Wednesday, June 8, 2011

Universiti berteras Sains Sosial


MOHAMED Khaled Nordin (dua dari kiri) menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi Pasukan Projek Agenda Kritikal (CAP) kepada Prof. Datuk Dr. Rujhan Mustaffa sambil diperhatikan timbalannya, Dr. Hou Kok Chung (kiri) pada Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Fasa Kedua, PSPTN di PICC, Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 7 Jun – Kementerian Pengajian Tinggi akan membangunkan sebuah universiti yang berasaskan Sains Sosial untuk memacu kemajuan dalam penyelidikan negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembangunan universiti tersebut merupakan pelengkap kepada lima universiti penyelidikan sedia ada yang berteraskan sains dan teknologi.

‘‘Universiti penyelidikan Sains Sosial ini akan dipilih dalam kalangan 15 universiti awam yang belum berstatus universiti penyelidikan untuk dibangunkan menjelang 2020.

‘‘Bagi mencapai matlamat ini, kementerian akan membangunkan satu ukuran yang tepat untuk melihat universiti yang layak bergelar universiti penyelidikan Sains Sosial,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Tindakan Fasa Kedua, Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kementeriannya meletakkan syarat kolaborasi dalam kelulusan Geran Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) dan Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LGRS).

‘‘Kolaborasi ini bermaksud kerjasama antara kumpulan penyelidik yang merentasi sempadan ilmu melibatkan bidang sains teknikal bergabung kepakaran dengan Sains Sosial untuk menyumbang ke arah penghasilan ilmu baharu melalui penyelidikan bersama.

‘‘Ia juga berbentuk kerjasama antara penyelidik yang merentasi sempadan universiti sama ada dari dalam atau luar negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, universiti tempatan dicabar supaya menggandakan usaha penyelidikan untuk membantu negara melahirkan pemenang hadiah Nobel.

‘‘Jabatan Pengajian Tinggi bersama-sama institusi pengajian tinggi (IPT) akan melihat pelan sedia ada untuk diperkasa bagi menghasilkan saintis muda yang berjiwa besar dan berani menyahut cabaran.

‘‘Kementerian Pengajian Tinggi pula akan memastikan peruntukan kewangan yang mencukupi untuk menampung program ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: