A&N Art Enterprise, perniagaan yang menyediakan perkhidmatan dan produk cenderahati optimis capai sasaran jualan 30 hingga 50 peratus menjelang tahun depan.
Syaifullah Baharry Asnan, 19, kini mengendalikan kedai itu sepenuh masa bersama abangnya setelah bapanya yang juga merupakan pengasas A&N Art Enterprise menyerahkan perniagaan keluarga kepada dua beradik ini untuk diuruskan.
“Dengan adanya kemudahan laman sesawang yang sedang dibangunkan, kami yakin mampu meningkatkan jualan sehingga 50 peratus. Malah, ia juga dilihat dapat memudahkan pelanggan membuat tempahan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai perniagaan ini.
“Selain itu, kami juga akan mempelbagaikan perkhidmatan dan produk cenderahati serta membuat promosi dengan lebih agresif tahun depan bagi memperkenalkan lagi jenama ini,” katanya sambil memberitahu laman sesawang itu boleh diakses sekitar Februari tahun depan.
Menurutnya, bapanya memulakan perniagaan itu secara kecil-kecilan pada 1988 dengan modal permulaan RM30 termasuk untuk membeli peralatan asas seperti pen dan pinggan, malah hanya menumpang di sebuah kedai menjual bunga di Kompleks PKNS, Shah Alam.
Setelah lebih setahun beroperasi dan mendapat sambutan menggalakkan, perniagaan itu dikembangkan dengan menyewa kedai sendiri di kompleks yang sama.
Kini, perniagaan itu bukan sahaja sering mendapat perhatian dalam kalangan pelajar sekolah mahupun universiti, tetapi juga kakitangan awam dan swasta yang ingin menempah cenderahati bagi majlis yang dianjurkan.
Syaifullah Baharry berkata, antara kelebihan produk yang dihasilkan adalah lukisannya dicetak dan tidak menggunakan pelekat serta boleh dihasilkan dengan kos lebih rendah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: