BOT yang kami naiki meluncur laju di atas laut, percikan air menempias ke muka beberapa kali.
Ketika itu saya, rakan-rakan dan lebih 20 pelancong yang lain sedang menuju ke Kepulauan Phi Phi yang terletak hampir 40 kilometer dari tenggara Pulau Phuket.
Lawatan ke Kepulauan Phi Phi ini kami ikuti selepas cadangan daripada Charlie, pemandu pelancong yang membawa kami di sekitar Pulau Phuket pada hari kedua.
Malah syarikat bot yang membawa kami ini juga dicadangkan oleh Charlie.
Untuk ke Phi Phi, pelancong dari Phuket boleh menaiki dua jenis kenderaan laut iaitu feri yang agak murah tetapi perlahan atau bot laju yang tambangnya sedikit lebih tinggi tetapi mengambil masa yang singkat untuk sampai.
Charlie mencadangkan pakej bot laju dan ternyata bot yang tiba mengambil kami pada awal pagi itu sememangnya bot laju yang berada dalam keadaan baik.
Jadi benarlah kata kenalan dari Ireland yang kami temui di Phuket pada malam sebelumnya yang mengatakan pemandu pelancong di Phuket tidak akan menipu kualiti barang atau perkhidmatan yang ditawarkan cuma mereka akan bermain dengan harga.
Setelah hampir 40 minit kami menaiki bot laju, akhirnya kami tiba di Kepulauan Phi Phi yang mempunyai enam pulau kecil di sekelilingnya.
Lokasi pertama kami di Phi Phi adalah Maya Bay yang begitu terkenal sekali di kalangan pelancong kerana menjadi lokasi pengambaran filem Hollywood, The Beach, lakonan Leonardo DiCaprio.
Semakin kami mendekati daratan, warna air laut semakin membiru. Di Maya Bay terletak di pulau Phi Phi Leh, pasir pantai yang putih, bersih dan halus menyambut kedatangan kami.
Kami dan kesemua penumpang bot sempat berbaring seketika di atas butiran pasir pantai yang sedikit hangat. Kami kemudian terlihat papan tanda yang menunjukkan lalulan keselamatan jika berlaku tsunami.
Ya, Phuket dan Phi Phi adalah kepulauan yang terjejas teruk ketika berlakunya tragedi tsunami pada 2004.
Namun ia bangkit semula dengan pesat hasil kerjasama masyarakat dengan kerajaan Thailand hinggakan tiada sebarang tanda kepulauan itu pernah dimusnahkan ombak besar semasa kami di sana.
Kemudian kami bangkit dan pergi menyusuri laluan denai mengahala ke kawasan dalam pulau. Setelah berjalan beberapa meter, kami terlihat ada beberapa kemah dibina untuk pelancong yang bermalam di situ.
Di sebalik kemah itu, terdapat laluan tersembunyi yang membawa kepada satu kawasan tinjauan. Kami melangkah lagi dan dari situ terlihatlah beberapa pulau batu besar berwarna hitam bersama pokok yang menghijau di puncaknya.
Kapten bot membunyikan hon selepas satu jam kami bersantai di Maya Bay dan ia terus membawa kami ke pulau utama iaitu Phi Phi Don untuk makan tengah hari yang termasuk dalam pakej lawatan dan melawat pekan kecil.
Untuk pengetahuan pembaca, Kepulauan Phi Phi dan Phuket sebenarnya adalah kawasan penduduk orang Islam yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan namun setelah ia menjadi pusat pelancongan, penduduk beragama Buddha telah membuat imigrasi dan bilangan mereka adalah sama banyak.
Terdapat juga sebuah masjid yang tersergam indah di pekan kecil Phi Phi Don yang dinamakan Al-Islah Mosque.
Saya dan rakan sempat bertemu seorang warga emas Islam tempatan bernama Zakaria yang mahu menunaikan solat Zuhur dan kami sempat melakukannya bersama.
Namun pakcik Zakaria yang hanya tahu berbahasa Thailand membataskan komunikasi kami dan setelah melawat kawasan di sekeliling masjid, kami terus melawat pekannya yang sangat kecil namun penuh seni dan tradisi.
Di pekan itu, terdapat pelbagai gerai namun tiada banyak kemudahan awam kelihatan. Saya sempat merakam beberapa pemandangan dan momen unik yang terdapat di situ.
Kami meneruskan lawatan di Phi Phi dengan singgah di destinasi terakhir iaitu pulau kecil yang saya tidak ingat namanya namun begitu indah dan bersih.
Di pulau yang hanya sebesar satu padang bola sepak itu kami berehat lebih lama dan melakukan aktiviti snokerling beberapa meter dari pantai. Kami sempat memberi makan kepada pelbagai jenis ikan bersaiz kecil dalam lautan yang jernih itu.
Hampir dua jam berehat dan melihat keindahan dasar laut, hon bot kami berbunyi lagi untuk memberitahu bahawa waktu kami di Kepulauan Phi Phi sudah berakhir.
Saya menaiki bot dengan rasa berat hati. Terlalu singkat rasanya waktu kami di kepulauan indah ini walaupun sudah lapan jam kami berada di sana.
Tetapi yang pasti, kami begitu seronok melihat keindahan Kepulauan Phi Phi yang terjaga dan terasa ingin kembali semula ke Phi Phi jika melawat Phuket sekali lagi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: