LENGGOK tubuhnya persis bintang broadway tatkala diminta beraksi di depan lensa. Dengan skirt kembang polka dot dan baju tanpa lengan berwarna hitam, wajahnya kelihatan sangat klasik. Namun tatkala dress biru elektrik disarung pada tubuh mulusnya, dia tampak garang dan menggoda.
Sememangnya pemilik nama Nur Izni Ismail dianugerahkan bakat seni semula jadi sejak dari kecil lagi. Tidak hairanlah dia mampu beraksi spontan tanpa perlu disuruh jurugambar RASHID MAHFOF.
Menurutnya, kegiatan seninya bermula sejak di bangku sekolah. Ketika menuntut di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, dia menganggotai pasukan pancaragam sekolah sebagai pemain trumpet dan sejenis alat muzik yang dipanggil French Horn.
"Lebih manis lagi bila pasukan kami berjaya sehingga ke peringkat kebangsaan," kata gadis berusia 23 tahun itu.
Tidak terhenti di situ, kegiatan seni Izni diteruskan dengan menyertai Akar iaitu sebuah pertubuhan yang menghimpunkan anak-anak seni di Shah Alam.
Berwajah cantik dan bijak bergaya, tidak hairanlah tawaran dalam bidang modelling turut menyapanya. Walaupun sibuk memenuhi jadual harian sebagai pelajar dalam bidang Seni Bina Rekaan Dalaman, Universiti Teknologi Mara (Uitm) Shah Alam, pastinya ia antara peluang yang tidak mampu dilepaskan.
Lebih tiga tahun melibatkan diri sebagai model sambilan, Izni menganggap ia sebagai platform terbaik dalam usaha menambah keyakinan dan mematangkan diri.
Antara pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang penglibatan dalam bidang ini adalah ketika menyertai Festival Fesyen Kuala Lumpur Jun lalu di mana dia berpeluang menyarung busana rekaan Salikin Sidek.
Dilingkari kehidupan yang boleh dianggap sebagai glamor, namun itu semua tidak menghalang Izni menjenguk ke dapur untuk menyedia makanan kegemarannya. Kata anak bongsu dua beradik ini, dia mewarisi kebolehan bapanya menyediakan pelbagai jenis kek dan pastri. Bukan hanya untuk dinikmati sendiri, malah Izni turut menerima tempahan daripada rakan-rakan yang ingin mencuba air tangannya. Layari laman web Izni www.polkarush. blogspot.com untuk mengetahu lebih lanjut tentang gadis ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: