Saturday, October 15, 2011

Eksotik usus lembu sumbat


BAHAGIAN dalam usus lembu disumbat dengan kentang, tauhu dan telur yang dilenyekkan.


JANGEK? Apa itu jangek? Jangek adalah keropok kulit lembu. Itulah antara cabaran makanan yang saya kena lalui. Selama ini asyik mendengar keropok kulit lembu dan sekarang demi penonton setia Makan Angin dan pembaca Kosmo!, saya mempelajari cara membuat keropok eksotik itu dari A hinggalah Z.

Bukan setakat itu sahaja, saya juga belajar membuat usus isi yang mana usus lembu disumbatkan dengan bahan-bahan tertentu. Kedua-dua makanan itu merupakan makanan istimewa di Sumatera terutamanya di Pekan Baru, Riau.

Memanglah pada mulanya agak sukar untuk menelannya sehingga termuntah tetapi apabila dimakan, memang sedap rasanya.

Sebelum memulakan misi, saya telah ke tempat menenun dan mencuba tenun kain sendiri di Tenunan Wan Fitri. Rupanya aktiviti menenun bukanlah semudah yang disangka kerana ia memerlukan kesabaran dan ketelitian. Namun, hasilnya tidak mengecewakan.

Selepas menenun, saya sempat mencuba minuman tradisi masyarakat Indonesia iaitu jamu.

Dapatkan kulit lembu

Selesai minum jamu untuk menambah tenaga, bermulalah misi saya di Pekan Baru. Saya terus ke Pasar Tradisional Dupa Khencana ditemani Pak Agus untuk membeli bahan-bahan yang akan digunakan untuk menu usus lembu sumbat.

Saya memilih untuk menaiki bas kerana pengangkutan bas di sini sangat unik dan cantik kerana ia dihias dengan cantik. Antara bahan-bahan yang diperlukan adalah kentang, telur dan tauhu. Cabaran saya adalah mencari dan memilih sendiri bahan-bahan yang hendak dibeli.

Selesai membeli kami terus ke hotel untuk rehat kerana jam 2 pagi kami akan ke rumah pemotongan haiwan untuk membeli kulit lembu! Menarik tak?

Apabila tiba di rumah pemotongan, sayalah paling teruja. Tapi dalam keterujaan itu timbul juga perasaan ngeri apabila tiba di sana yang seakan-akan dewan, saya lihat darah lembu memenuhi kesemua lantai dewan. Namun, walaupun darah berselerakan, pemotongan lembu-lembu di sana dijalankan secara sistematik.

Satu bahagian disediakan untuk penyembelihan dan beberapa bahagian lagi diasingkan untuk melapah bahagian tertentu. Bagi kita ia agak mengerikan tapi bagi mereka ia adalah pemandangan biasa.


USUS lembu sumbat yang siap direbus boleh dinikmati begitu sahaja.


Kulit lembu dan usus yang saya peroleh itu terus saya bawa kepada Pak Agus yang akan menunjukkan cara memasaknya. Proses pertama yang dilakukan apabila sampai di kilang tersebut adalah menimbang kulit lembu yang dibeli untuk membuat anggaran. Jumlah berat adalah 23 kilogram, sebab itulah saya rasa nak tercabut tangan mengangkatnya.

Selesai menimbang, kulit tersebut direbus untuk memudahkan pengasingan bulu kasar di kulit tersebut. Kemudian, kulit itu direbus sekali lagi selama 30 minit untuk memastikan kulit lembu benar-benar bersih.

Setelah selesai, proses memotong kulit lembu menjadi kecil seperti saiz dadu kecil dengan menggunakan mesin pemotong khas. Akhirnya kepingan kulit itu dijemur selama lima jam hingga dua hari bergantung kepada panas matahari. Apabila betul-betul kering, barulah kulit lembu siap untuk digoreng. Proses menggoreng keropok itu memerlukan minyak yang benar-benar panas.

Misi kedua pula adalah menyediakan usus lembu sumbat. Menggunakan bahan-bahan yang dibeli di pasar, Pak Indra menunjukkan cara-cara menyumbat bahan-bahan tersebut setelah dilenyek untuk disumbat ke dalam usus lembu tersebut.

Proses menyumbat bahan-bahan yang telah dilecek haruslah secara berhati-hati dan cekap. Kemudian, usus lembu yang telah disumbat dengan bahan-bahan tadi direbus sehingga masak dan siap untuk dihidang.

Apabila selesai, cabaran yang paling mendebarkan untuk saya adalah masa menikmatinya. Apabila saya cuba bayangkan usus lembu tersebut akan menjadi santapan saya, oh! sangat menggerunkan. Tetapi seperti biasa saya akan menggunakan formula jangan fikir, jangan fikir!!!

Malangnya masa makan, saya tersedak dan hampir-hampir tercekik. Apa pun menu kali ini memang sedap dan unik sebenarnya. Sebelum pulang saya sempat berjalan-jalan dan mengenal sejarah kerajaan Siak.

Salah satunya adalah istana Siak Sri Indrapura yang menjadi simbol wisata di Riau. Ia dibina pada tahun 1889 oleh arkitek berbangsa Jerman.

Itulah cerita yang dapat dikongsi untuk semua pembaca Kosmo! dan penonton setia TV9. Esok, jangan lupa menonton Makan Angin 2, episod 10, jam 8.30 malam hanya menerusi TV9.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: