Tuesday, October 4, 2011

Santuari usia emas

GEMBIRA BERSAMA...warga emas berkumpul mengikut kesesuaian waktu untuk isi masa terluang dengan aktiviti berfaedah.
GEMBIRA BERSAMA...warga emas berkumpul mengikut kesesuaian waktu untuk isi masa terluang dengan aktiviti berfaedah.

SUDAH lama perasaan ingin tahu wujud mengenai tempat ini, Pusat Jagaan Harian Warga Emas.

Kunjungan secara terjah ke Kompleks Penyayang, Lesung Batu, Alor Gajah, Melaka asalnya sekadar mahu mencari maklumat.

  • Foto

    LUAS...ruang tamu dan ruang untuk menonton televisyen.

  • Foto

    SELESA...tempat makan.

Namun ia tidak sia-sia kerana disambut dengan mesra oleh penyelianya, Khalimah Ali.

Khalimah yang usai solat Zuhur sebenarnya mahu keluar memantau tanaman sayur hidroponik yang ditanamnya, tetapi menangguhkannya kerana mahu melayan penulis yang pertama kami berkunjung ke tempat sebegitu.


Dari luar, pusat ini seperti rumah banglo biasa. Bersih dan teratur. Penulis dan jurugambar sampai sekitar jam 2 petang dan suasana agak sunyi.


“Semuanya sudah pulang,” beritahu Khalimah.

Sebelum duduk bercerita mengenai pusat itu yang di bawah seliaan Khalimah sejak tiga tahun lalu, kami dibawa melawat sekitar dalamannya.

Ada dua ruang tamu utama bersofa. Satu ruang menempatkan televisyen. Di sebelah kiri ada satu lagi, berdekatan dengan sudut riadah senaman dan tempat bermain karom. Luas dan selesa.

Kami dibawa menjenguk ke dapurnya yang lapang yang mempunyai dua meja makan.

Lengkap sinki membasuh tangan yang bersih. Di sebelah ruang makan pula ialah dapur basah yang mempunyai pintu keluar ke bahagian belakang.

Dari situ boleh nampak taman herba yang diusahakan Khalimah bersama-sama warga di situ yang meliputi sekeliling rumah.

Antaranya serai, limau purut, pandan, cili, pudina, salad dan sawi putih yang memang tidak perlu dibeli.

“Di sini ada dua ruang rehat berkatil sekiranya warga emas keletihan dan mahu melelapkan mata. Satu untuk lelaki dan satu untuk perempuan. Di sini juga tempat mereka bersolat. Bilik air juga ada untuk lelaki dan perempuan. Pendek kata sangat selesa,” katanya.

Menurutnya, di Melaka ada dua Pusat Jagaan Harian Warga Emas sebegitu, sebuah di Lesung Batu dan sebuah lagi Bukit Baru, Bandar Melaka.

“Di Lesung Batu ini sejak beroperasi sepenuhnya pada 2009, warga emas yang berdaftar ialah seramai 73 orang. Lelaki seramai 21 orang manakala perempuan pula 52 orang. Majoritinya Melayu kecuali seorang India dan seorang berbangsa Iban.

“Mereka tidak datang ke sini setiap hari. Mereka bebas memilih hari sebab ia bukan paksaan dan kemahuan warga emas itu sendiri. Walaupun pusat ini dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang mulai Isnin hingga Jumaat, waktu untuk mereka datang juga mengikut kelapangan mereka sendiri.

“Mereka boleh datang dua jam saja ataupun lebih daripada itu. Buat masa ini, secara purata 30 warga emas datang ke sini setiap hari,” katanya.

Syarat untuk menyertai Pusat Jagaan Harian Warga Emas ini ialah berumur 56 tahun ke atas dan mereka boleh menguruskan diri sendiri.

“Walaupun uzur atau bertongkat, mereka boleh datang ke sini, dengan syarat boleh menguruskan diri sendiri kerana di sini tempat warga emas menghabiskan masa dengan aktiviti berfaedah dan menyertai aktiviti yang diadakan untuk mereka,” katanya.

Kerajaan mewujudkan pusat jagaan ini kerana dijangka pada 2030, Malaysia akan menuju kepada negara yang mempunyai lebih ramai warga emas.

“Jadi pusat ini ditubuhkan bagi membantu anak-anak yang perlu bekerja meninggalkan sementara ibu bapa mereka di waktu siang. Sebab itulah waktunya dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Anak-anak yang bekerja tidak perlu risau meninggalkan ibu bapa mereka sendirian di rumah kerana di sini ada yang menjaga mereka dan sekiranya apa-apa yang berlaku kami akan bawa ke hospital. Kami sediakan makanan pagi dan tengah hari secara sederhana dan sesuai untuk warga emas.

“Ada aktiviti disediakan, malah mereka boleh berkawan, berkongsi rasa dan melepaskan perasaan. Kami juga ada perkhidmatan kaunseling daripada kaunselor bertauliah selain ada riadah dan pengajian agama.

“Sebulan sekali kami anjurkan aktiviti luar bersama-sama. Ibu bapa yang ke pusat jagaan harian ini dapat menghilangkan rasa sunyi dengan rakan sebaya.

“Paling penting, pusat begini tidak membuatkan hubungan orang tua dan anak cucu mereka terputus seperti rumah kebajikan.

“Ini adalah tempat istimewa bagi orang tua yang tinggal bersama anak bagi menghabiskan masa mereka di siang hari. Selepas jam 5 petang, mereka pulang ke rumah masing-masing dan menghabiskan masa dengan anak cucu sendiri, begitu juga di hujung minggu,” katanya.

Jelas Khalimah, warga emas yang datang ke situ ada yang terdiri daripada pasangan suami isteri dan ada yang datang sendirian kerana pasangannya tidak mahu turut serta.

“Ada pesara, suri rumah tangga, ustaz, bekas guru dan penjawat awam. Mereka dari kawasan sekitar sehingga ke Durian Tunggal dan Pulau Sebang. Ada yang datang berkereta bersama-sama, ada yang datang naik bas. Perlu bertukar dua bas pun ada kerana mahu ke sini menyertai aktiviti berfaedah yang disediakan,” katanya.

Aktiviti yang diadakan setiap minggu ialah fardu ain (Isnin), bernasyid (Selasa), senaman (Rabu), berzanji (Khamis) dan bengkel kraftangan serta gotong-royong pada Jumaat.

“Tiada sebarang bayaran dikenakan, hanya wang pendaftaran RM10 setahun sekali.
Berkonsepkan satu Malaysia, semua rakyat Malaysia dialu-alukan ke mari tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Menurut Khalimah, pihaknya sangat mengalu-alukan program dengan orang luar kerana ini mengeratkan hubungan dan interaksi sesama mereka.

Bulan puasa lalu, ada pelajar universiti yang mengadakan program berbuka puasa bersama-sama mereka.

Khalimah sangat berharap, ramai lagi anak yang menghantar ibu bapa mereka ke pusat jagaan berkenaan kerana ia adalah tempat yang membolehkan ibu bapa menghabiskan masa dengan berfaedah.

“Buangkan rasa malu atau prasangka hendak menghantar ibu bapa ke sini. Kalau ada kenderaan, hantarlah mereka, jangan biarkan mereka naik bas kerana mahu mendapatkan ilmu dan bertemu kawan di sini. Jangan malu kerana tiada apa yang hendak dimalukan. Ibu bapa kita terjaga dan cukup serba sini di sini.

“Pada masyarakat pula, jangan pandang rendah atau mengumpat anak yang menghantar ibu bapa mereka ke Pusat Jagaan Harian Warga Emas. Di sini, anak-anak bukan mahu ‘membuang’ ibu bapa mereka. Malah anak-anak mahu ibu bapa dapat faedah pula. Ada kelas agama dan ada aktiviti. Sekiranya di rumah, ibu bapa sunyi dan hanya tengok televisyen,” katanya.

Selepas tiga tahun menyelia pusat ini, Khalimah semakin rapat dengan warga emas yang diselianya.

“Kalau ada yang sakit, kami buat lawatan dan sama-sama menziarah. Saya layan mereka seperti kakak dan ibu bapa sendiri,” katanya.



Pusat Jagaan Harian Warga Emas adalah di bawah Majlis Pusat Kebajikan Semenanjung Malaysia yang dipantau Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM). Ia berkonsepkan memberi kemudahan penjagaan harian kepada warga emas.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: