Monday, October 24, 2011

Berbasikal kembali popular di Beijing


ANAK-ANAK muda di China hari ini berjaya membentuk kumpulan berbasikal mereka sendiri sekali gus mempromosi alternatif pengangkutan dan gaya hidup sihat.


SELEPAS lima hari asyik menghadap skrin komputer, Yu Yande sememangnya tidak sabar untuk melakukan aktiviti berbasikal pada hujung minggu, sama ada bersiar-siar di jalanan ataupun mengunjungi kawasan pergunungan jauh dari kesibukan kota Beijing.

Yu Yande salah seorang daripada penduduk China yang mula menjadikan aktiviti berbasikal untuk menenangkan fikiran dan lari dari kesibukan kota.

Sejak kebelakangan ini, Beijing yang pernah menjadi syurga basikal semakin sesak dengan jumlah kereta yang banyak sehingga menyebabkan pencemaran udara. Namun kini, masalah kesesakan dapat dikurangkan apabila penduduk di China kembali dengan 'hobi' lama mereka.

Lagipun, penduduk sudah jemu terperangkap di jalan raya dan pada masa yang sama mencari inisiatif terbaik untuk kesihatan badan.

"Sewaktu kecil kami berbasikal setiap hari ke sekolah tetapi bukan untuk bersukan. Sehinggalah tiga tahun lepas sebelum Olimpik Beijing, saya masih berpendapat berbasikal itu tidak boleh dijadikan aktiviti sukan," ujar Yu, 40, eksekutif syarikat laman web.

Kini Yu menyertai kumpulan yang pergi ke kawasan pergunungan di utara dan timur Beijing pada setiap hari Sabtu.

Setiap kali sesi berbasikal, para penunggang itu ceria memakai jersi yang berwarna-warni sehingga menarik perhatian penduduk kampung yang datang mengerumuni setiap kali mereka berehat menikmati makan tengah hari di pondok tepi jalan.

"Ramai yang kurang sedar bahawa kawasan kampung masih wujud di Beijing. Pemandangan dan situasi ini hanya boleh dinikmati ketika melakukan aktiviti berbasikal," kata Yu.

Hari ini, aktiviti berbasikal merupakan fenomena sukan terbaharu di China meskipun sebelum ini masyarakat tempatan lebih suka membeli kereta sebagai simbol kekayaan dan status.

"Semakin ramai orang di sini melibatkan diri dalam sukan berbasikal. Boleh dikatakan kelompok pesara dan para pelajar mula membentuk kumpulan basikal mereka sendiri," jelas Zheng Peidong dari Pusat Kawalan Kualiti Basikal Kebangsaan iaitu sebuah badan kerajaan yang menguji basikal.

Jualan meningkat

Secara tidak langsung perkembangan tersebut menyebabkan jualan basikal semakin meningkat. Trek China, syarikat pengeluar basikal tempatan yang menjual atas lesen Trek Bicycle Corp. dari Amerika Syarikat (AS), menjangka dapat mencatat jualan sebanyak AS$15.6 juta (RM48 juta) tahun ini. Jumlah itu meningkat sebanyak dua juta berbanding tahun 2006.

"Perniagaan berjalan dengan baik," kata penyelia pemasarannya, Wang Hao, 25.

Syarikat itu bakal mempunyai 260 buah kedai di seluruh China menjelang akhir tahun ini setelah lima tahun beroperasi.

Pada bulan Oktober ini, Trek China akan membuka sebuah lagi kedai basikal berjenama di barat Beijing yang jauh dari kawasan kejiranan ekspatriat. Wang berharap mereka memperoleh hasil jualan basikal yang memuaskan.

Pada tahun ini saja, syarikat tersebut berjaya menjual 30 buah basikal yang berharga lebih daripada 60,000 yuan (RM29,000), setiap satu. Ini termasuklah bingkai karbon basikal edisi terhad jenama Tour de France Lance Armstrong yang dijual pada harga 100,000 yuan (RM49,000), setiap satu.


KEPADATAN populasi di kota besar seperti Beijing dan peralihan kepada penggunaan kereta persendirian telah mencetuskan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk.


Namun, Yu bernasib baik kerana pada tiga tahun lalu, dia hanya perlu membelanjakan sebanyak 1,500 yuan (RM730) untuk memiliki sebuah basikal. Tidak seperti hari ini, harga sebuah basikal yang dijual pada harga yang tinggi.

Tambah Yu, pada ketika itu dia terpaksa membeli basikal selepas pihak berkuasa melaksanakan peraturan lalu lintas baharu yang melarang penduduk tempatan memandu kereta setiap hari sempena berlangsungnya Sukan Olimpik Beijing.

"Ia sebuah pengangkutan terbaik ke tempat kerja dan baik untuk kesihatan saya," kata Yu yang kini memiliki basikal yang berharga 10,000 yuan (RM4,900).

Tiada idola

Walaubagaimanapun, sukan berbasikal tidak popular seperti mana sukan tenis, bola keranjang dan olahraga kerana sukan serta permainan lain tersebut mempunyai sang juara seperti Yao Ming, dalam sukan bola keranjang; juara padang, Liu Xiang; atau pemain tenis Juara Terbuka Perancis, Li Na.

Tour of Beijing yang dilihat sukar untuk dipromosi menyebabkan 'kaki basikal' seperti Yu langsung tidak menyedari tentang acara berkenaan yang berlangsung pada 5 Oktober hingga 9 Oktober 2011.

Hanya segelintir rakyat China berprofil tinggi seperti jutawan Chen Guangbiao, yang sanggup meninggalkan Mercedes-Benz pada bulan lepas semata-mata untuk meraikan, Hari Bebas Kereta Urban Kebangsaan.

Tom Lanhove, diplomat Belgium yang sudah lima tahun mengasaskan kumpulan basikal Yu, memberitahu sehingga kini masih ada persepsi negatif tentang sukan berbasikal dalam kalangan rakyat China.

"Ini merupakan penghalang utama dalam proses menjual basikal berjenama. Tiada siapapun yang mampu membeli dan sekiranya berkemampuan sekalipun, mereka lebih rela membeli kereta mewah," jelas Lanhove.

Di Beijing, kerajaan bercadang ingin meningkatkan infrastruktur berbasikal di bandar dengan membaik pulih lorong basikal dan menyediakan 50,000 buah basikal untuk disewa pada tahun 2015. Ini termasuklah menambah ruang parkir basikal berhampiran stesen bas dan stesen bawah tanah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: