Wednesday, October 26, 2011

USIM, UiTM muncul juara Debat Piala PM


PENDEBAT UiTM (dari kiri) Mohd. Shafiq, Mohd. Aerie Rashmond, Ain Aissa dan Maizura meraikan kejayaan memenangi kategori bahasa Inggeris Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2011 di Gombak malam tadi.


GOMBAK – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengungguli Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2011 Antara Institut Pengajian Tinggi dalam pertandingan yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini malam tadi. USIM menjuarai kategori Bahasa Melayu manakala UiTM memenangi kategori Bahasa Inggeris.

Debat antara institusi pengajian tinggi yang dianjurkan buat pertama kali itu menyaksikan USIM selaku pembangkang berjaya mengalahkan pasukan UiTM menerusi tajuk ‘Kerajaan Malaysia wajar menyaring kandungan Internet secara terpilih untuk mencapai 1Malaysia’. USIM diwakili Ummu Umairah Azahari, Mohd. Ikhwan Mohd. Rosseli, Mohammad Shah Izad Saleh dan Mohammad Irhammuddin Ibrahim.


HISHAMMUDDIN (tiga dari kiri) bergambar bersama pendebat USIM yang menjuarai kategori bahasa Melayu Pertandingan Debat Piala Perdana Menteri 2011 di Gombak malam tadi.


Pasukan UiTM pula diwakili oleh Siti Nor Zamzila Mohd. Nor Muhammad Syafiq Musa, Muhammad Kasyful Azim Shahlan dan Rodziah Abu Hassan. Bagi debat bahasa Inggeris, UiTM berjaya menewaskan pasukan debat tuan rumah iaitu UIAM menerusi tajuk “Pemberian subsidi kepada semua pelajar sekolah dari semua sekolah kebangsaan dan swasta”. Pasukan UiTM diwakili Maizura Mokhsein, Mohd. Aerie Rashmond Rahman, Ain Aissa Mohamad dan Mohd. Syafiq Ahmed Bazari.

Pasukan UIAM pula dianggotai Senad Hadrovic, Arinah Najwa Ahmad Said dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Pendebat terbaik bagi kategori bahasa Melayu dirangkul oleh Mohd. Ikhwan manakala Mohd. Syafiq muncul pendebat terbaik kategori bahasa Inggeris. Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM2,000 dan piala individu. Johan bagi setiap kategori membawa pulang wang tunai RM25,000, piala pusingan, piala iringan, piala individu serta sijil penyertaan. Naib johan pula membawa pulang wang tunai RM15,000, piala iringan, piala individu serta sijil penyertaan. Hadiah disampaikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: