Saturday, October 15, 2011

Pelajar Malaysia mangsa herdik

 PENDUDUK di sempadan Malaysia dan Indonesia bebas keluar masuk di pos sempadan untuk menjalankan aktiviti masing-masing.
PENDUDUK di sempadan Malaysia dan Indonesia bebas keluar masuk di pos sempadan untuk menjalankan aktiviti masing-masing.
Pensyarah, rakan sekuliah cuba provokasi dakwaan rampas tanah

KUALA LUMPUR: Insiden demonstrasi penunjuk perasaan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta yang bertitik tolak daripada dakwaan kononnya Malaysia merampas tanah republik itu turut memberi tempias kepada lebih 6,000 pelajar Malaysia di Indonesia.
Ada kalangan pensyarah, rakan sekuliah, mahu pun doktor dan jururawat di hospital di mana mereka menjalani latihan amali mengherdik dan cuba memprovokasi mereka berhubung isu berkenaan.
Bagaimanapun, tiada insiden tidak diingini berlaku selepas 6,184 pelajar Malaysia di Indonesia dinasihatkan supaya tidak bertindak balas terhadap provakasi itu.

Atase Pendidikan di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada pelajar, khususnya pelajar yang menjalani amali di hospital yang diherdik dan cuba diprovokasi oleh doktor dan jururawat berhubung isu di sempadan Malaysia-Indonesia itu, tetapi dinasihatkan untuk berdiam diri dan tidak bertindak balas.

Berikutan perkembangan terbaru itu, beliau berkata, Education Malaysia (dahulunya Jabatan Penuntut Malaysia) di Indonesia dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memantau situasi itu 24 jam sehari bagi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar Malaysia terjamin.

“Isu itu memberi kesan kepada pelajar kita di sini apabila ada di kalangan rakyat Indonesia termasuk pensyarah, doktor atau jururawat di hospital di mana mereka menjalani latihan amali terpengaruh dan percaya dengan dakwaan mengenai isu sempadan itu.
“Bagaimanapun, kita menasihatkan pelajar supaya tidak memberi sebarang respon selain mengambil langkah perlu seperti bergerak dalam kumpulan, tidak keluar pada waktu malam dan menukar pakaian kepada pakaian bukan identiti Malaysia untuk mengelak sebarang insiden tidak diingini berlaku dan tidak terheret dengan kancah pertikaian yang ditimbulkan pihak tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: