Thursday, October 27, 2011

Loji soda 'resahkan' flamingo

Rancangan pembinaan loji soda di kawasan Tasik Natron bakal menjadi ancaman kepada satu-satunya tempat pembiakan burung flamingo di dunia, sementara penduduk di situ berdepan isu kehilangan tempat tinggal.


PEMBINAAN loji soda seperti ini akan mewujudkan pertentangan antara pejuang alam sekitar dan juga alasan pembangunan serta peluang kemajuan.


SEKUMPULAN burung flamingo kelabu yang seakan-akan warna ikan salmon bebas berterbangan lantas menjadi latar pemandangan tasik yang terletak di Rift Valley.

Kawasan lembah istimewa di Tanzania yang diliputi timbunan lumpur itu menjadi satu-satunya tempat bagi spesies unggas tersebut bertelur dan membiak.

Hanya Tasik Natron yang mengandungi bahan berkaustik tersebut menjadi tempat pembiakan lesser flamingo iaitu sejenis burung yang tersenarai sebagai haiwan yang diancam kepupusan.

Bagaimanapun, kerajaan Tanzania kini pula bercadang untuk membina loji memproses abu soda di kawasan tasik yang kaya dengan bahan asli tersebut.

Persatuan Diraja untuk Perlindungan Burung (RSPB) menganggarkan tiga perempat daripada jumlah populasi lesser flamingo hidup dan membiak di bahagian timur benua Afrika, khususnya Tanzania.

"Burung-burung tersebut bergantung kepada Tasik Natron sebagai lokasi pembiakan. Sumber makanan dan sarang penetasan telur juga banyak terdapat di situ.

"Tasik itu pula terletak di kawasan yang terpencil yang tiada gangguan pembangunan," kata jurucakap RSPB.

Tasik Natron mempunyai kedalaman maksimum sehingga 50 sentimeter dan terletak di kaki gunung Ol Doinyo Lengai yang bermaksud Tuhan Gunung dalam bahasa tempatan.

Ol Doinyo Lengai

Lokasi tasik itu berdekatan dengan sebuah gunung berapi yang menjadikannya bersifat kaustik secara semula jadi. Ol Doinyo Lengai adalah satu-satunya gunung berapi aktif di dunia yang mempunyai lava daripada jenis berbatu. Ia dipanggil sebagai natro karbonatit.


ABU soda terkumpul di satu bahagian di permukaan Tasik Natron.


Batu-batu itu menjadikan air tasik sentiasa berkaustik dan pada masa yang sama menjauhkan haiwan pemangsa seperti biawak, ular dan musang daripada memakan telur-telur serta anak burung flamingo itu.

Selalunya, burung flamingo itu akan menetaskan sebiji telur ke atas sarang yang dibentuk daripada lumpur yang berbentuk busut.

Pada bulan April lalu, Presiden Tanzania, Jakaya Kikwete berkata, rancangan loji pembuatan abu soda perlu dipercepatkan tambahan pula ia pernah tergendala disebabkan oleh isu-isu berkaitan alam sekitar.

"Tidak ada sebab untuk menangguhkan projek itu lagi. Dengan pembinaannya, ia akan menaikkan taraf ekonomi negara," ujar Kikwete dalam kenyataan rasminya di kementerian perdagangan dan industri Tanzania.

Tambahnya, simpanan abu soda yang terdapat di Tasik Natron sangat besar dan cukup untuk menjadikan Tanzania sebagai negara pengeluar terbesar di dunia.

Sodium karbonat banyak digunakan sebagai agen pelembut pakaian ketika mencuci dan dalam pembuatan gelas, bergantung kepada jenis kaca yang hendak dibuat.

Pemangku Pengarah Eksekutif Daerah Longido, Ibrahim Matovu juga bersemangat mengalu-alukan pembinaan loji pembuatan abu soda itu.

"Kami menjangkakan ia akan menaikkan taraf hidup masyarakat di sini dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

"Selain itu, ia membuka peluang kepada lebih banyak tawaran perkhidmatan sosial, peluang belajar dan peningkatan taraf kesihatan," katanya di bandar yang kekurangan peluang pekerjaan itu.

Selepas mengalami tekanan yang hebat daripada pihak pejuang alam sekitar, kerajaan Tanzania telah mengalihkan rancangan asal loji tersebut beberapa puluh kilometer menjauhi persisiran tasik.

Gangguan manusia


SELAIN Tanzania dan beberapa negara lain di timur benua Afrika, tidak banyak habitat semula jadi flamingo boleh ditemui di dunia ini.


Tetapi, menurut penyokong alam sekitar, paip-paip yang akan mengepam soda ke loji pembuatan tetap menganggu tempat pembiakan flamingo.

"Sudah pasti terdapat infrastruktur yang akan dibina manakala para pekerja perlu memasang paip-paip di persekitaran tasik bagi menyalurkan soda ke loji.

"Hanya sedikit gangguan, ia sudah menyebabkan seluruh koloni burung itu meninggalkan sarang pembiakan," tegas pihak RSPB lagi.

Lebih parah, proses pembiakan flamingo sangat kompleks kerana haiwan tersebut hanya boleh mencapai umur maksimum 40 tahun dan membiak setiap lima atau enam tahun.

Bagi kebanyakan penduduk di persekitaran Tasik Natron, mereka jelas tidak mahu loji tersebut di bina di situ.

"Saya tidak suka dengan idea tersebut (loji pembuatan). Burung-burung akan berhijrah ke tempat lain," ramal penjaga pejabat pelancong di kampung Engaresero, Lemra Kingi.

Lemra ketika ditemui memakai pakaian tradisional puak Maasai berbentuk selimut dengan rona jingga dan ungu. Pada bahagian atas badan, dia dihiasi rantai yang dibuat daripada kerang dan perak.

Sebagai kompromi kepada modenisasi, dia memakai sarung kaki tenis dan memakai but untuk mendaki.

Bagi seorang koordinator badan bukan kerajaan bagi komuniti di situ, Joseph Seuri, dia mengingatkan agar penduduk kampung supaya berhati-hati dengan setiap janji yang dibuat kepada mereka oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap pembinaan loji tersebut.

Seuri tinggal di kampung Pinyinyi yang terletak 29 kilometer dari Magadi. Kampung tersebut berada di antara sempadan tasik soda itu yang dirancang menjadi tempat loji pembuatan itu berada.

"Di Magadi, mereka menabur janji kepada penduduk tempatan yang orang kampung akan mendapat pekerjaan. Kemudian, mereka akan menghalau semua keluar dan tidak akan membenarkan lembu meragut rumput di kawasan kilang," katanya dalam nada geram.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: