Friday, October 14, 2011

Sudah terbang 580 kali

Tak GENTAR...Amy (kiri) dan Jenn antara segelintir kecil wanita sertai sukan ekstrem.
Tak GENTAR...Amy (kiri) dan Jenn antara segelintir kecil wanita sertai sukan ekstrem.

MENDENGAR dan melihatnya saja sudah cukup menggerunkan. Bayangkan jika anda harus membuat terjunan pada ketinggian 300 meter dari pelantar terbuka Menara Kuala Lumpur. Pasti ramai yang menggelengkan kepala.

Namun, itu mungkin reaksi mereka yang tidak meminati sukan ekstrem itu. Bagaimana pula dengan mereka yang memang mempunyai hobi untuk melakukan terjunan?

  • Foto

    TELITI...melipat payung terjun harus dilakukan dengan kemas agar ia berfungsi semasa melakukan terjunan.

  • Foto

    JENN...guna kemahiran dan teknik mengikut tempat terjunan.

  • Foto

    LENGKAP...Amy memakai peralatan lengkap sebelum melakukan terjunan.

Mereka tentunya teruja untuk melakukan sukan ekstrem yang dipelopori golongan berjiwa kental seperti kisah dikongsi bersama penerjun antarabangsa wanita, Amy Shaw, 26.

“Semasa membesar saya sering memanjat pokok bersama dua abang. Rakan yang selalu mengikut kami pula sering dimarahi ibu bapa mereka kerana bimbang aktiviti itu boleh menyebabkan mereka terjatuh.


“Namun bagi kami, memanjat dengan lebih tinggi dapat melahirkan perasaan teruja kerana mampu melihat gambaran di bawah dengan jelas dan begitu cantik sekali.


“Bermula daripada saat itu, timbul keinginan dan minat pada ketinggian apatah lagi ibu bapa sentiasa menyokong saya untuk merealisasikan impian ketika itu,” kata penerjun yang menyertai acara sukan ekstrem pada Terjunan Antarabangsa Menara KL Malaysia 2011 bermula 28 September hingga 2 Oktober lalu.

Tambahnya, keinginan dan minatnya diteruskan apabila dia berusia 16 tahun yang ketika itu masih menetap di negara kelahirannya, Afrika Selatan.

“Hari pertama kami menuju ke kelas untuk belajar dan membuat latihan terjunan, saya terlihat poster mengenai terjunan base dan nekad ingin melakukannya.

“Namun, saya terpaksa menghentikan niat untuk menjadi penerjun kerana terpaksa menghabiskan pengajian ketika itu, seterusnya memulakan kerjaya sebagai juruterbang.

“Kini, hampir enam tahun saya menjadi juruterbang kontrak di Afrika untuk perkhidmatan udara bantuan kemanusiaan bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa dan Medicines Sans Fronters (juga dikenali Doctors Without Borders di Amerika Syarikat).

“Bagi memenuhi keinginan yang dipendam sekian lama, saya mula bergiat aktif membabitkan diri sebagai penerjun dengan melakukan terjunan base di seluruh dunia pada 2009,” katanya.

Terjunan base ialah acara sukan ekstrem yang membabitkan penggunaan payung terjun untuk membuat lompatan dari objek tertentu.

Base mewakili objek yang biasanya digunakan sebagai landasan terjunan seperti bangunan, antena, jambatan dan bumi.

Amy menambah impiannya adalah untuk menjelajah ke seluruh dunia bagi melakukan terjunan base. Dia juga ingin menjadi contoh kepada gadis lain yang mempercayai jantina bukan penghalang untuk wanita melakukan aktiviti yang digemari serta dipelopori oleh kaum lelaki itu.

“Keberanian yang jitu mendorong untuk merealisasikan impian walaupun pernah melalui detik sedih dalam hidup sepanjang saya menjadi penerjun udara.

“Memang tidak dinafikan saya pernah mengalami pengalaman yang memeritkan apabila kehilangan rakan yang begitu rapat kerana terbabit dengan kemalangan ketika melakukan aksi terjunan.

“Namun, setiap keindahan dan kebebasan yang dikecapi mengingatkan diri mengapa saya harus berputus asa selepas mengalami pengalaman pahit itu.

“Berdasarkan kata-kata hanya penerjun tahu mengapa burung menyanyi berkicauan membuatkan saya ghairah untuk terus melakukan aktiviti ini.

“Memberikan kehidupan yang berisiko bersama seseorang bagi mencipta kegemilangan dan keindahan dalam bersahabat sangat menyeronokkan.

“Ke mana saja tempat yang dilawati, kami sentiasa mempunyai keluarga yang terdiri daripada penerjun udara dan base untuk melindungi diri saya,” katanya yang tidak pernah sunyi dan berasa selamat ketika menjelajah ke negara lain bagi melakukan terjunan.

Melalui pengalamannya, Amy yang pernah mengunjungi sembilan negara termasuk Amerika Syarikat, Russia, Eropah dan sekitar Afrika Selatan untuk melakukan sukan ekstrem mengakui acara terjun udara di Menara Kuala Lumpur harus disertai dan diberi keutamaan untuk rekod peribadi.

“Sebelum ini kebiasaannya, kami melakukan terjunan menggunakan kapal terbang bagi memantapkan kemahiran dan teknik mengendalikan penetapan objek dalam aktiviti terjunan base.

“Saya juga bertuah kerana terdapat jambatan berhampiran rumah di Afrika Selatan yang membolehkan saya mempraktikkan teknik terjunan base yang dipelajari.

“Biasanya saya melakukan tujuh lompatan dalam sehari di Perrine Bridge, Idaho dan objek paling tinggi yang pernah dilakukan sepanjang menjadi penerjun adalah Menara Kuala Lumpur.

“Latihan yang disyorkan adalah mereka harus melakukan ratusan terjunan udara sebelum mengikuti terjunan base dan mempelajari lompatan itu di bawah bimbingan mentor atau jurulatih berpengalaman,” katanya.

Tambahnya, keunikan rekaan dan bentuk Menara Kuala Lumpur membuatkan dirinya begitu tertarik dengan keindahan persekitaran bandar raya yang dilihat dari udara. Malah, dia berhasrat untuk berkunjung semula ke Malaysia walaupun baru pertama kali menjejakkan kaki ke negara ini.

Sehingga saat ditemu bual, penerjun antarabangsa dari Amerika Syarikat, Jenn Finaldi, 28, sudah berjaya menamatkan tujuh terjunan bermula Jumaat hingga petang Sabtu 1 Oktober lalu.

“Walaupun sibuk melakukan terjunan, saya tetap mengingati pesanan daripada ibu bapa yang banyak memberi sokongan untuk terus meminati dunia terjunan.

“Ibu bapa saya selalu mengingatkan supaya sentiasa berhati-hati. Kata-kata mereka seolah-olah berjenaka iaitu semoga terhibur dan jangan berlaku kejadian tidak diingini. Apapun, saya faham maksud tersirat di sebalik kata-kata mereka itu.

“Penjelajahan untuk melakukan terjunan di seluruh dunia memberi pengalaman yang begitu besar dan harus dijadikan panduan. Ini kerana setiap tempat tidak kira di udara atau bangunan mempunyai risiko serta kesukaran tersendiri.

“Jadi, kami harus menggunakan kemahiran dan teknik yang dipelajari mengikut tempat terjunan. Sebelum ini, bangunan paling tinggi yang diikuti adalah pada ketinggian 90 meter.

“Menara Kuala Lumpur adalah bangunan paling tinggi dalam rekod terjunan base saya sekarang. Pengalaman mengikuti acara yang dianjurkan Menara Kuala Lumpur ini memberi peluang kepada saya untuk mengamalkan latihan dan teknik yang dipelajari sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas membuat terjunan di Menara Kuala Lumpur.

Acara sukan berprestij dan bertaraf antarabangsa itu menemui peminat ekstrem
di Menara Kuala Lumpur dengan objektif utamanya adalah untuk mempromosi dan meningkatkan industri pelancongan serta sukan terjunan base kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa.


PROFIL

NAMA: Amy Shaw
TARIKH LAHIR: Ogos 1985
ASAL: Afrika Selatan
JUMLAH TERJUNAN BASE: 100 lompatan
JUMLAH TERJUNAN UDARA: 480 terjunan
PENGALAMAN PENERJUN UDARA: Lapan tahun
PENGALAMAN PENERJUN BASE: Setahun


PROFIL

NAMA: Jenn Finaldi
TARIKH LAHIR: Januari 1983
ASAL: Amerika Syarikat
JUMLAH TERJUNAN BASE: 104 lompatan
JUMLAH TERJUNAN UDARA: 220 terjunan
PENGALAMAN PENERJUN UDARA: Empat tahun
PENGALAMAN PENERJUN BASE: Dua tahun

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: