TANAH MERAH 24 Dis. - UMNO Tanah Merah hari ini menyampaikan sumbangan bernilai RM170,000 kepada 1,769 pelajar dalam satu majlis di sini.
Mereka yang menerima sumbangan berkenaan terdiri daripada pelajar cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke peringkat sijil, matrikulasi dan diploma.
Majlis yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tanah Merah I itu disempurnakan Ketua UMNO bahagian tersebut, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.
Penerima sumbangan itu juga merangkumi pelajar cemerlang di sekolah menengah Arab di bawah kelolaan agensi Kerajaan Pas Kelantan, Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, sumbangan tersebut adalah untuk menyuntik semangat pelajar di kawasan Parlimen tersebut supaya meneruskan kecemerlangan pada masa akan datang.
"Apa yang UMNO lakukan adalah untuk memberi perangsang kepada ibu bapa yang selama ini berharap anak-anak mereka berusaha gigih mencapai kejayaan dalam bidang akademik.
"Kita juga berharap ibu bapa terus memantau anak-anak bagi memastikan kecemerlangan ini dapat diteruskan pada masa depan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap para pelajar dari kawasan itu yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara supaya menyertai Persatuan Mahasiswa Tanah Merah (Permata) bagi memudahkan bantuan disalurkan.
"Saya berasa amat bangga kerana selepas 10 tahun memantau dan membantu untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan, pelajar terlibat datang kembali untuk menyumbangkan idea dan pendapat bagi membangunkan kampung masing-masing,'' ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: