|
|
SETELAH puas menjelajah ke Borneo, kini Makan Angin musim kedua menyusur pula ke Negeri Sembilan Darul Khusus. Masak lemak cili padi, itulah makanan terkenal di Negeri Sembilan. Untuk menyahut cabaran kali ini, saya akan memasak sendiri dua jenis lauk istimewa iaitu masak pindang dan lempap.
Makanan mereka sangat sedap walaupun kurang menggunakan bawang. Perjalanan saya bermula dari Bandar Seremban dan seterusnya terus ke penginapan kami iaitu di Homestay Kampung Lonek, Batu Kikir di daerah Jempol.
Sebelum itu, kami sempat singgah ke Jelita Ostrich Farm dan mencuba sate ostrich atau burung unta. Inilah pertama kali saya makan sate burung unta dan paling seronok bila berpeluang menunggangnya.
Terasa macam dalam filem Prince of Persia pula! Kini barulah saya tahu yang burung unta ni tak banyak gigi. Ada juga yang tak ada gigi langsung.
Sebab itulah mereka makan batu kerikil yang berfungsi sebagai gastrolith untuk menghancurkan makanan mereka di dalam perut. Wah! Pelik tapi benar.
Memancing di sawah
Akhirnya kami tiba di destinasi yang dituju dan terus mencari seorang wanita bernama Badariah berdasarkan alamat yang diberi. Resipi pertama iaitu masak pindang memerlukan ikan sebagai bahan utama.
Apa lagi, saya diminta untuk mencari ikan puyu di dalam sawah. Ia pelik bagi saya tetapi, tidak bagi penduduk kampung kerana memancing di sawah adalah aktiviti mereka pada waktu lapang. Saya berasa amat kecewa kerana sehingga ke akhirnya saya tidak dapat menangkap ikan tersebut.
Memandangkan tidak berjaya untuk mendapatkan ikan, saya kena masuk dalam sungai kecil di tepi sawah dan mengocak.
Ini pengalaman paling menarik kerana saya perlu mengeruhkan air di anak sungai tersebut. Cara ini akan menjadikan ikan mula mabuk dan timbul di permukaan. Usaha saya berhasil apabila berjaya mendapat beberapa ekor ikan keli hasil mengocak. Walaupun terkena sengatan ikan keli, namun hasil yang diperoleh memang berbaloi.
Seterusnya, Badariah memberi senarai bahan-bahan lain yang diperlukan. Setiap bahan tersebut ditanam di sekitar rumah sahaja. Jadi, saya harus mengenal sendiri rupa daun gelugur yang tidak pernah saya lihat sebelum ini.
Cabaran paling menguji adalah mematikan ikan keli dengan menabur garam kemudian menyiang ikan tersebut. Ikan keli dikenali sebagai ikan yang memiliki nyawa panjang. Menu pindang tidak menggunakan minyak di dalam masakannya.
Bagi menu kedua pula ialah lempap dan bahan utama ialah daging segar. Masakan lempap daging merupakan versi Negeri Sembilan dan setiap negeri memiliki versi lempap yang tersendiri. Nama lempap diperoleh kerana cara masakan yang cepat iaitu bahan dimasukkan secara ‘pap.. pap.. pap…’ lalu tercetuslah nama lempap. Pelik, bukan?
Masakannya sama macam masak daging lemak cili api. Selepas kuah santan kering dan meresap ke dalam daging, maka lempap boleh dihidangkan.
Lempap merupakan makanan popular di Negeri Sembilan. Di akhir sesi memasak, Badariah memberi markah kepada saya. Walaupun berjaya masak dan mendapat markah tinggi, namun saya tetap mendapat teguran atas kesalahan meletakkan minyak di dalam menu pindang dan menu lempap saya itu pula agak cair kuahnya. Tapi saya tetap berpuas hati.
Setelah penat kami dihiburkan pula dengan persembahan bongai iaitu majlis berbalas pantun secara melagukannya dengan kadangkala diiringi alat muzik.
Sebelum pulang, saya sempat singgah di Restoran D'Pantai untuk mencuba menu air akar kayu yang terkenal dengan rasa yang asli.
Air kesihatan yang menggunakan akar kayu asli dan direbus tanpa bahan campuran itu memang sangat pahit. Walaupun pahit, saya dapat mengembalikan tenaga yang hilang dan bertenaga untuk misi episod akan datang.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: