Monday, June 27, 2011

Tekankan pengurusan stres, konflik


NAJIB (tengah) bergambar bersama para peserta pada majlis penutup praperkahwinan teramai di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Pekan semalam.


PEKAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu aspek pengurusan stres dan konflik diberi penekanan di dalam kursus praperkahwinan bagi mengatasi masalah rumah tangga yang dilihat serius di negara ini.

Beliau berkata, masalah rumah tangga boleh mengganggu-gugat kesejahteraan masyarakat dan negara sekali gus membantut usaha kerajaan melahirkan belia yang boleh menjadi pemimpin yang mantap daripada segi akhlak dan akidah.

"Apabila berkahwin dan duduk di bawah satu bumbung, akan rasa perbezaan dalam pelbagai perkara di antara pasangan, yang penting kita bijak uruskan tekanan dan konflik bagi mengelak berlaku perceraian," katanya pada majlis penutup praperkahwinan teramai di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini semalam.

Kursus itu mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records apabila seramai 1,111 belia di kawasan Parlimen Pekan menyertainya.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, elemen-elemen baharu dalam kursus perkahwinan membuktikan kerajaan amat serius dalam memelihara kerukunan rumah tangga terutama pasangan muda.

Selain itu, katanya, kerajaan merencanakan pelbagai program untuk belia pada masa ini memandangkan golongan itu adalah pelaburan untuk masa depan negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: