia 30 tahun selain memiliki mata yang redup dengan hidung mancung terletak serta bibir yang merah menawan.
Berpeluang membuat liputan pada konsertnya, rumusan yang boleh dibuat penulis, wajah kacak hanyalah bonus kerana aura penyanyi itu sebenarnya terletak pada suara merdu yang mengalunkan lagu-lagu berunsurkan ketuhanan.
Tanpa segerombolan penari berpakaian menjolok mata, Maher Zain masih boleh menghiburkan peminat dengan hanya bermodalkan lagu-lagu yang mendamaikan jiwa sesiapa sahaja mendengarnya.
Selain itu, aura penyanyi ini juga mungkin terletak pada namanya kerana penyanyi kesayangan ramai, Anuar Zain dan kakaknya Ziana, turut menjadi kegilaan peminat seni suara di negara ini. Sekadar telahan penulis, namun, siapa tahu?
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: