|
|
MELIHAT susuk tubuhnya yang masih langsing dan tegap, pasti ramai tidak menyangka wanita ini baru sahaja melalui satu episod ngeri dalam kamus hidupnya.
Tambahan pula pada usia yang sudah menjangkau 50-an, kulit wajahnya masih kelihatan mulus dan anjal. Senyum manis yang sentiasa terhias pada bibir menambahkan lagi nilai anggun pada wanita bernama Fedilia Abdul Majid.
Namun tatkala dia menyelak selendang yang menutupi sebahagian rambut dan leher, jelas kelihatan parut besar akibat pembedahan yang dilaluinya lebih lima bulan lalu.
"Saya sendiri sukar mempercayai apa yang telah saya lalui. Syukur kepada Allah yang memberi kekuatan kepada saya," katanya memulakan bicara.
Sekitar Februari lalu, Fedilia mengalami demam dan rasa tidak selesa di bahagian tekak yang menyebabkan dia muntah dan tidak berselera untuk makan. Alangkah terperanjat apabila diberitahu doktor bahawa tompokan putih pada tekaknya dikenalpasti mengandungi sel kanser. Ketika itu, jantungnya seakan berhenti berdenyut.
"Kanser bukan perkara baru dalam keluarga kami. Nenek saya meninggalkan kerana kanser kolon. Ibu saudara saya juga dijemput Ilahi kerana kanser otak malah dua sepupu saya diserang kanser payu dara dan kolon. Bila saya tengok imbasan pada tekak seperti ada suatu yang ganjil, dalam hati terus berkata, ini seorang lagi pesakit kanser dalam keluarga," katanya.
Tanpa berlengah, beliau terus dibawa berjumpa lima orang doktor pakar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Antaranya, Pakar Bedah Kanser Kepala dan Leher, Prof Madya Dr. Mohd Razif Mohd Yunos yang menyarankan beliau menjalani pembedahan segera bagi membuang ketumbuhan tersebut.
Tidak mahu perkara buruk berlaku, Fedilia hanya menurut sahaja saranan doktor pakar kerana yakin mereka sangat arif dalam hal yang berkaitan.
Empat hari 'tidur'
"Semuanya berlaku dengan pantas. Sekitar Februari saya dikesan dan kemudian Mac terus menjalani pembedahan," kata ibu kepada tiga cahaya mata ini.
Walaupun ramai yang risau dengan risiko pembedahan, tapi Fedilia sering menanamkan dalam hati dan meyakinkan orang di sekelilingnya bahawa semuanya akan berlalu dan dia akan kembali sihat seperti biasa.
Pesannya pada suami, Raja Azman Raja Hasbullah, anak-anak, Raja Azferina, Raja Feninferina dan Raja Petra Shahzan serta insan yang rapat, jangan sesekali bersedih serta menangisi nasibnya. Sebaliknya, doakan yang terbaik kerana dia yakin mampu melaluinya.
Empat hari Fedilia koma akibat pembedahan yang memakan masa lebih 12 jam di PPUKM. Pada hari kelima, dia terjaga disebabkan rasa terlalu lapar.
"Saya bertanya kepada suami, adakah semalam saya menjalani pembedahan?" katanya.
Namun beliau bersyukur dengan sokongan suami serta anak-anak yang sentiasa berada di sisi di saat beliau memerlukan. Tempoh pulih selepas pembedahan kata Fedilia, sukar digambarkan dengan kata-kata. Pada peringkat awal, dia hanya boleh minum cecair melalui tiub yang dipasang pada hidung.
Pedih, perit dan sakit usah dikira. Ditambah lagi dengan tekak yang sering kering kerana kelenjar air liur sedikit terjejas selepas pembedahan. Disebabkan pembedahan tersebut juga melibatkan sedikit bahagian lidah, maka doktor terpaksa mengambil isi di bahagian lengan bagi menggantikan bahagian yang telah dibuang.
Fedilia juga tidak boleh tidur berbaring seperti biasa. Dia hanya boleh merebahkan diri pada kerusi yang telah direndahkan sedikit untuk memberi keselesaan.
Walaupun begitu, ketabahan wanita ini patut dipuji. Dia sesekali tidak mahu putus asa. Sepanjang tempoh penyembuhan, dia mahu menjalani hidup seperti biasa. Sesekali dia bersama keluarga keluar menghirup udara segar atau ke kompleks membeli-belah bagi mencuci mata.
Berkerja
Bertugas dengan sebuah syarikat perkapalan korea lebih 10 tahun yang lalu, ketiadaan Fedilia sangat memberi kesan kepada majikannya. Disebabkan jasanya kepada syarikat, majikan memberinya pelepasan cuti sepanjang tempoh penyembuhan.
Namun sebagai wanita yang tidak betah bergoyang kaki, saat merasakan dirinya hampir pulih lebih sebulan lalu, dia meminta izin untuk kembali ke pejabat.
"Kadangkala, majikan yang risau bila melihat saya terbatuk. Biasanya mereka suruh saya pulang. Tapi saya sebenarnya tidak apa-apa cuma dari segi makan dan minum serta pertuturan saja yang agak berbeza. Walaupun begitu, saya rasa kini hidup saya lebih bermakna," katanya.
Bagi wanita berasal dari Klang ini, segala yang berlaku adalah ketentuan Ilahi untuk menguji sejauh mana kekuatan diri kita. Jangan cepat mengalah dan berserah, kita patut berikhtiar bagi mengubatinya.
"Dalam hati saya selalu berkata bahawa saya sihat, saya tak sakit, saya dah okay. Itu saya anggap sebagai doa saya untuk cepat sembuh," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kepada mereka yang mengalami nasib yang sama, ikutilah saranan doktor kerana mereka pastinya memberi nasihat terbaik demi membantu mengatasi masalah yang kita alami.
Fedilia bersyukur, di saat dia melalui detik getir itu, kasih sayang suami dan anak-anak tidak berbelah bahagi kepadanya.
Dia juga berdoa agar Yang Maha Esa memberi kesihatan yang baik kepadanya untuk terus menjalani kehidupan dan memperbanyakkan ibadat termasuk berpeluang menunaikan Haji sebagai bekalan di sana nanti.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: