Friday, October 21, 2011

Teater dunia Stephanie, Aaron



WALAUPUN ramai yang menganggap teater The Secret Life Of Nora (NORA) adalah teater berbahasa Inggeris disebabkan oleh judulnya begitu, namun hakikatnya pementasan yang diterbitkan di bawah pihak produksi Enfiniti Vision Media milik Datin Seri Tiara Jacquelina ini sebenarnya menggunakan 70 peratus bahasa ibunda iaitu bahasa Melayu sendiri.

Walaupun diselit seorang pelakon yang berdialog di dalam bahasa Inggeris sepenuhnya yang memegang watak perisik dari luar negara, ejen Roger Foss, namun kesemua pelakon lain yang ada menggunakan bahasa Melayu.

Bagi dua watak pembantu yang agak menyerlah dalam NORA iaitu Stephanie Van Driesen yang memegang watak Betty dan Aaron Khaled sebagai Sharif, rasa teruja berlakon menerusi teater berskala besar dan di bawah produksi Tiara sendiri menyebabkan mereka menerima tawaran yang diberi.

“Apabila saya mendengar tentang teater ini, terus terlintas di fikiran bagi mencuba nasib untuk bekerja di bawah Tiara. Itu merupakan tujuan utama saya terima tawaran ini kerana saya ingin merasai sendiri bagaimana bekerja dengan produksi yang sememangnya gah membawa pentas teater dalam industri hiburan tempatan,” bicara Stepahie yang merupakan kacukan Cina, Thailand dan Belanda.

Begitu juga keterujaan yang diluahkan oleh jejaka yang memegang watak pembantu kanan kepada Aznil Nawawi sebagai Mr. J Heart ini.

“Saya menerima tawaran ini kerana memang sudah lama saya ingin bekerja bersama produksi Tiara. Kali ini, mungkin tuah saya kerana setelah tamat belajar di luar negara dan kembali di sini, kebetulan Tiara muncul dengan teater ini. Saya akui ia seperti mimpi menjadi kenyataan apabila saya ditawarkan untuk berlakon sebagai Sharif,” tutur Aaron yang menganggap Tiara sanggup mengambil risiko walaupun dirinya masih baharu di dalam industri teater.

Berbicara mengenai watak pula, Stephanie, 27, yang memegang watak Betty iaitu merupakan seorang yang pemalu dan rakan baik kepada watak utama ejen Nora (lakonan Tiara) yang juga dianggap sebagai kakaknya sendiri.


PENAMPILAN Aaron dan Stephanie dalam NORA begitu menyerlah bakat lakonan mereka.


Membesar dengan melihat Nora mengejar cita-cita ingin menjadi bintang, Betty juga menyimpan perasaan ingin menjadi seperti Nora, namun disebabkan dirinya yang pemalu, dia hanya memendam hasrat itu.

Bagi Aaron pula, watak Sharif merupakan seorang pembantu yang setia kepada Mr. J Heart yang dilakonkan oleh Aznil. Berperwatakan antagonis, Sharif bertindak sebagai pelapor kepada Mr. J tentang apa yang berlaku di dunia luar. Selain itu, dia juga sering berada di belakang Mr. J walau apa pun terjadi.

Namun begitu, walaupun mereka sudah biasa dengan pementasan teater, kali ini ia berbeza. Bagi kedua anak muda yang jarang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa harian mereka, penggunaan 90 peratus watak mereka yang menggunakan bahasa Melayu sedikit menyukarkan kedua anak campuran ini.

Cabaran dialog bahasa Melayu

Menurut Stephanie, cabaran terbesar bagi dirinya bukanlah mengenai nyanyian mahupun lakonan tapi, untuk fasih berdialog dan mengaplikasikan pelat Melayu di dalam percakapan merupakan kesukaran bagi diri yang memang sering bertutur di dalam bahasa Inggeris.

Namun, cabaran itu ditempuhi dengan penuh sabar kerana minat yang mendalam dan mencuba sebaik mungkin untuk berikan yang terbaik buat penonton yang hadir.

“Walaupun pada mulanya agak sukar, namun penolong pengarah, Chedd Eddie Yusof banyak memberi tunjuk ajar untuk saya fasih berbahasa Melayu.

“Saya memang mencuba sebaik yang mungkin untuk mendapatkan pelat Melayu dan itu tidak pernah mematahkan semangat saya untuk terus mencuba kerana saya sebenarnya sangat gembira melakukan ia,” tuturnya yang berkelulusan Ijazah dalam Teater Muzikal, LASALLE College of The Arts, Singapura ini.


PEMENTASAN NORA merupakan buah tangan terbaharu daripada produksi Tiara Jacquelina.


Tambah wanita bersuara manja ini, apabila pertama kali mengetahui perlu berdialog di dalam bahasa Melayu, terdetik rasa malu dan segan di dalam diri kerana pada mulanya, pelatnya kedengaran seperti orang Cina atau masih kedengaran seperti orang Inggeris. Walaupun faham apa yang ditutur orang namun, kepayahan itu hadir ketika ingin kedengaran seperti Melayu.

Lain pula cerita Aaron yang sememangnya sudah punya darah kacukan Melayu. Mengaplikasi bahasa Melayu dalam pertuturan bukanlah perkara yang sukar buat empunya diri. Namun, cabaran itu hadir tatkala ingin berbicara ayat-ayat bunga serta penghayatannya.

"Walaupun saya banyak terlibat di dalam pementasan teater tapi ini kali pertama saya perlu berdialog dalam bahasa Melayu.

“Pada mulanya agak kelam- kabut juga kerana bahasa di dalam skrip yang diberi bukannya bahasa harian atau bahasa rojak yang sering digunakan.

“Ia menggunakan metafora dan saya perlu benar-benar memahaminya kerana jika tidak, mesej yang ingin disampaikan mungkin tidak berkesan,” katanya yang mana dia banyak menonton filem-filem Tan Sri P. Ramlee sebagai rujukan.

Pementasan teater NORA telah dipentaskan bermula 29 September hingga 16 Oktober di Istana Budaya. Teater yang mengisahkan tentang perjalanan hidup penuh glamor seorang penari kelab, Nora berubah menjadi seorang perisik.

Selain Tiara, Aznil, Stephanie dan Aaron, antara pelakon lain yang terlibat dalam pementasan teater ini termasuklah Ryan Silverman sebagai ejen Roger Foss, Adibah Noor (Khatijah) dan Tony Eusoff (Agen Farouk).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: