Thursday, October 27, 2011

Sejarah Orkestra RTM

AHMAD NAWAB (kiri, depan) ketika menyertai Orkestra Radio Malaysia di bawah pimpinan Johari Salleh pada tahun 1966.


SELAMA lima dekad wujud di Malaysia, Orkestra RTM merupakan orkestra tertua negara. Kewujudannya sangat penting kerana ia antara pemangkin perkembangan industri muzik tempatan yang telah melahirkan ramai komposer berbakat dengan lagu-lagu malar segar sehingga ke hari ini.

Orkestra RTM juga boleh dianggap sebagai khazanah negara kerana ia boleh dijadikan rujukan dalam bidang muzik tempatan dalam usahanya memartabatkan lagi industri muzik tempatan.

Perjalanan yang bermula pada tahun 1961 dengan nama asalnya Orkes Radio Malaysia yang ketika itu dipimpin oleh Tan Sri Ahmad Merican telah memperlihatkan perbezaan dan kualiti daripada kumpulan muzik yang wujud pada ketika itu.

Rumah Persekutuan yang masih tersergam di Jalan Raja, Kuala Lumpur sehingga ke hari ini menjadi monumen bersejarah apabila lokasi itu merupakan tempat kelahiran dan membesar Orkestra RTM.

Apabila operasi Radio dan Televisyen Malaysia disatukan pada tahun 1969, nama Orkestra Radio Malaysia ditukar kepada Orkestra RTM dan ia bertapak di Kompleks Angkasapuri sehingga sekarang.

Selepas 50 tahun banyak nama besar dan tokoh dalam bidang muzik dilahirkan oleh Orkestra RTM yang juga menyumbang kepada industri muzik tanah air seperti Jimmy Boyle, Osman Ahmad, Datuk Ahmad Nawab, Kasim Masdor dan R. Ismail.

Selepas Tan Sri Ahmad Merican, tanggungjawab mengepalai orkestra tersebut diteruskan oleh Alfonso Soliano (Pemimpin Orkes Radio Malaysia 1961 - 1965), Gus Steyn (Pemangku Pemimpin 1967 - 1969), Datuk Johari Salleh (Pengarah Muzik 1965 - 1983), Datuk Ahmad Dasillah (Pengarah Muzik 1984 - 1999), Ruslan Mohd. Imam (Pemimpin Orkestra RTM 1978 - 1995) dan Datuk Mokhzani Ismail (Pengarah Muzik Orkestra RTM 1999 - kini).

Alfonso Soliano

Pemimpin Orkes Radio Malaya ini dilahirkan di Filipina, mahir bermain piano, pencinta irama jazz dan menjunjungi irama Melayu dalam perspektif yang berbeza. Ia terlihat pada awal pimpinannya sebelum kemerdekaan pada tahun 1956 yang ketika itu dikenali sebagai Orkes Tiga Serangkai yang turut dianggotai oleh Mahadzir Yassin, pemain double bass dan JJ.Vilinguez, pemain dram bagi menyediakan rancangan muzik untuk siaran radio.

Alfonso juga menggubah lagu Negaraku. Daripada sebuah lagu sentimental ke lagu yang menyuntik semangat patriotism, lagu Terang Bulan diberi nafas baharu menjadi lagu kebangsaan yang hari ini dikenali sebagai Negaraku. Semua sedia maklum, lagu Negaraku sebagai lambang visi kreatif Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri pertama Malaysia dan Bapa Kemerdekaan yang pertama kali melancarkan Negaraku mengiringi laungan merdeka selepas bendera Union Jack diturunkan.

Gus Steyn

Gus Steyn atau nama sebenarnya Gustaaf Nicolaas Steyn berasal dari Zaandam, Belanda. Banyak menyumbang kepada Malaysia menerusi penghasilan lagu-lagu patriotik, meskipun dia sebenarnya adalah seorang warga Singapura. Gus Steyn yang juga merupakan seorang konduktor orkestra dan pemain piano yang baik, dianggap antara komposer dan penggubah terbaik Malaysia selama lebih 30 tahun. Beliau juga bijak menggandingkan irama Malaysia bagi persembahan orkestra, antaranya lagu Kaparinyo Suite. Dibesarkan dan mendapat pendidikan awal di Belanda, Gus Steyn juga mendalami ilmu muziknya di tanah kelahirannya sebelum berhijrah ke Jakarta pada tahun 1940-an dan bekerja sebagai pemuzik.

Pada 1958, dia ke Singapura dan dilantik menjadi Pengarah Muzik di Radio TV Singapura. Semasa revolusi program pada tahun 1962, skim pemotongan gaji di Singapura menyebabkannya terpaksa berhenti kerja. Gus kemudiannya berhijrah pula ke Australia dan bermain muzik di kelab malam. Pada 1966, Tan Sri Dol Ramli dan Tan Sri Ahmad Merican telah ke Australia dan bertemu Gus Steyn, lalu menawarkannya bekerja bersama Orkestra RTM. Di Kuala Lumpur, Gus Steyn dilantik menjadi Timbalan Pemimpin di bawah seliaan Datuk Johari Salleh. Karya istimewanya, Overtue Samudra turut dimasukkan ke dalam kurikulum muzik formal Sijil Pelajaran Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 1972.

Datuk Johari Salleh


ORKESTRA Radio Malaysia pada tahun 1970 yang dibarisi 49 anggota.


Datuk Johari Salleh bertanggungjawab mengambil alih kepimpinan Orkestra RTM pada tahun 1965, selepas lima tahun di bawah pimpinan Alfonso Soliano. Dalam usaha memantapkan Orkestra RTM, Johari yang dilahirkan di Geylang, Singapura, pada 9 Februari 1940, melanjutkan pelajaran di Berklee College of Music di Boston pada tahun 1967. Sebelum menyertai Orkestra RTM, Johari mengumpul banyak pengalaman dengan bekerja di kelab malam di Singapura. Johari yang sangat mengagumi idolanya, Alfonso Soliano dan Jimmy Boyle.

Meminati lagu klasik, jazz dan pop, Johari menjadikan Due Helinton sebagai sumber inspirasi kepada karya jazz. Sementara itu, Tom Jones dan Henry William khusus untuk lagu pop. Johari turut mengagumi seniman agung, Tan Sri P. Ramlee dan Saloma yang merupakan sahabat baiknya semasa di Singapura. Di bawah pimpinan Johari Orkestra RTM terus memacu peranannya sebagai landasan mengembangkan seni persembahan dan muzik tanah air.

Datuk Ahmad Dassilah

Datuk Ahmad Dassilah Mohd. Yussuf merupapan pemuzik hebat bermain saksofon, flut dan klarinet di pentas. Beliau menjadi penerbit di Unit Hiburan Radio pada tahun 1967 yang mana itu merupakan impiannya.

Dipilih menjadi nakhoda baharu Orkestra pada tahun 1984 dan bertanggungjawab sebagai Pengarah Muzik RTM. Berkat ilmu yang dipelajarinya semasa melanjutkan pelajaran di universiti ternyata Dassilah membawa kejayaan yang besar kepada Orkestra RTM.

Datuk Mokhzani Ismail

Pengarah muzik kelahiran Perlis pada usia tujuh tahun, Datuk Mokhzani Ismail diberikan sebuah piano oleh ayahnya, Ismail Ariffin. Mokhzani mula berjinak-jinak membuat persembahan dengan bermain bersama-sama band di kampungnya di Perlis untuk majlis kenduri kahwin atau ketika majlis keramaian.

Tahun 1960-an, tidak terdapat sekolah seni muzik, sungguhpun begitu berkat semangat yang cekal, Mokhzani belajar sendiri sambil dibantu oleh ayahnya.

Pada usia 18 tahun, Mokhzani melanjutkan pelajaran ke Maktab Ilmu Khas. Istimewanya Mokhzani, beliau pelajar yang mahir mampu bermain apa sahaja lagu hanya menerusi pendengaran telinganya. Tahun 1982, beliau menjadi guru di Perlis.

Mokhzani meletak jawatan pada tahun 1986 mendapat biasiswa yang membawa Mokhzani terbang ke Boston melanjutkan pengajian di Berklee College of Music dalam bidang penggubahan orkestra. Selepas tiga tahun menuntut ilmu di luar negara dan lulus dengan Magna Cum Laude, Mokhzani kembali ke Malaysia pada tahun 1990.

Seorang kenalan lama Mokhzani telah memperkenalkan Mokhzani kepada Pengarah Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Ahmad Dassilah. Detik itulah menjadi permulaan kepada penglibatan beliau dengan Orkestra RTM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: