Monday, October 24, 2011

The Twelve bina empayar fesyen



THE TWELVE ibarat dinding kukuh yang harus diterjah untuk berada di dalamnya. Barangkali itu interpretasi butik ternama yang memahat nama-nama pereka fesyen tersohor tanah air yang bernaung di bawah kemegahan nama rumah fesyen tersebut.

Terletak di gedung Fahreinheit 88 di Bukit Bintang, ia turut menempatkan rekaan para pereka ternama seperti Datuk Tom Abang Saufi, Datuk Radzuan Radziwill, Key Ng dan Benson Chen.

The Twelve sememangnya satu kebanggaan buat industri fesyen tempatan, bukan sahaja sebagai penanda aras kualiti rekaan tempatan malah inspirasi kepada pereka-pereka muda tanah air.


MARIYAM mempertaruhkan koleksi Jalabia yang mencerminkan budaya dan susur galur keluarganya yang berdarah Arab.


Biarpun didasari pereka-pereka ternama yang terlebih dahulu mencipta nama, ternyata pereka-pereka muda dari Young Designers Arena (YODA) dibukakan peluang untuk sama-sama mencipta nama melalui label mereka di The Twelve.

Menurut pereka fesyen Zulfadli Nasir, The Twelve menjadi platform baginya mempromosikan rekaan Islamik atau busana Muslimah.

“Sebagai pereka yang baru mencari tapak dalam membina label dan nama, The Twelve mencipta satu motivasi yang besar dalam menghasilkan karya-karya yang lebih baik pada masa akan datang.

“Saya sendiri masih belum mempunyai butik sendiri, justeru peluang yang diberikan YODA untuk bernaung dengan The Twelve akan saya gunakan sebaik-baiknya,” katanya yang banyak menggunakan fabrik sifon dalam cetusan terbarunya.

Zulfadli memberitahu, biarpun namanya masih kecil di persada fesyen tempatan, para penggemar fesyen kini berpeluang melihat dan menilai hasil kerjanya.

“Di sini saya mempamerkan lebih 20 rekaan berciri Islamik tetapi masih mempunyai sentuhan moden di mana orang bukan muslim juga boleh memakainya.

“Saya yakin industri fesyen tempatan sedang berkembang maju dan saya juga bercadang untuk menambah koleksi rekaan dan membuka butik sendiri pada masa depan,” katanya.

Seorang lagi pereka muda YODA, Sharifah Mariyam Syed Muhamad memberitahu, dia mahu mengembangkan fesyen Arab di Malaysia melalui rekaan dres Jalabia yang mempunyai sentuhan dan perincian Asia Barat selain rekaan sedia pakai dan kasual.


ZULFADLI mahu mencipta nama sebagai pereka fesyen berciri Islamik.


“Saya tidak menganggap pembabitan pereka-pereka muda YODA sebagai mencari persaingan di The Twelve, kerana setiap pereka mempunyai kelebihan mereka sendiri dan menampilkan kelainan dalam setiap rekaan.

“Saya akui The Twelve meletakkan ramai pereka ternama tanah air tetapi para pereka muda pasti menjalankan peranan mereka dengan sebaik mungkin untuk dikenali di Malaysia baik dari segi nama atau label fesyen masing-masing,” ujar Mariyam.

Ekspresi gaya vintaj

Mariyam memberitahu, susur galur keluarganya yang berdarah Arab dan mengamalkan budaya dari Asia Barat itu menjadi aspirasi rekaannya.

“Walaupun menghasilkan rekaan kasual untuk pasaran tempatan, saya pastikan setiap rekaan dan perincian mempunyai sentuhan Arab.

“Untuk The Twelve, saya menyediakan lebih 60 rekaan kasual dan Jalabia iaitu dres Arab,” jelasnya.

Sementara itu, seorang pereka yang bertatih dalam industri fesyen dengan menghasilkan rekaan-rekaan dres, Farliz Faraliza Iskandar bangga mengetnengahkan gaya vintaj melalui label Rococo by Farliz..

Menurutnya, dia mencipta identiti melalui rekaan berkonsep vintaj kerana mahu tampil berbeza sementelah butik The Twelve terlebih dahulu menaungi nama-nama besar dalam arena fesyen dengan label tersendiri.

“Setiap pereka fesyen mempunyai pengikut mereka sendiri dan saya tidak bimbang bakal ditenggelami kerana saya percaya kepada kelainan yang saya tawarkan.

“Kekuatan Rococo adalah rekaan jaket berkonsepkan vintaj kerana saya yakin dengan sehelai jaket, ia ibarat magis yang mampu mengubah penampilan seseorang dengan serta-merta,” terangnya.


KONSEP vintaj melalui label Rococo by Farliz merupakan koleksi terkini Farliz.


Dalam pada itu, koleksi vintaj Farliz turut mengentengahkan rekaan kasual dan high street yang mengutamakan corak dan cetakan retro seperti polka dot, jalur, renda dan ropol.

“Setiap rekaan kasual dan high street hanya ada satu atau dua helai manakala bagi jaket, setiap rekaan adalah eksklusif.

“Saya membawakan lebih 40 rekaan khas vintaj untuk dipasarkan di The Twelve sahaja manakala lain-lain rekaan adalah di butik Farliz yang terletak di Bangsar,” katanya.

Sama seperti pereka YODA yang lain, Farliz turut mempunyai agenda untuk mengembangkan label dan jenamanya agar lebih dikenali dalam kalangan penggemar fesyen tempatan.

“Rekaan saya banyak dipengaruhi trend fesyen Eropah yang banyak menggunakan elemen polka dot serta fabrik berasaskan renda melalui rekaan gaya vintaj mereka.

“Saya juga mendapati rekaan sebegini mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan penggemar fesyen tempatan,” ujarnya.

Bantu promosi

Sementara itu, Pengasas Young Designers Arena (YODA), Baizura Tazri memberitahu, kewujudan The Twelve didorong oleh tonggak persatuan fesyen Malaysia iaitu Malaysian International Fashion Alliance (MIFA).

“MIFA banyak memberi bantuan kepada organisasi yang berada di bawah naungan mereka termasuk YODA.

“Ini terbukti dengan kerjasama yang terjalin antara MIFA dan juga YODA. Bukan sahaja dorongan diberikan untuk mempromosi para pereka muda di arena fesyen, malah dengan menggabungkan para pereka muda dan pereka ternama di bawah satu bumbung,” katanya.

Menurut Baizura, The Twelve kini menempatkan nama-nama pereka muda di bawah naugan YODA iaitu Merlee Tiew Mei Lee, Muhamad Shariff Sayam@Saim, Sharifah Mariyam Syed Muhamad, Farliz Faraliza Iskandar, Zulfadli Nasir dan Fashion Geek.


PASANGAN Shariff dan Merlee bergabung di bawah satu label iaitu MerleeShariff.


“Rekaan dan koleksi mereka kali ini ditonjolkan dengan pemahaman si pereka muda dengan gaya 80-an,” katanya.

Tambah Baizura, apa yang ditampilkan di The Twelve membuktikan rekaan pereka muda Malaysia juga standing dengan pereka ternama dan antarabangsa, selari dengan objektif YODA untuk menaikkan martabat pereka muda Malaysia.

“Kepada penggemar-penggemar fesyen tanah air, anda bolehlah datang ke The Twelve di Lot G21, Fahrenheit 88, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur untuk mendapatkan hasil-hasil rekaan pereka muda tempatan dan juga rekaan pereka ternama tanah air,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: