Monday, October 24, 2011

Penjenayah samun, bakar rumah


RUMAH Azhar di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih yang musnah selepas didakwa dipecah masuk penjenayah semalam. Gambar kecil, ruang tamu rumah yang rosak teruk.


SEMENYIH – Seorang juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengalami kerugian berjumlah RM500,000 apabila rumah banglo berkembar dua tingkat miliknya didakwa sengaja dibakar selepas dipecah masuk oleh sekumpulan penjenayah di Bandar Tasik Kesuma di sini semalam.

Pegawai tentera berpangkat Leftenan Kolonel Azhar Mohamad, 46, mendakwa kejadian pada pukul 2.30 pagi itu merupakan kejadian kali kedua rumahnya diceroboh dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Dalam kejadian semalam, Azhar dan isterinya tiada di rumah kerana tinggal di Jerteh, Terengganu. Azhar bertugas di Pangkalan Udara TUDM Gong Kedak, Jerteh.

Cerita Azhar, dia mengetahui rumahnya terbakar selepas menerima panggilan telefon jirannya pada pukul 2.59 pagi.

“Melalui panggilan itu saya sangat terharu kerana dapat mendengar api membakar rumah saya,” ceritanya dengan memberitahu rumahnya hanya tinggal rangka.


AZHAR


Azhar memberitahu, kejadian pertama berlaku pada 30 September lalu apabila rumahnya yang dibeli pada tahun 2006 didakwa dimasuki pencuri melalui tingkap belakang rumah.

Azhar membuat laporan polis dan mendakwa kerugian berjumlah RM25,000 akibat kehilangan barang-barang berharga.

“Semasa itu, suspek turut menyalakan api di ruang tamu rumah, bilik tidur utama serta bilik anak perempuan saya tetapi nasib baik api tidak merebak,” katanya yang memberitahu semasa itu rumahnya juga tiada penghuni.

Namun, Azhar memberitahu, dia kebingungan apabila kejadian sama dan dipercayai melibatkan suspek sama berulang semalam.

“Malah kali ini lebih buruk kerana seluruh rumah hangus dan saya mengesyaki barang-barang kemas, jam tangan serta barang perhiasan tembaga dilarikan,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: