|
|
BATU KAWAN - Seramai 2,882 nelayan negeri ini yang terjejas pencarian mereka akibat projek Jambatan Kedua Pulau Pinang sejak tiga tahun lalu akhirnya menerima sagu hati yang dijanjikan.
Syarikat konsesi projek tersebut, Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) kelmarin menyerahkan sagu hati keseluruhan berjumlah RM6.68 juta kepada nelayan terlibat termasuk kepada 129 pengusaha sangkar ikan.
Bayaran tersebut adalah hasil persetujuan yang dicapai antara JKSB dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang mewakili kumpulan nelayan berkenaan.
Ia disampaikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dalam satu majlis yang diadakan di Stadium Batu Kawan dekat sini.
Turut hadir Pengerusi JKSB, Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob; Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia, Datuk Ahamad Sabki Mahmood dan Ketua Pengarah LKIM, Datuk Mohad Khazin Hamzah.
Kosmo! sebelum ini melaporkan rintihan golongan nelayan di sekitar projek jambatan tersebut yang mendakwa pendapatan mereka semakin merosot akibat pencemaran ekoran kerja-kerja pembinaan yang dilaksanakan.
Sehubungan itu, mereka membuat beberapa pertemuan dengan pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia bagi membincangkan masa depan mereka yang disifatkan semakin terjejas dari sehari ke sehari.
Malah terdapat nelayan yang hilang terus punca pendapatan akibat pencemaran yang menjejaskan habitat ikan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: