PELBAGAI cara boleh dilakukan bagi memenuhi gaya percutian sama ada di darat mahupun lautan yang terbentang luas. Ia termasuklah menerusi pelayaran kapal Star Cruise Superstar Libra yang ditawarkan bermula dari Terminal Kapal Persiaran Antarabangsa Jeti Swettenham, Pulau Pinang menuju ke Krabi dan Pulau Phuket di Thailand.
Dengan pakej percutian 4 hari 3 malam di atas kapal sepanjang 216 meter dan 33 meter lebar dengan berat 42,276 tan itu pelbagai aktiviti santai yang dilalui mampu meninggalkan kenangan manis terutama bagi yang pertama kali melalui pengalaman tersebut. Kapal yang mempunyai 10 tingkat dek itu mempunyai banyak kemudahan seperti restoran, sauna dan gimnasium.
Selain menikmati udara segar dalam pelayaran yang membelah Selat Melaka melalui Laut Andaman menuju ke Pulau Phuket dan seterusnya ke Krabi itu, para penumpang disajikan dengan pelbagai aktiviti. Misalnya pertunjukan silap mata oleh Ernesto Planas dari Itali dan juga persembahan tarian antara aktiviti di Stardust dek 5 yang disediakan di atas kapal tersebut.
Turut disediakan di atas kapal yang memulakan pelayarannya sejak Februari 2010 itu ialah calon kecantikan dan sauna yang dibuka dari pukul 11 pagi hingga tengah malam. Kelab malam dan kasino juga antara kemudahan yang disediakan untuk para penumpang di atas kapal yang menggunakan matawang ringgit Malaysia dalam segala urusan jual beli.
Selepas semalaman belayar kapal yang mampu menampung sehingga 1,472 penumpang itu tiba di Pulau Phuket. Pulau pelancongan dengan keluasan 543 kilometer persegi paling terkenal menawarkan pelbagai aktiviti untuk para penumpang Star Cruise Libra mengikut pakej yang mereka pilih. Kebanyakannya bertumpu ke Pantai Patong termasuklah untuk membeli-belah.
Bagi rombongan yang turut disertai krew rancangan 8TV Quickie yang menjalani rakaman rancangan itu, banyak tempat menarik boleh dilawati. Contohnya berkunjung ke Pusat Kraftangan Wang Talang yang menyediakan pelbagai barangan kraf dan cenderhati berasaskan produk tempatan serta Wat Chalong iaitu kuil Buddha terbesar di pulau itu.
Selepas seharian berada di Pulau Phuket setiap malam sepanjang pelayaran itu, masa para penumpang banyak dihabiskan di atas kapal terutamanya untuk aktiviti yang lebih menjurus ke arah memanjakan diri sendiri. Ada juga yang bersantai sambil mandi manda di dua kolam renang di atas dek 10 selain menikmati makan malam yang disediakan sehingga pukul 12.30 malam.
Paling ketara dalam kapal Star Cruise Superstar Libra ialah kemudahan restorannya yang menyajikan pelbagai menu. Malah, terdapat lapan restoran sama ada bersaiz besar atau sederhana seperti Blue Lagoon, Taipan Coconut Willy's, Mariners Buffet, Pool Bar, Restaurant Four Seasons, Ocean Palace dan Lickety Splits sentiasa menanti para penumpang sepanjang pelayaran itu.
Setelah berkesempatan berkunjung ke Pulau Phuket, Star Cruise Libra turut melabuhkan sauhnya untuk membawa para penumpangnya menikmati panorama di Krabi yang menyediakan banyak tarikan pelancong. Sehari suntuk di Krabi para penumpang mempunyai banyak pilihan sama ada mahu membeli-belah di sepanjang Pantai Ao Nang ataupun pergi ke pulau-pulau berhampiran.
Pelayaran itu seakan-akan tidak terasa lama atau membosankan kerana pelbagai aktiviti yang disediakan buat para penumpangnya. Malah, berada di atas kapal sebesar itu juga tidak terasa seperti berada di permukaan laut yang sentiasa bergelora. Ini kerana, kedudukannya yang sentiasa stabil umpama berada dalam sebuah bangunan besar tetapi ia santai membelah samudera yang luas.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: