Thursday, October 27, 2011

Tiada noktah dalam berdakwah


Bertuah... Andak Pendek (dua dari kiri) menerima basikal yang menjadi hadiah utama cabutan bertuah.


USAHA dakwah yang dijalankan oleh Nabi Muhammad SAW selama 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah telah mengubah landskap kehidupan manusia di muka bumi ini.

Daripada yang tidak beragama, berfahaman animisme berada di Malaysia yang Islam sebagai agama Persekutuan, namun, kita tidak boleh leka atau lalai dengan usaha pelbagai pihak yang mahu menyebar dakyah mereka dengan tujuan memesongkan akidah orang Islam.

Ini bukan omong kosong sebaliknya telah dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu)...(al-Baqarah: 120)

Menyedari hakikat itu, selepas mengalami kekalahan besar di tangan umat Islam dalam peperangan Salib seorang pemimpin Jerman pernah berkata, strategi gerakan kristian perlu diubah dengan melancarkan serangan ideologi, fahaman dan budaya bagi menghapuskan umat Islam.

Ini kerana serangan tentera kristian dalam peperangan tidak akan berjaya disebabkan kekuatan pegangan akidah umat Islam yang berjihad pada masa itu semata-mata untuk mati (syahid) bukan hidup.

Usaha orang Yahudi dan Nasrani menyebar dakyah tidak pernah berhenti. Sebaliknya, mereka menggunakan pelbagai pendekatan baik secara bersemuka, menawarkan wang ringgit, tempat perlindungan dan sebagainya.

Pengurus Besar Yayasan Taqwa, Ahmad Ayob Ibrahim berkata, perkara itulah yang amat membimbangkan dan mereka akan lebih berani menyebar dakyah jika umat Islam tidak mengambil langkah sewajarnya.

Katanya, umat Islam perlu bijak dan cepat bertindak kerana jika terlambat, mungkin lebih ramai masyarakat akan terpengaruh dan menganut fahaman agama tersebut.

"Menjadi tanggungjawab umat Islam untuk menyebarkan dakwah tidak kira di mana sahaja. Bagaimanapun, usaha dakwah perlu dilakukan melalui pendekatan yang sesuai supaya bertepatan dengan penerimaan golongan sasar," katanya kepada Mega, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada program Ziarah Ukhuwah Masyarakat Orang Asli anjuran Yayasan Taqwa di Kampung Orang Asli Pangsun, Hulu Langat, Selangor baru-baru ini.

Program itu adalah dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), pejabat Agama Islam Daerah Hulu Langat dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 22 dan 23 Oktober lalu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada para penduduk.

Hampir 1,000 penduduk hadir menjayakan program tersebut. Antara pengisian sepanjang program adalah sukaneka, gotong-royong, tayangan video, ziarah rumah ke rumah dan pameran daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Ayob berkata, program Ziarah Ukhuwah itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat orang asli mengenai agama Islam melalui pendekatan yang sesuai dengan mereka.

"Pendekatan program ini berbentuk santai. Di samping kita mengeratkan ukhuwah bersama pend uduk melalui pengisian yang dirancang, kita juga dapat menunjukkan keindahan ajaran Islam kepada masyarakat orang asli.

"Kebanyakan penduduk di kampung ini tidak beragama dan menganut agama nenek moyang mereka.

"Jadi kita cuba mengambil pendekatan dengan menyebarkan dakwah secara perbuatan ataupun dakwah bil-hal," katanya.

Difahamkan, terdapat 17,000 orang asli yang menetap di 74 kampung orang asli di seluruh Selangor. Daripada jumlah itu, kira-kira 35 peratus sahaja atau kurang 7,000 yang menganut agama Islam.

Oleh itu, pihaknya akan terus menggiatkan pelbagai aktiviti berbentuk kemasyarakatan bersama orang asli di kawasan perkampungan tersebut bagi menarik minat kumpulan itu dengan keindahan Islam.

Ini bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: Serulah (manusia) kepada jalan TuhanMu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhan mu dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-Nahl : 125)

Sementara itu, perasmian penutup disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan (KPPK) Bahagian Pengurusan Dakwah Jawi, Abdul Rahman Yusof.

Turut hadir, KPPK Bahagian Dakwah Cawangan Dakwah Khas Jakim, Zainul Abidin Mat Noor; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jawi, Abdullah Abdul Rahman; Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Insan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Zamri Shafik dan Tok Batin Kampung Orang Asli Pangsun, Andak Pendek dan Pegawai Jakoa Selangor, Sarion Hussin.

Dalam perkembangan berkaitan, hadiah bagi acara sukaneka dan cabutan bertuah disampaikan oleh Abdul Rahman kepada para pemenang.

Yayasan Taqwa turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas dan makanan kepada 150 keluarga di kampung tersebut.

Sementara itu, Andak yang mewakili penduduk kampung mengalu-alukan kedatangan Yayasan Taqwa ke kampung tersebut.

"Walaupun tidak ramai penduduk yang menganuti agama Islam di kampung ini, kami mengalu-alukan mana-mana pertubuhan atau organisasi Islam untuk menyebarkan dakwah di kampung ini.

"Di samping itu, kami juga mengharapkan bantuan orang ramai bagi meringankan bebanan penduduk kampung ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: