Wednesday, October 12, 2011

Generasi muda dituntut dalami ilmu


Sebahagian peserta dalam Seminar Pendidikan Ummah 2011 anjuran KTD, Haluan dan JHEAIK di Dewan Besar Kompleks Islam Lundang, Kota Bharu, baru-baru ini.


KOTA BHARU 11 Okt. - Seminar Pendidikan Ummah 2011 anjuran Kolej Teknologi Darulnaim (KTD), Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (Haluan) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) berlangsung di Dewan Besar Kompleks Islam Lundang di sini, Sabtu lalu.

Lebih 500 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat menghadiri seminar sehari bertemakan 'Membina Generasi Rabbani Masa Hadapan' yang dirasmikan Pengarah JHEAIK, Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh.

Seramai tiga peserta membentangkan kertas kerja mereka berkaitan isu pendidikan termasuk pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Azizan Ahmad.

Azizan dalam pembentangan kertas kerja bertajuk 'Islam Sebagai Penyelesaian Masalah Sejagat' berkata, kepincangan masyarakat yang dihadapi pada hari ini adalah akibat mengabaikan ajaran agama dalam kehidupan.

"Komitmen untuk kembali kepada akar dan ajaran Islam amat perlu untuk menyelesaikan permasalahan sosial lebih-lebih lagi di kalangan generasi muda. Setiap individu dalam masyarakat tanpa mengira status bertanggungjawab untuk menghayati dan menyebarkan Islam dalam kehidupan seharian mereka," katanya.

Dua lagi pembentang lain ialah Pensyarah Universiti Malaya (UM), Profesor Dr. Nik Azis Nik Pa dengan kertas kerja bertajuk 'Pendidikan Islam Mengembalikan Kegemilangan Tamadun Ummah' dan Pensyarah Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Dr. Noor Hisham Md. Nawi dengan pembentangan 'Penghayatan Islam Dalam Kehidupan Generasi Masa Kini'.

Majlis penutup seminar disempurnakan Pegawai Eksekutif KTD merangkap Presiden Haluan, Prof. Madya Dr. Abdullah Sudin Abdul Rahman.

Dalam ucapan penutupnya, beliau berharap generasi muda belajar bersungguh-sungguh untuk mendalami ilmu dan berakhlak mulia agar dapat memberi manfaat kepada ibu bapa, keluarga dan masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: