Saturday, October 29, 2011

Songlap duit menang kes

KESAL...Noreah bersama suaminya, Osman menunjukkan dokumen berkaitan kes saman mereka.
KESAL...Noreah bersama suaminya, Osman menunjukkan dokumen berkaitan kes saman mereka.

KUALA LUMPUR: “Saya sedih melihat keadaannya yang sering mengamuk dan menyalahkan diri sendiri sejak enam tahun lalu. Lebih merisaukan, dia juga mencederakan anggota badan terutama lengan kirinya yang cacat akibat kemalangan itu.

“Kami sekeluarga berikhtiar dengan mendapatkan khidmat pengamal perubatan tradisional kerana dia berang dan berubah sikap apabila mendengar perbualan mengenai peguam yang menipunya,” kata warga emas, Noreah Mat Resat, 58, mengenai perubahan sikap suaminya selepas ditipu peguam pada 2005.


Suaminya, Osman Din, 56, mengalami masalah itu sejak mengetahui peguam dilantik keluarganya untuk menyaman bekas majikan yang menyebabkan kecacatan kekal, menipu dan tidak membayar wang hasil kemenangan kes yang berlaku 20 tahun lalu.

Selain menjadi panas baran, dia juga sering menghantukkan kepalanya ke dinding rumah sehingga cedera dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan tidak terkawal menyebabkan ahli keluarga bimbang berlaku sesuatu kejadian tidak diingini. Menceritakan kejadian itu, Noreah berkata, segala-galanya berlaku selepas suaminya yang juga penyelia di sebuah kilang papan di Karak, dekat Gombak, mengalami kemalangan akibat mata gergaji mesin pemotong kayu terputus dan menghiris lengan kirinya.


Disebabkan itu, dia dimasukkan ke Hospital Bentong dan kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta disahkan mengalami kecacatan kekal di lengan mengakibatkannya hilang punca pendapatan selepas tidak mampu bekerja.


“Namun, selepas dikunjungi peguam di HKL dan memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Temerloh, Pahang, suami yakin dia akan memenangi kes itu dan ingin menggunakan wang saman untuk membiayai pengajian anak yang masih kecil.

“Empat belas tahun menunggu, akhirnya ahli keluarga yang tidak sabar membuat semakan di mahkamah dan mendapati suami memenangi kes berkenaan dan layak menerima pampasan RM89,900 yang diserahkan kepada peguam sejak 2002,” katanya selepas membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam (PPIM) di sini, semalam.


Terkilan dengan tindakan peguam yang cuba menyembunyikan perkara itu, mereka menemuinya di ibu negara dan terkejut sebaik dimaklumkan mereka perlu membayar kos guaman dan bayaran tertunggak lain berjumlah RM40,000.

Mendapati mereka menjadi mangsa keadaan, perkara itu dirujuk kepada Biro Bantuan Guaman Raub dan dipanjangkan ke Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam untuk tindakan lanjut.


Sementara itu, Ketua Operasi PPIM, Imran Yusof, berkata pihaknya akan meneliti aduan berkenaan sebelum mengambil tindakan susulan termasuk berbincang dengan majlis peguam untuk mendapatkan gambaran kejadian itu.


“Siasatan awal mendapati, aduan ini berasas kerana pengadu ditipu peguam yang mungkin mengambil kesempatan ke atas keluarga berkenaan. Justeru, kami menggesa Biro Bantuan Guaman tampil memberi penjelasan mengenainya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: