Saturday, October 15, 2011

Petik strawberi sampai penat



JIKA sebelum ini ladang strawberi sering dikaitkan dengan Cameron Highlands, namun kini pencinta buah itu tidak perlu lagi memandu jauh hanya semata-mata menikmati buah strawberi segar. Ini kerana taman strawberi di Genting Highlands yang mula beroperasi sejak tiga tahun lalu kini menjadi salah satu tarikan terbaharu di kawasan tanah tinggi tersebut.

Selepas ini pengunjung yang ingin ke kota keriangan Genting Highlands, Pahang pastinya tidak akan melepas peluang singgah sebentar di ladang Genting Strawberry Leisure Farm Sdn. Bhd. yang terletak tidak jauh dari bandar Gohtong Jaya.

Menceritakan sedikit mengenai bandar Gohtong Jaya yang merupakan bandar utama di Genting Highlands, Penolong Arkitek Landskap, Majlis Daerah Hulu Selangor, Nurul Huda Khairuddin memberitahu, ia dibina oleh Tan Sri Lim Goh Tong yang juga Pengerusi Genting Group.

“Kawasan Gohtong Jaya mempunyai pelbagai kedai, rumah, pangsapuri dan kawasan komersial. Di sana terdapat juga Kolej Antarabangsa INTI Genting.

“Selain itu, sebagai sebuah pusat peranginan terkenal terdapat beberapa buah hotel atau rumah penginapan, salah sebuah hotel yang popular ialah Hotel Seri Malaysia,” katanya.

Menurut Nurul Huda lagi, berdekatan Gohtong Jaya juga terletaknya stesen kereta kabel Genting Skyway iaitu titik sempadan negeri Selangor dengan Pahang.


PAPAN tanda Genting Strawberry Leisure Farm yang terletak di pintu masuk taman ini pasti menggamit pengunjung yang hadir.


“Di sini jugalah terdapat sebuah taman santai strawberi yang sangat menarik untuk dilawati,” katanya yang telah beberapa kali ke taman strawberi itu yang sebenarnya terletak di daerah Hulu Selangor.

Pengasas taman tersebut, KC Chung, 40, berkata, di taman itu terdapat kira-kira 80,000 pokok strawberi yang ditanam dengan secara bertingkat di atas tanah seluas 0.8 hektar. Ia diusahakan sejak diusahakan sejak tahun 2009.

Menurutnya, pemandangan di taman santai strawberi tersebut hampir menyamai kebun strawberi di Cameron Highlands namun, terdapat beberapa perbezaan yang cuba diketengahkan dalam ladang strawberi berkenaan.

Apa yang pasti katanya, pengunjung pasti teruja untuk memetik sendiri buah strawberi di taman santai yang diusahakan KC Chung sejak tiga tahun lalu.

“Di ladang ini saya cuba melakukan kelainan dari kebiasaan yang terdapat di ladang strawberi sedia ada di negara ini. Bermula dengan reka bentuk, idea dan konsep ‘petik sendiri buah strawberi selagi terdaya’ ternyata menjadi tarikan utama pengunjung untuk datang semula ke ladang ini,” katanya ketika ditemui di ladang miliknya di sini baru-baru ini.

Ladang individu terbesar

Idea KC Chung yang cuba mengetengahkan konsep ‘kebun rekreasi’ atau ‘taman santai’ itu ternyata memberi satu kelainan yang menjadikan pengunjung seperti berada di kawasan tanah tinggi yang sungguh menyegarkan.

Apatah lagi taman ini juga diserikan dengan haruman bunga-bungaan yang berwarna warni.

“Untuk pengetahuan anda ladang ini merupakan ladang strawberi milik individu terbesar di Malaysia. Selain itu, semua daya tarikan yang ada di Cameron Highlands terdapat di sini.

“Kecuali ladang teh, turut terdapat di sini ialah taman mini kaktus, gerai jualan dan taman mini sayuran gergasi pertama Asia,” katanya.

Menurutnya lagi, buah strawberi yang dihasilkan di ladang tersebut jauh lebih besar, sedap dan ranum dimakan berbanding buah strawberi di tempat lain.

“Strawberi di sini lebih enak kerana keadaan suhu di sini tinggi sedikit dari Cameron Highlands dan dalam sesetengah keadaan ia akan menjadi lebih sejuk.


BUAH strawberi di Genting Highlands lebih besar dan sedap.


“Selain itu teknik penanaman pokok strawberi yang digunakan juga menjadi faktor strawberi di sini ranum, berbuah sepanjang musim dan lebih besar,” katanya yang enggan mendedahkan teknik rahsia penanaman benih strawberi itu.

Kedai cenderamata

Seorang pengunjung, Yusri Abdullah, 28, berkata, taman strawberi tersebut sangat luas dan sesuai untuk aktiviti rekreasi seisi keluarga.

Malah katanya, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bandar Gohtong Jaya sejauh 46 kilometer itu hanya mengambil masa 47 minit berbanding Cameron Highlands.

“Oleh itu orang di Lembah Klang tidak perlu memandu jauh dan mengeluarkan wang yang banyak untuk ke Cameron Highlands bagi melihat dan merasai buah strawberi,” katanya.

Lebih menyeronokkan lagi, taman santai itu lengkap dengan gerai cenderamata yang turut menyediakan pelbagai barangan hiasan untuk dibawa pulang sebagai kenangan.


SALAH sebuah dari 60 gerai yang menjual produk berasaskan strawberi.


“Jika kita membawa anak kecil, pasti tangan tidak cukup untuk menjinjing beg plastik terisi tanda mata bertemakan strawberi,” katanya tersenyum.

Mengimbau kembali keadaan ketika mula-mula masuk ke taman strawberi, Yusri memberitahu sejurus melalui pintu gerbang taman santai, pengunjung akan disambut dengan senyuman manis penyambut tetamu.

Selepas memetik strawberi pesan Yusri, pengunjung jangan lupa meneroka rumah cendawan kerana di situ terdapat ribuan jenis cendawan antaranya cendawan ling-zhi, white oyster, black poplar dan abalone.

Di penghujung rumah itu, disediakan sebuah kawasan menjual pelbagai produk cendawan dan pengunjung boleh membelinya pada harga yang berpatutan.

“Namanya saja ladang strawberi, tetapi bukan setakat buah strawberi, tomato, tauge Cina (bean sprout), markisa, halia, orkid, ros dan anggur turut ditanam serta sayuran gergasi menjadi antara tarikan terbaharu.” katanya.

Sesuatu yang menarik, sebuah bangsal turut didirikan menggunakan campuran tumbuhan semula jadi seperti buluh, rotan dan mengkuang. Ia merupakan hasil kerja tangan penduduk Orang Asli.

Di sini juga, pelbagai menu masakan berasaskan strawberi dan cendawan disajikan untuk tetamu yang ingin meluangkan masa melihat pelbagai barangan cenderamata yang dijual.

Bagi penggemar kopi dan teh, jangan lupa merasai kelazatan kopi atau teh berperisa strawberi.

1 comment:

Tinggalkan Komen Anda Sini: