Sunday, October 23, 2011

40 wanita jaga Gaddafi

BERANI... Gaddafi berjalan bersama dua pengawal wanitanya.
BERANI... Gaddafi berjalan bersama dua pengawal wanitanya.

MUAMMAR Gaddafi yang maut dibunuh pejuang Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) di Sirte, bandar kelahirannya di Libya adalah antara pemimpin paling lama memerintah di dunia iaitu selama 42 tahun.

Gaddafi memegang tampuk pimpinan Libya sewaktu berusia 27 tahun dalam rampasan kuasa pada 1969, menggulingkan Raja Idris, dan paling lama dalam sejarah dunia Arab.


Sepanjang pemerintahannya, bekas pemimpin Libya itu dikatakan banyak mengamalkan perbuatan pelik antaranya dengan memilih wanita yang masih dara sebagai pengawal peribadinya.

  • Foto

    PERCAYA... Galyna doktor peribadi Gaddafi.

  • Foto

    BERSEDIA... sebahagian daripada pengawal Gaddafi.

  • Foto

    MEWAH... salah sebuah aset Gaddafi di luar negara asing.

  • Foto

    LENGKAP... Gaddafi suka tinggal di dalam khemah berhias mewah.

Gaddafi memilih sendiri 40 wanita yang disukainya yang kemudian dilatih menjadi pembunuh yang sangat cekap sebagai pelindung dirinya.


Sebagai menghormati semua pengawal peribadinya itu, Gaddafi mensyaratkan mereka untuk memakai perhiasan seperti barang kemas, menggunakan kasut bertumit tinggi, menghias kuku serta mengenakan mekap.


Malah, sebelum pemberontakan berlaku, kesemua 40 wanita berkenaan dikatakan langsung tidak pernah meninggalkannya dan setia menanti di sisinya termasuk ketika lawatan ke luar negara.

Dalam satu serang hendap pada 1998, salah seorang pengawal peribadinya terbunuh apabila menggunakan dirinya untuk melindungi bekas pemimpin Libya itu daripada puluhan peluru yang ditembak ke arahnya.


Ketaksuban Gaddafi terhadap wanita bukan setakat itu saja, malah beliau dikatakan turut membawa sekumpulan jururawat yang diketuai oleh seorang wanita Ukraine dikenali sebagai Galyna Kolotnytska bagi menjaganya.

Dilahirkan dalam khemah puak Badawi pada 1942, Gaddafi lebih suka memakai jubah selain menggayakan uniform tentera dengan pelbagai imej yang pelik.


Walaupun menentang segala bentuk aktiviti termasuk sukan yang dikatakan bersumberkan Barat dan melalaikan, Gaddafi dikatakan turut pernah membeli pegangan dalam kelab bola sepak Juventus pada 2002.


Antara sifat peliknya juga adalah tidak akan sesekali menginap di mana-mana hotel sewaktu di luar negara. Dia akan memilih untuk tinggal di dalam khemah yang diperlengkapkan dengan pelbagai kemudahan dan dihias indah seperti mahligai.


Malah, dalam kebanyakan perbincangan bersama pemimpin negara lain, Gaddafi lebih selesa melayan mereka di dalam khemah berbanding di rumah penginapannya.


Dalam satu kenyataan, Gaddafi mendakwa itu adalah cara bagaimana masyarakat Badawi menjalankan kehidupan dan tetamunya perlu menghormati adat dan budaya mereka yang tinggal di dalam khemah.


Selain itu, Gaddafi juga menggelar dirinya sebagai Raja segala Raja di Afrika. Malah dia sendiri menggelar dirinya sebagai ‘Anjing Gila daripada Timur’ sebagai amaran kepada kuasa Barat mengenai kekuasaannya.


Kerana itu juga, beliau pernah menyuarakan hasrat untuk mewujudkan sebuah negara kesatuan Afrika apabila cuba menggabungkan Libya, Syria dan Mesir pada 1972 tetapi ia ditentang dan tidak mendapat persetujuan.


Walaupun usahanya itu gagal, pada 1974, sekali lagi Gaddafi menyuarakan hasrat untuk mewujudkan negara Republikan Arab dengan cuba untuk bergabung dengan Tunisia tetapi akhirnya gagal kerana tidak dipersetujui oleh pemimpin negara berkenaan.


Di segi kekayaan pula, Gaddafi dikatakan memiliki aset bernilai lebih RM500 bilion.


Walaupun lebih gemar duduk dalam khemah mewahnya, Gaddafi sebenarnya memiliki lebih tujuh rumah mewah yang setiap satunya bernilai jutaan ringgit dan didaftarkan atas nama anaknya, Saif Al-Islam.


Kebanyakan aset yang dimiliki itu bukan saja terdapat di negara Arab, sebaliknya membabitkan hartanah di Amerika Syarikat, Kanada, Austria dan Britain yang antaranya dilengkapi kolam renang serta set studio.


Namun, selepas pemberontakan menentangnya berlaku hingga mendapat sokongan NATO, semua harta kekayaannya di negara asing disita.


Walaupun kini Gaddafi hanya tinggal nama, kebanyakan penduduk, khususnya di Libya, bersetuju bahawa sejarah kepimpinannya tidak akan padam.


Biarpun sebahagian penduduk meraikan kematian Gaddafi, ada antara mereka masih bersedih berikutan kematiannya yang agak tragis dan tidak mendapat pembelaan yang sepatutnya sebagai seorang tawanan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: