Sunday, October 23, 2011

Longboard Junior jadi perintis

HEBAT..persis pemain papan luncur profesional.
HEBAT..persis pemain papan luncur profesional.

GOLONGAN remaja sering dikaitkan dengan naluri untuk mencuba sesuatu yang mencabar dan menyeronokkan. Justeru, tidak hairanlah jika kita mendapati golongan muda ini akan menceburi apa saja bidang yang boleh memberikan kepuasan. Antara yang menjadi kegilaan remaja masa kini ialah bermain skate board atau lebih dikenali sebagai longboard.

Permainan ini memerlukan persediaan yang rapi sama ada daripada segi keutuhan fizikal mahupun kekuatan mental. Melalui latihan yang dilakukan secara berterusan pastinya akan memahirkan seseorang untuk menggunakan papan permainan itu dengan sempurna dan selamat.

  • Foto

    TERATUR..disusun dengan kemas selepas berlatih.

  • Foto

    WAJIB..pelapik lutut mesti dipakai untuk melindungi lutut dari mengalami kecederaan.

  • Foto

    HEBAT..mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berguna.

  • Foto

Kawasan rekreasi Desa Hill, Kuala Terengganu menjadi lokasi tumpuan sekumpulan remaja yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Longboard Junior’ berlatih dan menguji kecekapan dalam permainan itu. Setiap hujung minggu pasti mereka berkumpul untuk menjalani sesi latihan secara bersama dan bertanding sesama sendiri.

Menurut Alif Aiman Zaiki, 17, yang juga selaku ketua kumpulan itu, tujuan mereka bermain longboard itu semata-mata untuk mengisi masa lapang di samping mewujudkan kumpulan remaja yang bijak menggunakan masa lapang.


“Kami menubuhkan kumpulan ini pada awal Januari lalu selepas melihat begitu ramai yang mempunyai minat sama. Jadi, dengan membentuk satu kumpulan seperti ini akan memudahkan kami untuk mengadakan latihan bersama dan saling bertukar maklumat berkenaan skil permainan.


“Kami memilih kawasan Desa Hill ini kerana lokasinya yang tidak sibuk dengan orang ramai dan tidak mengganggu laluan kenderaan. Ini penting kerana permainan ini memerlukan satu trek yang bersesuaian dan kondusif agar sesi latihan dapat dilaksanakan dengan teratur,” katanya.

Katanya, mereka amat mementingkan aspek keselamatan dan penjagaan diri kerana permainan longboard ini sangat berbahaya seandainya dilakukan dengan sewenang-wenangnya.

Antara komponen tambahan yang diwajibkan kepada peluncur adalah topi keledar, sarung tangan dan alat pelindung di bahagian siku dan lutut termasuk pemakaian kasut bersesuaian dan tidak boleh hanya berselipar saja.

Rakannya, Mohd Faiz Suhairi, 17, mengatakan permainan ini sangat memerlukan tumpuan dan kekuatan mental yang tinggi untuk membolehkan seseorang itu memperagakan aksi longboardnya dengan lancar dan bergaya.

“Longboard bukan sejenis permainan sembarangan kerana kita seharusnya mampu mengawal board yang dinaiki dengan baik, apatah lagi seandainya menuruni kawasan trek curam. Menuruni kawasan curam pastinya akan menguji ketahanan mental seseorang kerana sebarang kelalaian akan membawa padah.

“Bagaimanapun menuruni kawasan curam yang berselekoh pastinya satu cabaran kepada setiap pemain. Malah saya sendiri pun pernah terjatuh ketika peringkat awal berjinak-jinak dengan permainan ini dulu. Tetapi terjatuh dan mendapat luka sudah menjadi asam garam kepada kami. Semua itu menjadi asas berguna untuk meningkatkan kemahiran,” katanya.

Muhammad Akram Farizan, 17, pula memberitahu dia bercita-cita untuk menyertai pertandingan longboard pada masa depan.

“Jika berpeluang saya akan mencuba bakat saya bertanding dalam permainan ini. Buat masa ini biarlah saya mahir dan cekap dulu kerana untuk menyertai pertandingan longboard memerlukan kemahiran tinggi.

“Itulah sebabnya saya sering berlatih dan selepas saya tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun, saya dan beberapa rakan saya akan menyertai beberapa pertandingan di luar Terengganu,” katanya.

Ketika ditanya berkenaan sambutan golongan remaja masa kini yang dilihat begitu meminati permainan itu, Muhammad Akram Earizan, 17, menganggap ia sebagai perkembangan positif.

“Remaja yang sentiasa mempunyai aktiviti akan menjadikan diri mereka lebih dinamik dan progresif. Secara tidak langsung gejala negatif yang selama ini banyak dilabelkan kepada kami golongan remaja dapat dikikis apabila masa lapang yang ada lebih banyak dimanfaatkan dengan sesuatu yang bercorak sukan dan riadah.

“Saya juga berharap agar lebih ramai lagi golongan remaja dan pelajar sekolah akan menyertai kami untuk bersama-sama menceburi permainan yang menyeronokkan ini.

“Kumpulan kami juga berhasrat untuk menjadi satu kumpulan perintis dalam menggerakkan permainan longboard di Terengganu sekali gus mengangkat permainan ini sebagai suatu kegiatan riadah yang digemari ramai,” katanya.

Bagi Muhammad Syafiq Aizat Asmadi, 17, dia menyarankan agar pihak tertentu seperti Kementerian Belia dan Sukan mengadakan lebih banyak pertandi­ngan di seluruh negara.

“Penganjuran pertandi­ngan longboard akan menjadikan permainan ini lebih diminati dan golongan remaja yang berkebolehan dapat menonjolkan bakat mereka. Malang sikit kerana pada masa ini pertandingan longboard kurang diberi perhatian yang sewajarnya.

“Malah, pada saya pihak sekolah juga seharusnya digalakkan menubuhkan kelab longboard sebagai salah satu kegiatan kokurikulum. Ini sudah tentu akan memberi ruang dan peluang kepada para pelajar untuk bergiat dengan aktif dan mendalami kemahiran,” katanya.


PROFIL

NAMA: Ariff Aiman Zaiki
UMUR: 17 tahun
ASAL: Durian Burung, Kuala Terengganu

PROFIL

NAMA: Mohd Faiz Suhairi
UMUR: 17 tahun
ASAL: Durian Burung, Kuala Terengganu

PROFIL

NAMA: Muhammad Akram Farizan
UMUR: 17 tahun
ASAL: Bukit Tunggal, Kuala Terengganu

PROFIL

NAMA: Muhammad Syafiq Aizat Asmadi
UMUR: 17 tahun
ASAL: Marang, Terengganu

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: