Selain dikenali sebagai sebuah pusat pelancongan terkenal di dunia, tarikan utama yang terdapat di Amsterdam lain daripada yang lain.
Kota yang mendapat nama daripada gabungan sungai Amstel dan empangan (dam) cukup dikenali dengan jolokan nama Venice of the North, namun jarang yang mengetahui fakta mengenai kedudukan kota itu berada di bawah paras laut.
Bermula dari sebuah perkampungan nelayan sekitar kurun ke-12, penempatan yang dikelilingi laut, sungai dan tasik itu bertapak di atas tanah paya.
Kini satu per empat daripada bandar itu sebenarnya berada di bawah paras laut sehingga ada yang mencecah kedalaman kira-kira enam meter.
Kehebatan itu datang daripada kepakaran teknologi dan pengurusan saliran air yang dimiliki oleh orang-orang Belanda melalui pembinaan benteng dan daik yang menghalang air laut daripada memasuki bandar.
Kepelbagaian cita rasa percutian menjadikan Amsterdam sebagai tarikan paling ingin dikunjungi di dunia dengan kemasukan kira-kira lima juta pelancong setiap tahun.
Bagi yang tidak pernah mengunjunginya sudah tentu tertanya-tanya mengapa kota tersebut bebas tanpa sebarang sekatan asalkan tidak melanggar undang-undang negara.
Bagi penulis, tanpa mengamalkan undang-undang yang ketat terutama dari segi dadah dan pelacuran, Amsterdam membuktikan yang negara tersebut masih aman dengan kadar jenayah mereka lebih rendah berbanding negara yang mengamalkan undang-undang yang lebih ketat.
Malah destinasi tersebut juga menawarkan pelbagai tarikan utama dengan reka bentuk landskap bangunan-bangunan lama yang dipenuhi dengan deretan kedai kafe.
Jika anda berpeluang melancong ke sana, kota tersebut pastinya meninggalkan pelbagai kenangan yang tersendiri.
Ini kerana, deretan kedai-kedai kopi yang terdapat di sana menawarkan pelbagai juadah dan minuman yang diperbuat daripada marijuana.
Barang terlarang itu pastinya sukar untuk diperoleh di negara lain tetapi di Amsterdam ia dijual secara bebas di kawasan-kawasan tertutup yang tersedia di lebih 300 kedai kopi yang terdapat di seluruh bandar tersebut.
Tarikan lain termasuk lokasi yang cukup popular di kalangan pelancong iaitu Red Light District (kawasan lampu merah) yang terletak di sekitar deWallen juga menjadi tarikan mengapa mereka memilih Amsterdam sebagai destinasi percutian.
Destinasi itu juga memiliki koleksi muzium terbesar di dunia. Daripada 70 muzium yang ada di Belanda, 40 terletak di dalam kota Amsterdam.
Buat peminat seni Eropah, Muzium Rijksmuseum merupakan antara galeri yang mempamerkan pelbagai karya pelukis-pelukis Belanda.
Beberapa lagi muzium kesenian yang berbaloi untuk dilawati termasuk Muzium Stedelijk, Hermitage Amsterdam dan Rumah Anne Frank.
Muzium Seks di Damrak antara lain menawarkan paparan yang cukup berbeza.
Walaupun bersaiz lebih kecil dari muzium biasa, sejak ia dibuka pada 1985, setengah juta pelawat mengunjunginya setiap tahun.
Para pelancong yang berminat untuk menyaksikan panorama kawasan luar bandar pula boleh mengunjungi kawasan kincir angin atau melihat bunga tulip berkembang pada sekitar Mac hingga Mei.
Menyentuh mengenai festival, kota Amsterdam juga dikenali dengan pelbagai festival yang diadakan setiap tahun.
Antaranya seperti Festival Belanda (Holland Festival) dan Cannabis Cup yang disambut ratusan ribu orang pengembara bagi meraikannya dengan penduduk-penduduk bandar sehingga penuh sesak.
Namun kemesraan warga kotanya menjadikan ia antara destinasi yang berbaloi untuk dikunjungi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: