Sunday, October 23, 2011

Pasangan perlu tolak ansur,toleransi

MESRA..walaupun berbeza kaum dan bangsa, itu tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk bersama.
MESRA..walaupun berbeza kaum dan bangsa, itu tidak menjadi penghalang bagi mereka untuk bersama.

SI bapa berbual dengan anaknya menggunakan bahasa Turki, si anak mengangguk tanda faham apa yang dibualkan. Si ibu pula mencelah perbualan dua beranak itu namun lebih selesa berbicara menggunakan campuran bahasa Inggeris dan Melayu.

Bagi yang pertama kali melihat keadaan itu pastinya terfikir tidakkah si anak keliru penggunaan bahasa yang pelbagai, namun itulah keistimewaan dan kelebihan anak yang lahir daripada keluarga campur.

Mempunyai dua budaya berbeza dan mengamalkan cara hidup berlainan daripada komuniti asal membuatkan anak-anak ini terkehadapan dan lebih terbuka daripada segi pemikiran ataupun percakapan.

Perkahwinan campur sudah wujud sejak berlakunya aktiviti perdagangan pada zaman dulukala. Ketika itu Tanah Melayu yang terkenal sebagai antara pusat perdagangan dunia menjadi tumpuan pedagang dari serata tempat dan ada pedagang yang terpikat dengan penduduk tempatan seterusnya menetap di sini.


Trend itu berterusan hingga kini membabitkan warga asing pelbagai negara selain dalam kalangan masyarakat berbilang kaum. Bukanlah pelik melihat seorang kanak-kanak mempunyai ibu berbangsa Cina dan ayah berbangsa India sambil mengamalkan dua cara hidup serentak.


Lebih unik, anak yang dilahirkan pasangan bangsa berkenaan kebanyakannya iras wajah orang Melayu.

Namun, walaupun fenomena ini sudah bertapak lama dan berkembang, masih ada sesetengah masyarakat di negara ini yang mempunyai persepsi negatif terhadap perkahwinan campur.

Rata-rata beranggapan perkahwinan yang dibina oleh dua individu berlainan bangsa tidak akan bertahan lama kerana mempunyai latar belakang, cara hidup, budaya terutamanya agama berbeza.

Ketua Felo Penyelidik di Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Denison Jayasooria berkata, perbezaan budaya antara pasangan bukanlah menjadi faktor utama punca perceraian sebaliknya lebih kepada persefahaman.

Katanya, masyarakat sering membuat andaian perkahwinan campur sering berakhir perceraian sedangkan ia hanya dinilai daripada sudut perbezaan yang dilihat pandangan mata kasar saja.

“Soal perceraian bukan hanya terjadi pada perkahwinan campur tetapi mana-mana perkahwinan walaupun datang daripada kaum dan agama yang sama juga tidak terlepas menghadapinya.

“Apa yang penting adalah persefahaman dan sikap saling mempercayai antara pasangan menjadi resipi kepada keutuhan rumah tangga yang dibina,” katanya yang juga berkahwin campur.

Sepatutnya perbezaan dilihat sebagai kelebihan bukannya kekurangan kerana melalui perbezaan itulah kita dapat mengenali atau mempelajari sesuatu perkara yang baru.

Denison berkata, perceraian di dalam perkahwinan tidak sepatutnya dijadikan isu kerana individu yang mengambil keputusan untuk berkahwin seharusnya mempersiapkan diri untuk menjalani kehidupan dengan pasangan yang sememangnya mempunyai cara hidup berbeza.

Katanya, sifat tolak ansur, memahami antara satu sama lain dan saling menghormati perlu diterapkan dalam institusi kekeluargaan dan jika ia tiada, mungkin bahtera perkahwinan akan menuju kehancuran.

“Memang tidak dapat dinafikan agak sukar untuk mengubah cara hidup atau kepercayaan yang sudah sebati dalam diri seseorang sejak kecil tetapi jika sikap toleransi diterapkan, pasti tiada masalah serius yang akan timbul.

“Jangan terlalu memaksa atau mendesak pasangan untuk menerima budaya baru kerana proses ini memerlukan masa dan jangan mengharap perubahan yang drastik daripada pasangan masing-masing,” katanya.

Perkahwinan campur ini terbahagi kepada dua iaitu perkahwinan yang bersifat asimilasi dan akulturasi yang bukan saja terjadi di negara kita tetapi di seluruh dunia.

Proses asimilasi adalah satu proses percantuman dan penyatuan antara kelompok atau individu yang datang daripada etnik dan kebudayaan berlainan supaya menjadi satu dengan etnik yang dominan.

Proses ini berlaku apabila mana-mana kelompok yang berfikir dan berperasaan secara berlainan, akhirnya bersatu dalam kesatuan sosial serta budaya sama.

Perkahwinan campur asimilasi ini boleh dilihat menerusi perkahwinan antara Islam dan bukan Islam dan anak yang akan dilahirkan disebut sebagai peranakan.

Perkahwinan campur akulturasi pula lazimnya terjadi dalam kalangan mereka yang bukan beragama Islam dan banyak dilihat menerusi perkahwinan antara etnik di Sabah dan Sarawak.

Akulturasi adalah satu proses penerimaan unsur kebudayaan dalam kalangan individu atau kelompok daripada sesuatu kebudayaan lain yang berbeza.

Akulturasi terjadi apabila satu kelompok manusia dengan budaya tertentu dihadapkan dengan unsur daripada suatu kebudayaan asing yang berbeza sehingga unsur kebudayaan asing itu akhirnya diterima dan diolah dalam kebudayaan sendiri. Berbeza dengan proses asimilasi, proses akulturasi tidak menyebabkan kehilangan identiti asal masyarakat penerima.

Katanya, tidak dapat dinafikan bukan semua orang mempunyai fikiran terbuka mengenai perkahwinan campur ini bahkan masih ada lagi yang berfikir bahawa ia lebih kepada perkahwinan jangka pendek.

Sama ada sedar atau tidak, keluarga sebenarnya menjadi halangan terbesar pada mereka yang ingin berkahwin dengan pasangannya yang datang daripada keluarga berlainan.

Menurut kajian Kita, masalah yang timbul dalam perkahwinan campur ini terhad kepada kes membabitkan pertukaran agama.

“Dalam kebanyakan kes, keluarga sering membantah jika perkahwinan itu memerlukan anak mereka menukar agama dan nama kerana ia dikhuatiri akan memutuskan ikatan kekeluargaan yang terjalin.

“Berbeza pula dengan perkahwinan campur di Sabah dan Sarawak, ia lebih bersifat mesra dan cara pemikiran mereka jauh lebih terbuka sekali gus menjamin keharmonian rumah tangga,” katanya.

Bagaimanapun, katanya masyarakat yang tinggal dalam kawasan bandar lebih bersifat terbuka mengenai perkahwinan campur kerana sudah didedahkan mengenainya, namun agak sukar diterima oleh masyarakat di luar bandar.

Selain itu, ada yang berkahwin campur hanya mahu mendapatkan anak cantik dan bijak hanya kerana sering dimomokkan dengan kenyataan sedemikian.

Namun, jika diteliti daripada kajian sains dan sosiologi ada benarnya kerana rata-rata anak yang lahir daripada perkahwinan campur ini lebih bijak dan pandai menyesuaikan diri.

“Daripada aspek sains, ia sebenarnya berkaitan dengan ‘geneologi’ atau struktur tatasusila keluarga dan keturunan seseorang di mana percampuran dua gen yang datang daripada susur galur berbeza akan menjadikan anak lebih bijak dan cantik.

“Jika dilihat menerusi aspek sosiologi, persekitaran anak itu dibesarkan sebenarnya mempengaruhi. Membesar dalam kepelbagaian budaya, cara hidup dan bahasa berlainan menjadikan anak itu lebih berfikiran terbuka dan berpandangan luas,” katanya.

Beliau berkata, anak yang lahir hasil perkahwinan campur mempunyai dilema sendiri kerana mereka tidak boleh menamakan mereka mengikut bangsa ibu mahupun bapanya.

Katanya, anak-anak ini adalah satu generasi baru yang membawa dua budaya sekali gus dan mereka tidak boleh membawa satu budaya berasingan.

“Namun, mereka berdepan dengan beberapa dilema terutamanya menguruskan proses dokumentasi yang memerlukan mereka menyatakan bangsa mereka.

“Mereka terpaksa memilih sama ada untuk menjadi bangsa Melayu, Cina, India atau lain-lain, malah kebanyakan ibu bapa mereka memilih meletakkan bangsa mengikut bangsa bapa mereka,” katanya.

Katanya, dia juga menyarankan agar ditambah satu lagi kategori bangsa bagi mewakili golongan ini dan dimasukkan ke dalam kad pengenalan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: