GEORGETOWN - Akibat mengikut emosi, seorang teman lelaki yang gagal mengawal sikap panas baran mengundang padah apabila dikenakan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan sengaja mencederakan teman wanitanya, minggu lalu.
Majistret Noor Aini Yusof membuat keputusan itu setelah Kumarendren Sreetheran,21, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Dia turut diperintah dipenjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda itu.
Kumarendren disabit kesalahan atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap teman wanitanya berusia 19, di Flat Sri Saujana Gat Lebuh Maccullam, di sini, kira-kira jam 10 malam, 12 Disember lalu.
Untuk kesalahan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azizah Jaafar mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda ataupun kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, Kumarendren didakwa menendang teman wanita yang juga rakan sekerjanya di bahagian tangan dan dada sehingga lebam di lenggan kanannya.
Dalam rayuan, Kumarendren memohon hukuman ringan dengan alasan mendapat kerja di Singapura.
"Saya merupakan penanggung tunggal keluarga kerana ibu bapa sudah pencen," katanya.
Bagaimanapun, Nur Azizah memohon hukuman yang setimpal kerana mangsa adalah seorang perempuan dan perlu mendapat keadilan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: