CHANGLUN – Kira-kira 150 pemandu teksi di sekitar bandar ini merayu pihak berkuasa agar menyekat kegiatan pemandu van dari Thailand yang membawa penumpang dari negara itu memasuki negara ini dengan sewenang-wenangnya.
Kegiatan yang berlarutan sejak enam tahun lalu itu menjejaskan pendapatan pemandu teksi di pintu sempadan negara yang pernah memperoleh RM300 sehari tetapi kini meraih serendah RM16 sehari.
Pengerusi Persatuan Kereta Sewa/Teksi Luar Bandar Bukit Kayu Hitam, Badaruddin Mustaffa (gambar kecil) berkata, enam tahun lalu van negara jiran menurunkan penumpang di kawasan Zon Bebas yang kemudian menaiki teksi negara ini untuk ke destinasi masing-masing.
Namun, dakwanya, keadaan sudah berubah apabila van dari Thailand tidak lagi berbuat demikian sebaliknya terus membawa penumpang bukan sahaja ke Kedah, malah hingga ke Johor.
Tambahnya, van dari negara jiran itu turut mengambil penumpang di kawasan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) yang merupakan kawasan teksi negara ini.
“Situasi ini bukan sahaja menyekat pendapatan kami, malah wujud ketidakadilan kerana van mereka boleh memasuki negara ini sesuka hati membawa penumpang, sebaliknya kami tidak dibenarkan masuk ke negara mereka,” katanya di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: