USIANYA baru mencecah 17 tahun. Tetapi, nama Susana Frieza kini mula menjadi sebutan ramai apabila menjadi pengasas kepada sekumpulan wanita forcado yang menundukkan lembu jantan dengan tangan kosong.
"Sebagai wanita, perasaan takut pastinya ada. Namun, kita dapat belajar mengawal perasaan takut dan kemudian ia menjadi semakin mudah.
"Tiada perasaan yang dapat dibandingkan dengan pengalaman berdepan dengan seekor lembu jantan seterusnya berjaya menundukkannya," kata Frieza, gadis kelahiran Benavente, sebuah pekan kecil di bahagian tengah Portugal yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Lisbon.
Ternyata kemahiran dan kebolehan luar biasa Frieza berjaya menarik perhatian peminat sukan ekstrem tersebut.
Perlawanan menentang lembu jantan dalam kalangan rakyat Portugal adalah berbeza dan kurang ngeri berbanding di Sepanyol yang memerlukan matador menikam mati lembu jantan tersebut jika mereka berjaya memenangi pertandingan.
Tanpa senjata
Dalam acara melawan lembu di Portugal, lapan orang forcado lelaki mencabar lembu jantan secara langsung tanpa sebarang senjata di tangan mereka. Selain itu, bagi mengelak sebarang kecederaan teruk, tanduk lembu jantan berkenaan akan dibalut dengan kulit.
Lelaki di bahagian hadapan akan melakukan provokasi ke atas lembu jantan untuk menarik perhatiannya atau disebut pega de cara (tangkapan muka). Kemudian, dia akan mengikat kepala lembu dan rakan yang lain cuba menjatuhkan haiwan tersebut. Sukan itu dikendalikan oleh persatuan amatur.
Selain Frieza, ayah dan abang sulungnya juga merupakan forcado. Dia pernah berjaya menjinakkan seekor lembu jantan buat kali pertama pada usia 12 tahun apabila dibawa ke sebuah karnival tempatan oleh abangnya, Luis.
"Dalam sebuah pertandingan kecil-kecilan yang dianjurkan dengan perkampungan bersebelahan, mereka membuat keputusan untuk meletakkan seorang gadis kecil untuk berhadapan dengan seekor lembu jantan.
"Siapa sangka akhirnya adik saya berjaya memenangi perlawanan tersebut," jelas Luis, 23, sambil ketawa apabila mengenangkan peristiwa bersejarah itu.
Pada tahun 2008, Frieza mula mewujudkan pasukan forcado yang terdiri daripada golongan wanita. Bermula dengan sekadar mencuba, lama-kelamaan pasukan itu mula menjadi sebutan.
Walaupun mereka hanya berhadapan lembu jantan yang lebih kecil dengan berat di antara 200 hingga 300 kilogram (kg) berbanding 500kg atau lebih bagi lelaki, namun reputasi kumpulan tersebut semakin tersebar luas ke seluruh negara.
Sejak kemunculan pertama melawan lembu jantan dalam pertandingan antara kampung, Frieza semakin galak menambah rekod kejayaannya.
Pada usia 15 tahun, dia berjaya menunjukkan seekor lembu jantan seberat 420kg. Ibunya, Rosalia yang turut berbangga dengan pencapaian Frieza berkata: "Dia akan menutup mulut orang yang mentertawakan dirinya ketika dia dia memasuki gelanggang".
"Sukar untuk menggambarkan apa yang saya rasa ketika itu. Ia begitu bermakna," tutur Frieza mengingati saat kemenangannya.
Alami kecederaan
Bagaimanapun, di sebalik kejayaan yang dicapai, Frieza tidak terlepas daripada mengalami kecederaan ketika berlawan dengan lembu jantan.
Bulan Julai lalu, hidungnya berdarah kerana ditendang sebanyak dua kali oleh seekor anak lembu jantan. Namun, kejadian itu bukan penghalang untuknya meneruskan kerjaya tersebut.
"Lebih banyak anda cedera, lebih kuat anda berazam untuk menundukkan mereka," tegasnya tanpa rasa gentar.
Bagi Clara Pedro, seorang penduduk di Lisbon yang kali pertama mengambil bahagian dalam acara tersebut di Benavente, Frieza dianggap pahlawan wanita yang disanjungi.
"Frieza melambangkan keberanian seorang wanita dan dia menjadi inspirasi kepada para wanita di luar sana," ucap Pedro.
Perlawanan pertama Pedro yang berlangsung Sabtu lalu tidak berjalan dengan baik. Dia ditendang di bahagian lutut oleh seekor anak lembu jantan seberat 200kg dan perlu dibawa ke hospital.
Selain Pedro, Frieza mempunyai puluhan wanita muda yang bersemangat untuk terus beraksi.
"Ia satu perkembangan yang hebat. Ia lebih baik dari yang saya fikirkan," ungkap Frieza terhadap sambutan yang diterima daripada wanita yang mahu menjadi forcado.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: